Bekas penjaga gawang nasional, Rezal Hassan, kini berada dalam penjagaan rapi di Hospital Besar Singapura (SGH).
Difahami bekas pemain berusia 50 tahun itu diserang angin ahmar pada 1 September dan kini berada di wad rawatan separa rapi (HDU).
Beliau baru sahaja pulang ke Singapura dari Pekanbaru, Indonesia, bersama pasukan bola sepak veteran Singa Legends yang dianggotai bekas pemain bola sepak nasional seperti Fandi Ahmad, Malek Awab dan Baihakki Khaizan.
Dalam satu hantaran Instagram pada September, Baihakki berkata:
“Kami amat terkejut mendapat tahu bahawa penjaga gol legenda negara, Mohamed Rezal Bin Hassan, telah dimasukkan ke SGH.
“Hanya dua hari lalu, kami bersama-sama di Singa Legends – bergelak ketawa, bertanya khabar dan mengimbau kenangan lama.
“Sukar dipercayai betapa cepat keadaan boleh berubah.”
Berita Harian (BH) sedang cuba menghubungi keluarga Rezal.
Rezal mengukir nama dalam sejarah bola sepak negara selepas beliau, yang pada ketika itu berusia 23 tahun, membantu Singapura memenangi Piala Tiger – yang kini dikenali sebagai Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) – pada 1998.
Pada tahun yang sama, Rezal juga membintangi pasukan Kelab Bola Sepak Angkatan Bersenjata Singapura (SAFFC) – kini Warriors FC – yang menjulang trofi Liga Singapura (Liga-S).
Tinggi lampai dan gagah mengawal petak penalti, Rezal menjadi antara penjaga gawang yang paling disegani bukan sahaja di Singapura, malah di rantau ini.
Beliau berada di Pekanbaru baru-baru ini untuk beraksi bersama pasukan Singa Legends menentang rakan pemain bola sepak seangkatan dari Malaysia dan Indonesia.
Namun, siri perlawanan persahabatan itu ditangguh akibat kejadian bantahan yang berlaku di Indonesia. –MUHD HAZMAN ABD AZIZ


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg