Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeamSG lakar sejarah di Sukan Asia, pencapaian membanggakan, prestasi atlet baharu
64% atlet tampil buat kali pertama di pentas Sukan Asia, peluang bina asas kukuh hadapi kejohanan antarabangsa masa depan
TeamSG lakar sejarah di Sukan Asia, pencapaian membanggakan, prestasi atlet baharu
NAGOYA: Team Singapore (TeamSG) melabuhkan tirai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan siri pencapaian cemerlang, mencatat kejayaan bersejarah dan prestasi memberangsangkan daripada barisan atlet baharu.
Pencapaian tersebut mencerminkan daya tahan bersaing, kemunculan bakat muda yang berpotensi, serta usaha kolektif sistem sukan prestasi tinggi Singapura dalam menyokong para atlet di pentas serantau, kata Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), dalam satu kenyataan pada 4 Oktober.
Singapura menampilkan 300 atlet merentasi 26 cabang sukan pada edisi ke-20 Sukan Asia yang diadakan dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.
Kontinjen Singapura merangkul dua pingat emas, sembilan perak dan tujuh gangsa, di samping 10 rekod kebangsaan, 23 catatan peribadi terbaik dan lima prestasi terbaik musim ini.
Pasukan Singapura menduduki tangga ke-21 dalam carta pungutan pingat.
Temasya yang menampilkan 43 cabang sukan dan 469 acara ini menghimpunkan atlet dari seluruh Asia dalam salah satu kejohanan sukan terbesar di rantau ini.
“Selain pungutan pingat, TeamSG meraikan beberapa pencapaian bersejarah yang mencerminkan semangat jitu para atlet untuk memecah tradisi dan menetapkan penanda aras baharu bagi sukan Singapura,” kata SNOC.
Ini termasuk pencapaian atlet pecut, Shanti Pereira, yang berjaya mempertahankan gelaran juara 200 meter dan sekali gus menjadi wanita pertama mengukir pencapaian hebat tersebut; kutipan tiga pingat perak oleh perenang Gan Ching Hwee, diiringi pelbagai rekod kebangsaan; pingat perak bersejarah jaguh badminton, Loh Kean Yew; serta pingat emas Tiffany Teo, dalam Seni Bela Diri Campuran (MMA).
Tiga pingat bersejarah dipungut dalam sukan lawan pedang; empat pingat oleh atlet kapal layar muda Singapura; serta persembahan cemerlang Shannon Tan, yang meraih pingat gangsa dalam sukan golf.
Menurut kenyataan itu lagi, seramai 192 atlet atau 64 peratus daripada mereka membuat penampilan sulung di Sukan Asia kali ini.
“Bagi atlet baharu ini, temasya tersebut menyediakan peluang yang amat berharga untuk bersaing dengan atlet terbaik Asia, rasai cabaran Sukan Asia dan membina asas yang kukuh untuk kejohanan antarabangsa pada masa depan.
“Kontinjen ini turut menyaksikan generasi baharu atlet menyerlah di pentas besar – melakar catatan peribadi terbaik dan rekod kebangsaan dalam sukan masing-masing.
“Kejayaan mereka, di samping atlet Singapura yang lebih berpengalaman, mencerminkan kedalaman bakat dan potensi dalam arena sukan Singapura,” jelas SNOC.
Di sebalik setiap pencapaian, terdapat komitmen berterusan untuk membangunkan sistem sukan prestasi tinggi yang membolehkan atlet memburu kecemerlangan, tambah kenyataan itu.
Ketua Kontinjen, Goh Kee Nguan, berkata pihaknya amat berbangga dengan pencapaian TeamSG dalam edisi sukan kali ini.
“Selain pingat dan pencapaian bersejarah, apa yang paling menonjol ialah semangat juang, daya tahan dan keazaman yang ditunjukkan atlet kita,” katanya.