Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekanan dorongan tambahan bagi atlet boling muda buru jaya

Nur Irdina, 18 tahun, aksi buat kali pertama di medan Sukan SEA
Dec 15, 2025 | 7:11 AM
boling, Sukan SEA 2025, Nur Irdina Hazly,
Atlet boling wanita negara, Nur Irdina Hazly, berjaya memenangi pingat emas acara beregu dan berpasukan wanita di Kejohanan Boling Belia Asia pada Ogos lalu dan ingin mengulangi kejayaan itu di Sukan SEA 2025 di Thailand. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sejak Nur Irdina Hazly di sekolah rendah, beliau dan keluarganya bermain boling setiap hujung minggu untuk mengisi waktu lapang.

Bersama kakaknya, beliau akan mengikuti kedua ibu bapa mereka bermain boling di pusat boling berhampiran rumah.

Tanpa diduga, kegiatan tersebut rupa-rupanya membawa Irdina ke pentas Sukan SEA 2025 di Thailand, yang bakal menyaksikan beliau beraksi dalam acara perseorangan, beregu dan berpasukan wanita.

Walau baru berusia 18 tahun, atlet bertubuh kecil itu membawa harapan besar.

Berbekalkan kejayaan memenangi pingat emas acara beregu dan berpasukan wanita di Kejohanan Boling Belia Asia pada Ogos lalu, Irdina kini menetapkan matlamat menempah nama di rantau Asean di temasya sulungnya.

Menjelang pertarungan perseorangan wanita pada 15 Disember, Irdina berkata beliau menyasar membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir pingat di Sukan SEA 2025, termasuk memburu emas dalam acara berpasukan.

“Di Sukan SEA ini, saya menetapkan matlamat menang satu pingat dan menjuarai acara berpasukan.

“Untuk (acara) perseorangan, ia lebih mencabar kerana saya harus menentang rakan sepasukan saya yang handal-handal juga, tetapi tidak mustahil,” katanya sambil berseloroh.

Irdina memberitahu Berita Harian (BH), beliau mula serius berkecimpung dalam sukan itu sejak di Darjah 5 ketika menyertai akademi boling – Bowling is Science.

“Dahulu, ibu bapa saya sering bermain boling bersama dan ketika saya masih kecil, saya akan ikut mereka dan sekadar menonton.

“Satu hari, saya teringin untuk mencuba dan terus saya menyukainya.

“Saya juga banyak menghabiskan masa di rumah dengan menonton YouTube dan cuba belajar boling serta gerakannya,” kata Irdina yang mempunyai seorang kakak, Nur Ifqah Hazly.

Atlet boling negara, Nur Irdina Hazly.
Atlet boling negara, Nur Irdina Hazly. - Foto BH oleh KHALID BABA

Pertandingan pertama yang beliau sertai ialah Liga Sekolah Rendah – ketika di Darjah 5 – dan beliau ditempatkan di kedudukan terakhir.

Namun, ia bak api yang terus membakar semangat Irdina untuk tidak berputus asa.

Hasil kerja keras serta semangat tidak mudah menyerah kalah, usahanya itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya menyertai pasukan negara ketika berusia 15 tahun dan menuntut di Menengah 3, selepas memikat perhatian jurulatih negara dalam satu ujian pemilihan boling.

Sejak itu, Irdina sudah dihantar beraksi di beberapa kejohanan besar, antaranya Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2024 dan Kejohanan Boling Belia Asia pada 2025.

Apabila ditanya mengenai sumber inspirasi untuk terus bermain boling, Irdina berkongsi bahawa tekanan semasa pertandingan boling itulah yang mendorongnya untuk terus berjuang.

“Setiap kali saya bertanding, ketika itulah saya benar-benar rasakan inilah apa yang saya mahu lakukan.

“Terutamanya apabila berdepan saat-saat penuh tekanan dan saya berjaya mengatasinya, perasaan puas sukar digambarkan.

“Apabila tekanan berada di tahap tertinggi dan kemenangan menjadi keperluan, itulah perkara yang paling menyeronokkan,” ujar pelajar yang baru menyelesaikan peperiksaan Program Diploma International Baccalaureate (IBDP) di Sekolah Sukan Singapura pada November 2025.

Beliau turut berkata walaupun kekadang boling boleh mendatangkan tekanan, ia juga perkara yang boleh menghilangkan tekanannya.

Beliau turut menghargai sokongan keluarga dan teman-temannya yang kerap mendorongnya untuk sentiasa melakukan yang terbaik.

“Penyokong terbesar saya sudah tentu ibu bapa saya (Noorfizah Hasim dan Hazly Hamdan).

“Mereka merupakan sebab utama saya mula bermain boling dan merekalah yang sentiasa membantu, menghantar dan mengambil saya dari latihan, serta menyediakan peralatan yang diperlukan.

“Rakan sepasukan saya yang juga merupakan kawan rapat saya turut memberi dorongan kerana setiap kali saya lihat prestasi mereka meningkat, ia mendorong saya untuk terus memperbaiki diri dan menjadi lebih baik,” tambahnya.

Irdina dijadual beraksi di tiga acara Sukan SEA 2025 – perseorangan, beregu dan berpasukan – dari 15 hingga 19 Disember.

Beliau berhasrat membantu pasukan negara mengatasi prestasi cemerlang skuad boling Singapura di Sukan SEA 2022 Hanoi, Vietnam, iaitu ketika mereka membawa pulang tujuh pingat – tiga emas, satu perak dan tiga gangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg