Topik diikuti
Pergi ke BHkuTiada ombak bukan masalah, Spaccarotella cipta sejarah wakili S’pura di Sukan Asia
Camille Spaccarotella peluncur air pertama mewakili S’pura di pentas Sukan Asia
Tiada ombak bukan masalah, Spaccarotella cipta sejarah wakili S’pura di Sukan Asia
Daripada Bali di Indonesia dan Cherating di Malaysia, hingga ke Tamil Nadu di India serta beberapa tempat di Filipina.
Lantas, ramai mungkin tidak menyangka sebenarnya wujud barisan peluncur air (surfer) yang mewakili Singapura di luar negara.
Salah seorang daripadanya ialah atlet berusia 21 tahun, Camille Spaccarotella, yang bakal mencatat sejarah sebagai peluncur air pertama untuk mewakili Singapura di pentas Sukan Asia 2026 di Jepun.
Mengimbas kembali permulaannya, Spaccarotella tidak pernah sangka dapat melangkah jauh dalam sukan itu, apatah lagi dipilih mewakili negara di temasya berprestij Sukan Asia.
Meskipun bermula tanpa pengalaman, beliau kini sedia menggalas cabaran itu demi memacu perkembangan sukan luncur ombak di sini.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Spaccarotella menceritakan bahawa minatnya terhadap luncur ombak bermula semasa percutian di Bali bersama keluarganya.
Ketika itu beliau baru berusia 10 tahun – berjinak-jinak di air pantai bersama adiknya, Julien Spaccarotella. Mereka dibimbing oleh jurulatih yang dikenali sebagai ‘Joko’.
Beliau turut meluangkan masa berlatih bersama Dylan Amartha di Bali, yang merupakan jurulatih luncur ombak bagi skuad Indonesia.
Pertandingan pertamanya adalah sekitar 2020 – satu pengalaman pembuka mata, akurnya.
“Pada awalnya, saya tidak menganggap pertandingan itu terlalu serius kerana sekadar mahu berseronok.
“Saya berasa amat tertekan semasa bertanding sehingga gagal menguasai satu ombak.
“Saya terfikir bahawa pertandingan mungkin kurang sesuai untuk saya, jadi saya meneruskan sukan ini secara beriadah sahaja,” kongsi Spaccarotella.
Pada Ogos 2022, setelah hampir dua tahun tidak bersaing, beliau menyertai pertandingan di Bali dan berjaya menamatkan persaingan di kedudukan ketiga.
“Keyakinan saya melonjak berikutan pencapaian itu… kini saya sudah biasa bersaing dan jauh lebih selesa,” tambahnya.
Beliau kemudian mengasah bakatnya dengan menyertai beberapa pertandingan dan berjaya menaiki podium di China, Malaysia dan Sri Lanka.
Segala usaha itu membuahkan hasil apabila beliau didekati oleh Persatuan Luncur Ombak Singapura (SAS) menerusi media sosial pada 2019.
Walaupun beliau terlepas peluang mewakili skuad Singapura di Sukan SEA 2019, Spaccarotella berpeluang membuat penampilan sulung untuk negara di Kejohanan Luncur Air Asia 2023.
Spaccarotella kemudian mendapatkan kelayakan bagi Sukan Asia 2026 bersejarah menyusuli prestasinya bersaing di Kejohanan Luncur Air Asia di Maldives pada 2024.
“Saya amat berbangga dapat mewakili Singapura, lebih-lebih lagi memandangkan negara kita tidak dikenali sebagai kuasa utama mahupun destinasi yang sering dikaitkan dengan sukan luncur air,” katanya.
Beliau bakal beraksi pada 25 September di Aichi, Jepun. Spaccarotella akan berada di situ dari 18 September untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pantai pertandingan dahulu.
Beliau sedar saingan sengit menantinya di Sukan Asia terutamanya dengan kehadiran gergasi luncur air dari Indonesia, Filipina, Jepun dan juga China.
Bagaimanapun, beliau kini lebih yakin selepas menimba pengalaman berharga sejak beberapa tahun yang lalu.
Spaccarotella turut tidak terkesan dengan oleh kekurangan ombak di Singapura untuk berlatih.
“Faktor itulah merupakan cabaran paling besar berbanding atlet lain. Mereka mempunyai akses kepada ombak yang cukup besar sepanjang tahun,” katanya.
Bali menjadi ‘port’ latihannya, di mana setiap detik di dalam laut dianggap sebagai peluang keemasan, tambahnya.
Persiapannya tidak berhenti apabila kembali ke Singapura semasa waktu cuti sekolah.
Di Singapura, beliau fokus kepada membina daya ketahanan fizikal dan kekuatan.
“Kadangkala, saya juga bermain papan luncur untuk membetulkan sebahagian teknik luncur air,” kongsi beliau, yang kini menuntut di Universiti Barat Australia di Perth.
Di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi, Spaccarotella menyifatkan sokongan keluarga dan rakan seperjuangan sebagai pemangkin utama kejayaannya.
Sebelum beliau menyertai skuad Singapura, anggota keluarganya rajin menemaninya dalam pertandingan di luar negara, seolah-olah seperti ‘pengurus’, seloroh Spaccarotella.
“Saya amat bersyukur kepada ibu bapa saya, merekalah yang menampung kos latihan dan peralatan untuk merealisasikan impian saya ini.
“Saya mahu membanggakan mereka dan berharap dapat menunjukkan prestasi yang baik di Sukan Asia ini,” katanya.
Beliau juga amat bersyukur terhadap sokongan daripada SAS, terutamanya Presiden Mohamad Nazir Salleh yang lebih selesa dipanggil Ajill.
Spaccarotella menghargai pengalaman kaya yang dikongsi oleh Ajill kepada pasukan luncur ombak, termasuk dirinya.
Baginya, kelayakan ke Sukan Asia merupakan bukti bahawa usaha gigih boleh dicapai dengan bimbingan yang padu, walaupun tidak ada kemudahan yang sesuai.
Beliau turut berharap kelayakannya dapat membantu dalam pembinaan skuad luncur ombak bagi masa depan.
“Mungkin kelayakan saya dapat mendorong pemerintah Singapura untuk mempertimbangkan pembinaan prasarana seperti kolam ombak buatan (wave pool).
Selain membantu latihan pasukan luncur ombak tempatan, kemudahan sedemikian juga berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan baharu, tambahnya.
