Kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) akan menyaksikan wakil lebih kuat dari negara Asia Tenggara, selepas tarikh baru pertandingan dwitahunan itu diumumkan pada 27 Ogos.
Ia akan berlangsung dari 8 Disember hingga 5 Januari, dan bukan 23 November hingga 21 Disember, “bagi memastikan kekuatan maksimum dan prestasi terbaik pasukan kebangsaan dalam kejohanan itu”, kata AFF dalam satu kenyataan selepas menimbangkan “nasihat daripada beberapa persatuan ahli”.
Tarikh itu dipindahkan selepas tarikh awal bertembung dengan pertandingan kelab peringkat tertinggi Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), yang melibatkan pemain terkemuka.
Ia mencetuskan kebimbangan bahawa kejohanan Asean itu, yang juga dikenali sebagai Piala Elektrik Mitsubishi, akan menampilkan pasukan kebangsaan yang lebih lemah.
Jadual baru akan menyaksikan Singapura beraksi dalam Kumpulan A menentang Kemboja pada 11 Disember (tempat sendiri), Brunei atau Timor-Leste pada 14 Disember (tempat lawan), Thailand pada 17 Disember (tempat sendiri) dan Malaysia pada 20 Disember (tempat lawan).
Perlawanan separuh akhir dua pusingan adalah pada 26 dan 29 Disember atau 27 dan 30 Disember, manakala perlawanan akhir dua pusingan ialah pada 2 dan 5 Januari.
The Straits Times melaporkan pada Mac jadual asal bertembung dengan pertandingan kelab terbaru AFC – Elite Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Liga Juara-Juara AFC 2.
Perlawanan ACL Elite, yang berlangsung dari 25 hingga 27 November dan 2 hingga 4 Disember, akan menampilkan kelab terkemuka di rantau ini, seperti juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Takzim, dan juara Liga 1 Thailand, Buriram United.
Begitu juga perlawanan ACL 2, yang berlangsung dari 26 hingga 28 November dan 3 hingga 5 Disember, melibatkan pasukan dari Thailand, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina dan Singapura, yang akan diwakili Lion City Sailors dan BG Tampines Rovers.
Myanmar, Kemboja, Laos, Brunei dan Timor-Leste tidak terjejas kerana kelab mereka beraksi dalam Liga Cabaran AFC peringkat ketiga terbaru, yang tidak bertembung dengan Piala Asean. Pusingan kelayakan melibatkan Brunei dan Timor-Leste tetap tidak berubah dan akan berlangsung dari 5 hingga 15 Oktober.
Dengan penjadualan semula itu, pengerusi Tampines, Encik Desmond Ong, bersetuju melepaskan pemainnya bagi tugas antarabangsa.
Beliau berkata: “Jika boleh, kami akan sentiasa menyokong pasukan kebangsaan, baik dengan pelepasan jurulatih mahupun pemain kami untuk membantu perjuangan Lions.
“Begitu juga, selagi kecergasan pemain kami mengizinkan dan jurulatih kebangsaan memilih mereka, kami akan melakukannya untuk Piala Asean Mitsubishi Electric kerana tarikhnya tidak lagi bertembung dengan pertandingan kelab AFC.”
Bagaimanapun, memandangkan Piala Asean dijalankan di luar jendela antarabangsa Fifa, kelab tidak diwajib melepaskan pemain mereka bagi kejohanan itu.
Ini bermakna bintang terkemuka di rantau mungkin terlepas beraksi. Ia berlaku pada 2022, ketika Thailand beraksi tanpa penyerang Buriram, Supachai Chaided dan Suphanat Mueanta.
Masalah mungkin terjadi dengan kem latihan berpusat jika ia diadakan sejurus sebelum sepak mula pada 8 Disember, kerana akan bertembung dengan tarikh kelab AFC.
Hari ketiga perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Kelab Asean AFF juga bermula 8 Januari, tiga hari selepas final Piala Asean.
Kapten Lions dan Sailors, Hariss Harun, berkata: “Perkembangan terkini memberi peluang pemain terbaik dari setiap negara untuk beraksi dalam pertandingan itu, dan ia sepatutnya menjadi berita baik untuk jurulatih pasukan kebangsaan.
“Tetapi kita harus ingat ia adalah musim yang panjang untuk kelab Singapura, manakala kelab serantau juga berjuang dalam pelbagai perlawanan dan tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain untuk pasukan kebangsaan.
“Sebagai pemain, kami mahu bermain dalam setiap perlawanan... tetapi ini mungkin tidak sesuai kerana ia meletihkan fizikal dan mental pada musim yang panjang. Kami akan melakukan yang terbaik apabila dipanggil, tetapi kelab mempunyai kata putus dan persatuan bola sepak perlu mencari jalan tengah dengan mereka.”
Ketika dihubungi, Persatuan Bola Sepak Singapura berkata ia telah menyatakan kepada AFF kebimbangannya mengenai isu operasi, logistik dan penjadualan yang ditimbulkan oleh tarikh lebih awal.
Mereka menambah bahawa tarikh baru Piala Asean bermakna Liga Perdana Singapura memerlukan cuti pada pertengahan musim bagi membolehkan pemain negara dilepaskan.
“Perubahan ini akan diusahakan melalui rundingan dengan pihak berkepentingan dan akan dikeluarkan kepada semua secepat mungkin,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg