Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

Atlet Olimpik tertua negara berpulang

Kisah Ajit Singh Gill satu inspirasi buat atlet bercita-cita tinggi

Jan 21, 2024 | 05:30 AM



Walaupun pada usia 90-an tahun, cinta dan semangat bekas pemain hoki negara, Ajit Singh Gill, terhadap sukan dan Sukan Olimpik tidak pernah pudar.

Atlet Olimpik paling tua di Singapura, yang bertanding dalam Sukan Melbourne 1956, meninggal dunia pada 16 Januari pada usia 95 tahun selepas bertarung dengan penyakit ginjal peringkat akhir. Mendiang meninggalkan isteri Surjit Kaur, 92 tahun, dengan lima anak, 10 cucu dan lima cicit.

Keluarga dan rakan-rakan dalam komuniti sukan mengingati mendiang sebagai individu yang amat mencintai sukan, semangatnya yang positif dan tidak kenal lelah memberi inspirasi kepada ramai orang.

Anak sulungnya, Dr Mel Gill, yang merupakan seorang pakar psikologi, berkata tulang pinggul bapanya patah pada Februari 2023 selepas terjatuh tetapi “sembuh dengan sepenuhnya dalam tiga bulan”.

Bagaimanapun, kesihatannya merosot kemudian akibat kegagalan buah pinggang.

Beliau menambah: “Saya bersamanya di saat-saat terakhirnya. Beliau mengalami kesukaran bernafas dan merenung saya, dan saya percaya beliau mahu memberitahu saya supaya menjaga diri.

“Begitulah mendiang, sentiasa mengambil berat tentang kebajikan orang lain, dan sangat murah hati dalam memberi tanpa mengharapkan balasan.”

Anak perempuannya, mantan guru bahasa Inggeris, Cik Inderbeer Kaur Gill, menangis ketika menceritakan bagaimana semasa kecil bapanya telah menggalakkan beliau untuk menyertai New Nation Big Walk, dan betapa terharunya beliau melihat bapanya memandu di sepanjang laluan untuk menghiburkannya.


“Beliau mendorong anak-anaknya untuk menjadi yang terbaik tanpa melampaui batas,” katanya kepada akhbar The Straits Times (ST).


Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura, Cik Grace Fu, berasa sedih dengan berita kematian mendiang Ajit.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarganya, beliau berkata: “Ajit adalah tokoh sukan yang sangat penting semasa zaman penglibatannya... beliau kekal aktif dalam sukan Singapura selepas kerjaya sukan kompetitif dan menyertai banyak aktiviti. Beliau akan dirindui.”

Menyedari bahawa beliau ketika itu adalah salah seorang daripada dua anggota pasukan Olimpik 1956 yang masih hidup, presiden Persekutuan Hoki Singapura Mathavan Devadas berkata:

“Saya mengenalinya selama lebih 50 tahun sejak beliau menjadi guru sekolah. Beliau adalah seorang tokoh ikonik.

“Beliau adalah seseorang yang, walaupun dalam usia 90-an, sangat aktif, masih bermain golf dan sentiasa bersedia untuk hadir di acara-acara masyarakat dan sukan, untuk bercakap dengan pemain dan berkongsi pengalamannya. Beliau adalah inspirasi.”

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 1928, Ajit Singh Gill merupakan anak sulung daripada 10 beradik dan menghayati ajaran bapanya iaitu “bekerja keras, jangan minum (arak), jangan merokok, bercakap benar dan jangan takut sesiapa”.

Setelah melalui zaman penjajahan Jepun di Malaya semasa Perang Dunia Kedua, beliau menaiki kereta api ke Singapura untuk membeli barangan dari Pasar Sungei Road yang kini tidak lagi wujud, untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berbasikal sehingga 80 kilometer untuk menjual barangannya di luar bandar semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membantu perbelanjaan keluarganya.


Berbadan kurus semasa kecil, beliau mengatasi masalah semput semasa kanak-kanak dengan bersukan di kampung dan pada usia 17 tahun berjaya mewakili Selangor dalam hoki, bertindak cemerlang sebagai pemain fullback.


Komitmennya kepada pasukan tidak dapat ditandingi dan beliau pernah menceritakan bagaimana beliau pernah terkena pukulan di muka oleh kayu pemain lawan dalam perlawanan antara negeri menentang Melaka.

Walaupun lima giginya patah, beliau bermain dan membantu mereka memenangi perlawanan.

Mendiang Ajit berpindah ke Singapura pada 1951 untuk mendaftarkan diri di Maktab Latihan Perguruan dan lima tahun kemudian, beliau menaiki pesawat ke Melbourne untuk mewakili negara dalam Sukan Olimpik 1956, dengan beliau dan rakan sepasukannya menduduki tempat kelapan dalam penampilan pertama dan satu-satunya hoki Singapura di Sukan itu.

Sukan Olimpik itu juga istimewa kerana beliau membeli cincin pertunangan untuk Surjit Kaur dari lombong emas Ballarat, iaitu 90 minit dari Melbourne dengan menaiki kereta.

Pada 1960-an, beliau menukar kayu hokinya untuk pemukul kriket dan terus beraksi sebagai pemain antarabangsa Singapura. Menurut cerita dalam kalangan atlet sukan tersebut, Ajit, yang memiliki ketinggian 1.58 meter dan digelar “the Great Sikh” itu, pernah mencatatkan 100 mata atau jaringan century, dalam masa 68 minit pada 1968.


Selepas bersara daripada kriket dan hoki pada 1985, beliau bermain golf dan perlumbaan berjalan kaki. Pada 1990, beliau mengungguli Kejohanan Golf Amatur Senior Asean dan 26 tahun kemudian, beliau meraih emas dalam acara 5,000 meter perlumbaan jalan kaki di Kejohanan Olahraga Asia Masters di tanah air.

Satu lagi detik sukan yang membanggakan bagi mantan guru bahasa Inggeris dan matematik itu ialah pada 2010, apabila beliau adalah salah seorang daripada 2,400 pembawa obor – dan yang tertua – dalam acara larian obor Sukan Olimpik Belia yang diadakan di Singapura.

Mantan wartawan sukan ST, Encik Godfrey Robert, yang mengenali Ajit selama lebih lima dekad, berkata: “Saya menghadiri sambutan hari jadinya yang ke-90 di Singapore Island Country Club dan tidak hairan beliau masih mampu mempersembahkan tarian Bhangra dengan begitu bertenaga pada usia begitu lanjut, kerana beliau masih bermain golf di kelab itu hampir setiap pagi.

“Seorang lelaki bertubuh kecil... yang tidak gentar dengan siapa sahaja lawannya, baik dalam golf, kriket atau hoki, Ajit adalah contoh teladan kepada atlet muda yang bercita-cita tinggi.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >