Keputusan penjaga gawang Maktab Rendah Victoria (VJC), T. S. Deyveekan, untuk menangguhkan pembedahan lutut ligamen krusiat anterior (ACL) telah membuahkan hasil apabila beliau membantu pasukan hoki maktab rendah itu meraih piala pertandingan hoki Divisyen A Sekolah Nasional pada 15 Mei.
Pemain berusia 18 tahun itu berjaya menyelamatkan tiga percubaan pemain Institusi Raffles (RI) dalam sepakan penalti untuk memperolehi kemenangan penalti 3-2 ke atas RI selepas perlawanan itu berakhir 1-1 di Stadium Hoki Sengkang.
Ini bukan sekadar piala pertama pasukan hoki lelaki VJC sejak 2016, bahkan kemenangan itu bermakna mereka berjaya membalas kekalahan 4-0 kepada RI pada peringkat akhir 2023.
Kemenangan itu lebih bermakna bagi Deyveekan, yang hanya menyertai pasukan hokinya pada Julai 2023.
Awalnya beliau hanya pemain gantian sebelum penjaga gawang utama VJC cedera pada pertengahan musim.
“Kecederaan ACL saya merupakan sumber motivasi utama saya semasa sepakan penalti tersebut.
“Saya merayu kepada doktor saya untuk membenarkan saya untuk kekal bermain. Justeru, saya tidak ke sini hanya untuk kalah,” kata Deyveekan, lapor The Straits Times.
Beliau menyelamatkan percubaan daripada Nathan Ball, Govindaraj Ramanathan dan Nathaniel Tan.
Deyveekan mengakui beliau masih berasa sakit daripada kecederaannya, walaupun sering mendapat rawatan fisioterapi.
“Bagi salah satu penalti itu, saya dapat rasakan lutut saya menjadi lemah, itulah risikonya,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa dirinya tidak dapat tidur pada malam sebelum perlawanan kerana menghabiskan masa melihat video sepakan penalti.
“Saya sudah tidak berlatih untuk sepakan penalti selama sebulan... saya tahu saya perlu lakukan yang terbaik dan saya gembira dengannya,” jelasnya.
Naib kapten VJC, Siddarth Sundarajan, juga menyatakan pasukannya terdorong untuk menang setelah kalah pada musim lalu kepada RI.
Penolong jurulatih VJC, Mohd Iskandar, yang telah bersama pasukan VJC hampir lima tahun, berkata:
“Saya sangat kagum dengan persembahannya. Kotak penalti itu, semuanya di bawah kawalan beliau,” kata Iskandar memuji prestasi Deyveekan semasa perlawanan tersebut.
Iskandar turut gembira Deyveekan berjaya mendapatkan kepercayaan jurulatihnya walaupun beliau kurang berpengalaman dalam hoki.
“Saya beritahu Deyveekan untuk cuba mempertingkatkan dirinya sedikit demi sedikit apabila beliau diberi tanggungjawab untuk menjadi penjaga gawang utama VJC, walaupun kurang berpengalaman,” kongsi Iskandar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg