Topik diikuti
Pergi ke BHkuTaufan Dujuan ubah laluan dua atlet Team Singapore dalam perjalanan ke Sukan Asia
SNOC: Perjalanan alternatif telah dibuat bagi dua atlet yang tidak dinamakan itu dan mereka telah bertolak ke Nagoya menaiki kereta api laju Shinkansen
Taufan Dujuan ubah laluan dua atlet Team Singapore dalam perjalanan ke Sukan Asia
Dua atlet Team Singapore yang dijadualkan bertanding di Sukan Asia terpaksa mengubah rancangan perjalanan mereka apabila Taufan Dujuan bergerak laju menuju ke pantai timur Jepun.
Menjawab pertanyaan media pada 21 September, seorang jurucakap Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) berkata penerbangan atlet yang tidak dinamakan itu dari Tokyo – di mana mereka sebelum ini menyertai pertandingan pra-Sukan – ke Nagoya telah dibatalkan akibat taufan yang semakin menghampiri.
Perancangan perjalanan alternatif telah dibuat dan mereka bertolak ke Nagoya menaiki kereta api laju Shinkansen pada hari yang sama.
“Majoriti Team Singapore melakukan perjalanan terus dari Singapura ke Nagoya, dan rancangan perjalanan mereka tidak terjejas,” kata SNOC.
Ia berkata pihaknya terus memantau situasi tersebut dengan teliti bagi pasukan-pasukan yang sudah pun berada di Jepun.
“Sekretariat sedang bekerjasama dengan pasukan-pasukan berkenaan untuk membuat penyesuaian yang diperlukan kepada susunan perjalanan dan pertandingan, jika perlu, bagi mengurangkan gangguan kepada persediaan mereka untuk Sukan ini sambil memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka,” tambah SNOC.
Ratusan penerbangan dibatalkan pada 21 September dan lebih sejuta orang berada di bawah nasihat pemindahan di Jepun sedang Taufan Dujuan menghampiri Tokyo.
Hujan lebat dijangka berlaku berhampiran Tokyo sedang ribut itu, dengan angin berkelajuan 144 kilometer sejam, beralih 130 kilometer ke selatan bandar Katsuura, berhampiran ibu negara Jepun tersebut, pada 21 September.
Sekurang-kurangnya 260 penerbangan domestik dan 15 penerbangan antarabangsa dibatalkan pada 21 September, lapor agensi berita Reuters.
Scoot, anak syarikat kos rendah Singapore Airlines (SIA), berkata empat penerbangannya telah dijadualkan semula akibat cuaca buruk itu.
Beberapa acara di Sukan Asia, yang berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober, telah terjejas akibat Taufan Dujuan.
Kebanyakan acara diadakan di Wilayah Aichi, Jepun, manakala acara akuatik dan ekuestrian diadakan di Tokyo.
Penganjur pada 21 September menangguhkan pertandingan ekuestrian selama sehari akibat cuaca buruk.
SNOC mengesahkan bahawa program renang, yang berlangsung dari 20 hingga 25 September di Pusat Akuatik Tokyo, akan diteruskan seperti dijadualkan.
Kontinjen seramai 304 atlet mewakili Singapura merentasi 27 sukan di Sukan Asia kali ini.
Daripada jumlah ini, 29 adalah perenang dan enam adalah atlet terjun cantik. Singapura tidak bertanding dalam acara ekuestrian pada edisi Sukan Asia kali ini.