Ahli Lembaga Yayasan Olimpik Singapura, Goh Kee Nguan, telah dilantik sebagai Ketua Kontinjen atau chef de mission Singapura bagi Sukan Asia ke-20 di Aichi-Nagoya, Jepun, umum Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada 19 Ogos.

Beliau akan disokong oleh penolong chef de mission: bekas pemain bola sepak nasional dan atlet olimpik, Aleksandar Duric, serta bekas pemain bola lantai nasional dan juara Sukan SEA dua kali, Fariza Zabir.

Goh membawa pengalaman yang luas dalam pentadbiran sukan, temasya utama dan kepimpinan, kata SNOC.

Beliau, yang berusia 66 tahun, pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Belia Singapura 2010, iaitu detik Singapura menjadi tuan rumah bagi edisi pertama Sukan Olimpik Belia.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi ahli Jawatankuasa Penyelarasan Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi Sukan Olimpik Belia 2014 di Nanjing.

Goh akan memimpin kontinjen Singapura dan memantau kebajikan mereka sepanjang temasya Sukan Asia.

Ia termasuk bekerjasama rapat dengan atlet, pegawai serta ahli sokongan untuk memastikan atlet menerima persiapan yang rapi menjelang Sukan Asia, tambah SNOC.

Goh amat teruja menggalas peranan chef de mission sambil menganggap amanah itu sebagai satu penghormatan besar, katanya menerusi kenyataan SNOC.

“Selepas diberi peluang terlibat dalam Sukan Olimpik Belia, saya amat memahami komitmen tinggi, persediaan rapi dan kerja keras yang diperlukan untuk menghadapi temasya utama sebegini.

“Keutamaan kami adalah untuk menyokong atlet serta pegawai pasukan, sekali gus mewujudkan persekitaran terbaik untuk mereka membuat persediaan, beraksi dan mencapai kejayaan di Sukan Asia,” katanya.

Beliau kini merupakan Pengerusi Eksekutif Solo Pte Ltd, syarikat perisian berpangkalan di Singapura yang pakar dalam penyelesaian dipacu kecerdasan buatan (AI) perusahaan, pengawasan mudah alih, telematik dan kenderaan terhubung.

Goh turut berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Singapore Science Centre Global dan GoldenHome (S) Pte Ltd, sebuah kerjasama antara syarikat terkemuka dari China yang berpakar dalam pembuatan kabinet dan pertukangan kayu hiasan mengikut tempahan.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan senior di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Sementara itu, Duric dan Fariza turut membawa pengalaman yang luas sebagai atlet negara untuk memperkukuhkan lagi sokongan bagi kontinjen Singapura di Sukan Asia.

Sebelum kerjaya gemilang selama 22 tahun di Singapura, Duric, kini berusia 56 tahun, pernah mewakili Bosnia dan Herzegovina dalam acara kanu di Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.

Beliau mula bersaing di liga bola sepak tempatan Liga-S pada 1999.

Sejak itu, beliau menjuarai saingan itu sebanyak lapan kali serta memenangi tiga Piala Singapura.

Beliau turut meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan sebanyak tiga kali dan Penjaring Terbanyak sebanyak empat kali.

Pada 2007, beliau membuat penampilan sulung bersama skuad negara Singapura pada usia 37 tahun.

Kerjaya gemilang itu menyaksikan beliau menjaringkan 24 gol dan 53 penampilan untuk skuad Singapura.

Duric turut merupakan sebahagian daripada skuad Singapura yang menjuarai Kejohanan Asean pada 2012, sebelum bersara pada 2014.

Kini, Duric merupakan Pengetua Akademi Bola Sepak ActiveSG di bawah kendalian Majlis Sukan Singapura, di mana beliau menyumbang kepada pembangunan pemain muda.

Fariza turut membuat banyak sumbangan penting bagi sukan bola lantai tempatan.

Beliau pernah mewakili Singapura sebagai penjaga gawang bola lantai dengan 67 penampilan.

Kini berusia 37 tahun, Fariza pernah beraksi dalam tiga edisi Sukan SEA dari 2013 hingga 2019, di mana mereka muncul juara pada edisi 2015 dan 2019.

Beliau juga mewakili Singapura dalam lima Kejohanan Dunia dari 2009 hingga 2021, termasuk kempen bersejarah pada 2019 apabila skuad itu mencatat kedudukan dunia yang tertinggi (tangga ke-12).

Kini, beliau merupakan Ketua Subjek Pendidikan Jasmani dan Aktiviti Kokurikulum di Sekolah Menengah Northbrooks, sambil mengimbangi tuntutan sebagai jurulatih bola lantai.