Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shanti menang lumba 200m, catat sejarah sapu dua acara pecut di dua Sukan SEA

Ratu pecut negara cipta sejarah menang lumba pecut 100m, 200m di dua Sukan SEA berturut-turut
Dec 13, 2025 | 9:44 PM
Ratu pecut negara, Shanti Pereira, mempertahankan pingat emas dalam acara pecut 200 meter wanita di Sukan SEA 2025 dengan masa 23.05 saat.
Ratu pecut negara, Shanti Pereira, mempertahankan pingat emas dalam acara pecut 200 meter wanita di Sukan SEA 2025 dengan masa 23.05 saat. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, membuktikan keunggulannya dengan memenangi lumba pecut 200 meter wanita di Bangkok pada 13 Disember.

Beliau turut melakar sejarah dengan menjadi pelari pecut pertama negara memenangi acara berganda yang sama – 100m dan 200m – di dua Sukan SEA berturut-turut, iaitu pada 2023 dan 2025.

Malah, beliau telah memenangi acara 200m Sukan SEA empat kali sejak 2015.

Atlet berusia 29 tahun itu mempertahankan pingat emas 200m yang dimenanginya di Kemboja pada 2023 dalam masa 23.05 saat, mendahului Le Thi Cam Tu dari Vietnam (23.14 saat) dan Nelson Zion Rose dari Filipina (23.50 saat) di Stadium Nasional Suphachalasai di Bangkok, Thailand.

Bercakap kepada wartawan selepas perlumbaan itu, Pereira berkata beliau bangga dengan pencapaian mempertahankan kedua-dua pingat emas 100m dan 200m di dua Sukan SEA berturut-turut terutamanya selepas melalui pelbagai rintangan.

“Ia sangat menakjubkan dapat meraih gelaran itu.

“Saya bangga dengan pencapaian itu, dan ini merupakan Sukan SEA saya yang ketujuh, terdapat banyak naik turun tetapi saya menunjukkan saya boleh tampil di hari perlumbaan dan menang,” katanya.

Namun, walaupun memenangi perlumbaan itu, beliau terasa sedikit kecewa dengan masa yang dicatatkannya, yang menurutnya boleh menjadi lebih baik.

Di perlumbaan itu, jelas pesaing terdekatnya, Cam Tu memberi saingan hebat hingga ke garisan tamat.

“Saya sudah semestinya boleh lari dengan lebih pantas tetapi tidak mengapa, pingat emas tetap dimenangi,” katanya sambil tersenyum.

Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira (kanan), mengatasi pencabar terdekatnya dari Vietnam, Le Thi Cam Tu di acara lumba 200 meter wanita di Sukan SEA 2025.
Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira (kanan), mengatasi pencabar terdekatnya dari Vietnam, Le Thi Cam Tu di acara lumba 200 meter wanita di Sukan SEA 2025. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Sementara itu, dalam acara pecut 200m lelaki pula, Marc Brian Louis, membuat kejutan dengan membawa pulang pingat perak dalam masa 20.72 saat.

Beliau lebih dikenali sebagai pelumba acara 100m lelaki dan ini adalah kali pertama beliau menyertai perlumbaan pecut 200m di Sukan SEA.

Marc meraih tempat keempat dalam acara pecut 100m pada 11 Disember.

Masa yang dicatatkan Marc untuk acara pecut 200m sekali gus memecahkan rekod peribadi, yang juga rekod nasional.

Ia adalah kali kedua dalam sehari beliau memecahkan rekod nasional, selepas beliau mencatat masa 20.88 saat di peringkat saringan.

Namun, Marc tidak berdaya mengejar raja pecut Thailand, Puripol Boonson di peringkat akhir. Puripol mencatat masa 20.07 saat untuk memenangi pingat emas, pingat emas kedua di Sukan SEA kali ini, selepas beliau meraih pingat emas acara pecut 100 meter.

“Saya sudah biasa berlari bagi acara 100 meter namun bagi acara 200 meter, masih ada beberapa aspek yang boleh saya perbaiki dalam latihan — ia merupakan satu proses pembelajaran.

“Dalam acara ini saya juga lebih gementar kerana sering letih di penghujung perlumbaan.

“Kini, tumpuan saya adalah kepada acara berganti-ganti 4x100 meter lelaki, dan saya berharap dapat sekali lagi memecahkan rekod negara,” kata Marc.

Sementara itu, seorang lagi atlet pecut negara, Harry Irfan Curran, menamatkan perlumbaan 200 meter di tempat kelapan dengan masa 21.76 saat.

Bagi atlet yang beraksi di temasya sulungnya itu, ia merupakan pengalaman yang sangat berharga untuk dibawa ke Sukan SEA 2027.

Bercakap kepada Berita Minggu (BM), Harry Irfan berkata:

“Saya bersyukur atas peluang untuk beraksi di Sukan SEA, serta sokongan kuat daripada keluarga dan rakan-rakan di rumah yang membawa saya ke tahap ini.

“Saya tidak menyangka dapat bersaing dengan nama besar yang sering saya lihat di televisyen, seperti Puripol, seawal ini.

“Perlumbaan ini adalah satu pengalaman yang akan sentiasa saya hargai.”

Pelari pecut negara di acara 200m lelaki Sukan SEA 2025, Marc Brian Louis (kanan) dan Harry Irfan Curran bergambar selepas perlumbaan mereka di Stadium Nasional Suphachalasai di Bangkok, Thailand pada 13 Disember. Marc mengakhir pertandingan di tempat kedua manakala Harry Irfan di tempat kelapan.
Pelari pecut negara di acara 200m lelaki Sukan SEA 2025, Marc Brian Louis (kanan) dan Harry Irfan Curran bergambar selepas perlumbaan mereka di Stadium Nasional Suphachalasai di Bangkok, Thailand pada 13 Disember. Marc mengakhir pertandingan di tempat kedua manakala Harry Irfan di tempat kelapan. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Pesilat negara Muhammad Iqbal Abdul Rahman, pula tersingkir di peringkat suku akhir acara seni tunggal putra pada 13 November.

Iqbal tewas tipis 9.935 - 9.955 kepada pesilat Indonesia, Syarief Hidayatullah Suhaimi.

Nurin Insyirah Mohamed Aidil pula menewaskan Phone Sonesaisane dari Laos, 9.93 - 9.92, bagi acara tunggal puteri dan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Beliau akan menentang Brunei pada 14 Disember.

Dalam pada itu, ratu renang negara, Quah Ting Wen, muncul sebagai atlet berkalung paling banyak pingat dalam sejarah Sukan SEA, selepas memenangi pingat emas acara 100 meter kupu-kupu wanita pada 13 Disember.

Ia menjadikan keseluruhan koleksi pingatnya kepada 63, mengatasi mantan rakan sepasukan, Joscelin Yeo, yang sebelum ini memegang rekod dengan 62 pingat.

Quah mencatat masa 59.76 saat untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama, mengatasi adiknya Jing Wen yang mencatat 59.77 saat, manakala wakil Thailand, Jaritkla Napatsawan, berada di tempat ketiga dengan masa 1 minit 1 saat.

Quah Zheng Wen turut melakar kemenangan dengan menjadi paling pantas – 52.25 saat – di acara 100 meter kupu-kupu lelaki sebelum Letitia Sim memenangi acara 100 meter kuak dada wanita dengan catatan masa 1 minit 6 saat.

Sehingga waktu cetak, Singapura telah memenangi 16 emas, 18 perak dan 25 gangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg