Rezal Hassan pernah dikenali sebagai penjaga gol yang pantas dan tangkas.

Ketika menjaga gawangnya, reaksinya cukup cepat, dan sering menjadi benteng terakhir pasukan dalam situasi tekanan tinggi.

Dalam banyak perlawanan, kehadirannya sahaja sudah cukup memberi keyakinan kepada rakan sepasukan.

Namun hari ini, bekas penjaga gawang nasional berusia 51 tahun itu berdepan cabaran yang jauh berbeza.

Perkara yang dulunya mudah, seperti menggenggam sesuatu dengan tangannya sendiri dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat, kini masih belum dapat dilakukan sepenuhnya.

Apabila menziarahi beliau di kediamannya baru-baru ini, wartawan Berita Harian (BH) menyaksikan perubahan yang begitu ketara berbanding zaman beliau sebagai jurulatih.

Dahulu, beliau sentiasa aktif di padang – lantang bersuara, penuh tenaga, ceria, dan sering mengendalikan sesi latihan dengan semangat tinggi, malah gemar menceriakan suasana dengan gurauan serta gelak tawanya.

Kini, beliau lebih banyak berdiam, memerhati sambil menyesuaikan diri dengan realiti baharu yang tidak pernah dibayangkannya.

Bekas penjaga gawang Singapura, Rezal Hassan, diserang angin ahmar pada September 2025 dan terpaksa menjalani rawatan sebelum dimasukkan ke Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) di Hospital Besar Singapura (SGH).
Bekas penjaga gawang Singapura, Rezal Hassan, diserang angin ahmar pada September 2025 dan terpaksa menjalani rawatan sebelum dimasukkan ke Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) di Hospital Besar Singapura (SGH). - Foto ihsan REZAL HASSAN

Inilah lembaran hidup yang sedang dilalui oleh bekas penjaga gol kebangsaan Singapura itu selepas diserang angin ahmar pada September 2025 – satu peristiwa yang mengubah kehidupan beliau dan keluarganya dalam sekelip mata.

Rezal menceritakan detik kejadian itu berlaku tanpa amaran ketika beliau berada di rumah selepas pulang dari Pekanbaru, Indonesia.

“Saya bangun nak ke tandas, tiba-tiba rasa pening, macam nak muntah... lepas itu saya jatuh,” katanya.

Dalam keadaan cemas, anaknya segera memanggil isterinya sebelum ambulans dihubungi, dan beliau akhirnya dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Sebelum kejadian itu, kehidupan Rezal sangat aktif sebagai jurulatih penjaga gol. Beliau menjalankan latihan di sekolah, kelab dan program masyarakat.

Hari-harinya bermula seawal pagi dengan membantu isterinya di kantin sekolah, sebelum meneruskan sesi latihan yang kadangkala berlanjutan hingga malam.

Namun selepas serangan angin ahmar itu, segalanya terhenti.

Beliau menghabiskan hampir dua bulan di Unit Kebergantungan Tinggi (HDU) sebelum dibenarkan pulang ke rumah untuk meneruskan proses pemulihan.

Isterinya, Suhaila Mohd Sahari (kanan), menjadi penjaga utamanya, menjaga keperluan bukan sahaja fizikal tetapi mental suaminya, Rezal Hassan, yang dalam proses pemulihan.
Isterinya, Suhaila Mohd Sahari (kanan), menjadi penjaga utamanya, menjaga keperluan bukan sahaja fizikal tetapi mental suaminya, Rezal Hassan, yang dalam proses pemulihan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sepanjang tempoh itu, keluarga menjadi sumber kekuatan utamanya.

Isterinya, Suhaila Mohd Sahari, 49 tahun, membuat keputusan besar untuk melepaskan perniagaannya di kantin sekolah demi menjaga suaminya itu sepenuh masa.

“Apa yang penting sekarang, dia ada di rumah dengan kami. Kami akan uruskan semuanya dan pastikan dia selesa serta fokus pada pemulihan,” katanya.

Kini, kehidupan mereka berubah kepada rutin yang lebih perlahan, namun penuh usaha untuk mengekalkan semangat positif di rumah.

Rezal masih menjalani pemulihan di rumah.

Beliau mampu berjalan bagi jarak dekat tanpa kerusi roda, walaupun pergerakannya masih terhad.

Kekuatan tangannya juga semakin baik, namun beliau masih mendapati sukar untuk menggenggam dan mengawal pergerakan jarinya seperti dahulu.

Beliau mengakui cabaran terbesar bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga dari segi emosi dan penyesuaian diri dengan kehidupan baharu.

“Saya kena kuat untuk diri saya… untuk keluarga saya,” katanya, sambil menambah bahawa kesabaran, doa dan sokongan keluarga menjadi kunci utama dalam menghadapi proses pemulihan ini.

Pada masa yang sama, sokongan daripada masyarakat bola sepak amat menguatkan semangatnya.

Rakan, bekas pemain dan orang ramai tidak putus-putus datang melawatnya serta memberikan kata-kata semangat.

Menurut isterinya, walaupun melalui ujian berat ini, Rezal masih mampu tersenyum dan cuba berinteraksi seperti biasa ketika ditemui, menunjukkan semangat dan kekuatan mental yang masih utuh.

Rezal juga masih menyimpan harapan untuk kembali ke dunia bola sepak, khususnya dalam bidang kejurulatihan.

“Kalau boleh, saya mahu kembali menjadi seorang jurulatih,” katanya dengan penuh semangat.

Sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan beliau, satu perlawanan amal akan dianjurkan oleh pasukan bola sepak, Sporting Tampines, dan disokong oleh Kelab Masyarakat (CC) Tampines North di Our Tampines Hub (OTH) pada 18 April.

Inisiatif tersebut, menurut presiden Sporting Tampines, Yazrul Rahman Mohamed Yassin, bermula daripada rakan-rakan rapat Rezal yang ingin membantu beliau dengan cara yang bermakna.

Beliau menambah bahawa perlawanan ini bukan sekadar kutipan dana, tetapi usaha menyatukan masyarakat bola sepak untuk memberi sokongan moral dan kewangan kepada proses pemulihan Rezal.

Acara tersebut bakal turut menyaksikan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, hadir sebagai tetamu terhormat.

“Perlawanan amal ini melambangkan eratnya nilai kekeluargaan, ketabahan jiwa, serta semangat gotong-royong yang begitu kuat dalam masyarakat Tampines. Kami berdiri teguh bersama Rezal – kerana tiada siapa harus berjuang sendirian.

“Saya menyeru orang ramai agar hadir bersama insan tersayang untuk sama-sama menyokong usaha ini, di samping menghulurkan sumbangan seikhlas hati demi tujuan murni ini,” kata Encik Neo.

m Perlawanan Amal Rezal Hassan

- Lokasi: Our Tampines Hub

- Tarikh: 18 April

- Waktu: 9.30 pagi

- Antara pemain bakal beraksi: Hishamudin Baroocha, Azhar Salleh, Aleksandar Duric, Malek Awab, ⁠Zulkarnaen