Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ten Hag hadapi tekanan hebat

Ini selepas Spurs aibkan Man U 3-0 di padang sendiri; kaptennya dibuang padang
Sep 30, 2024 | 1:46 PM
Beberapa pemerhati berkata Erik Ten Hang boleh dipecat tidak lama lagi kerana gagal memimpin kebangkitan Manchester United.
Beberapa pemerhati berkata Erik Ten Hang boleh dipecat tidak lama lagi kerana gagal memimpin kebangkitan Manchester United. - Foto EPA-EFE

MANCHESTER: Wajah Erik Ten Hag semuram cuaca mendung yang selubungi Old Trafford pada 29 September, selepas Manchester United tewas 0-3 kepada Tottenham Hotspur.

Sejak pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe dan lembaga pentadbir kelab itu memutuskan mengekalkan khidmat Ten Hag sebagai pengurus di akhir musim lalu, ada tanggapan beliau akan ditunjukkan pintu keluar jika United gagal bangkit daripada kekecewaan musim lalu dan tewas dengan cara yang tidak dapat diterima penyokong musim ini.

Mengikut ukuran itu, Ten Hag, 55 tahun, kini kian dekat dengan pintu keluar di Old United, selepas mereka diaibkan oleh Spurs di depan penyokong sendiri, buat kali kedua - selepas tewas kepada Liverpool - dengan jaringan sama di kandang sendiri musim ini.

Buat masa ini, United tewas tiga daripada enam perlawanan Liga Perdana England, termasuk kepada seteru tradisi, Liverpool.

Menangi Piala Liga Bola Sepak England (EFL) sekitar 18 bulan lalu, dan kemenangan dramatik ke atas Manchester City dalam final Piala FA musim lalu membolehkan Ten Hag mengekalkan jawatannya di Old Trafford.

Namun, kekalahan kepada Spurs pada 29 September menunjukkan dengan ketara jurang antara United dengan kelab-kelab yang ingin bersaing untuk kejuaraan liga.

Pemain United beraksi bak tanpa arah, tanpa disiplin dan paling penting lagi, tanpa semangat waja dan kesungguhan yang dituntut setiap penyokong pasukan bergelar Red Devil.

Lama sebelum wisel penamat ditiup pengadil, ribuan tempat duduk di Old Trafford dikosongkan, dengan hanya penyokong paling setia memberanikan diri dalam keadaan hujan lebat untuk menyaksikan bagaimana tragedi bola sepak di depan mata mereka berakhir.

Soalan yang bermain di minda pemerhati dan penyokong kelab itu - “Sampai bilakah Ten Hag boleh bertahan?” kini juga menjadi topik perbualan hebat oleh media di England.

United menunjukkan tanda-tanda kebangkitan musim ini, tetapi kesemuanya tidak dilihat sejak pengadil meniup wisel pertama.

Spurs, walau beraksi tanpa kapten, Son Heung-min, tidak membenarkan pemain United mengawal permainan atau menyesuaikan diri, dan mengasak kubu United bertubi-tubi.

Asakan itu meraih ganjaran awal, apabila Micky van de Ven berlari dan memecut dari bahagian padang sendiri untuk mencerobohi benteng United dan menghantar bola silang kepada Brennan Johnson yang tidak mempunyai kesukaran menendang kemas bola melepasi Andre Onana.

Malah, Spurs boleh menjaringkan dua tiga gol sebelum waktu rehat, jika pemainnya seperti Timo Werner dan Dominick Solanke lebih tajam dalam petak penalti apabila disajikan dengan peluang keemasan untuk menambah gol.

Di luar dugaan, United berjaya mengawal bentengnya daripada ditembusi satu lagi gol sehingga waktu rehat, walaupun ia kehilangan kapten, Bruno Fernandes, yang dilayang kad merah selepas menerkam liar pemain Spurs.

Ten Hag berkata kad merah yang dilayangkan kepada Fernandes tiga minit sebelum waktu rehat telah mengubah corak perlawanan. Namun, beliau tidak berpandukan realiti.

Ketiadaan Fernandes merumitkan keadaan untuk United, tetapi United sudah jauh ketinggalan dari sudut taktik, komitmen pemain dan kesungguhan untuk menang sebelum Fernandes diperintah keluar padang.

Pemain tengah United yang sedang dibentuk Ten Hag bak tidak wujud.

Manuel Ugarte, bak mengejar bayang-bayang semasa cuba membendung pemain tengah Spurs dan Joshua Zirkzee, yang dibeli dengan harga 36.54 juta paun, digantikan pada waktu rehat.

United kini tersadai di tangga ke-12 liga, dengan berbekal dua kekalahan berturut-turut - kepada Liverpool dan Spurs - yang biasanya menandakan hari-hari akhir bagi pengurusnya.

Pengurus lain, seperti Ole Gunnar Solskjaer pada November 2021, dipecat sejurus selepas United tewas 0-5 kepada Liverpool dan 0-2 kepada Manchester City. 

Dari sudut strategi, United banyak kekurangan pada 29 September.

Formasi yang diatur Ten Hag terlalu terbuka sehingga Spurs berjaya merobek benteng tanpa berusaha gigih.

Dejan Kulusevsk mencipta sembilan peluang gol - yang terbanyak oleh pemain pasukan yang bertandang ke Old Trafford sejak rekod sedemikian mula dikumpulkan pada musim 2003-04.

Kemerosotan United juga boleh dilihat dari sudut gol yang membolosi gawangnya lama sebelum Ten Hag menjadi pengurus.

United tewas 23 perlawanan liga dengan jurang tiga atau lebih gol dalam 424 perlawanan.

Ini lebih banyak berbanding 22 perlawanan di mana ia melepaskan jumlah gol sedemikian dalam 1,035 perlawanan di bawah pimpinan Sir Alex Ferguson.

Tujuh mata daripada enam perlawanan musim ini yang dikutip United adalah pungutan mata yang paling rendah sejak EPL bermula.

Beberapa pemerhati berkata Ten Hag hanya dikekalkan dalam jawatannya di United kerana Ratcliffe dan Sir Dave Brailsford gagal mencari pengganti yang sesuai pada musim panas. 

Namun, kelakonan United buat masa ini tidak banyak membantu Ten Hag memahat tempatnya di Old Trafford.

Menjawab soalan wartawan mengenai masa depannya di United menyusuli perlawanan itu, Ten Hag berkata:

“Saya tidak fikirkan perkara itu... tidak sama sekali.

“Semua pihak telah membuat keputusan untuk kekal bersama, sebagai kumpulan pemilik, kumpulan kepimpinan.

“Juga, kami membuat keputusan itu dengan pandangan jelas untuk mempertingkat pasukan. Tapi kami tahu proses ini memakan masa dan bergantung pada pemain yang dibeli untuk memperkukuh pasukan.”

Dalam pertemuan dengan Spurs, bukan sahaja kekuatan Spurs - yang pemainnya lebih pantas, lebih cergas dan lebih bijak - ketara, malah kelemahan United juga begitu menonjol.

United bak beraksi tanpa formasi, tanpa kepimpinan dan tanpa disiplin.

Sebagai contoh, sejurus selepas Mason Mount dimasukkan ke padang apabila Fernandes dibuang padang, Mount dilayang kad kuning hampir serta-merta kerana menerkam Rodrigo Bentancur dan menyebabkannya tersungkur ke padang. 

Malah, Lisandro Martinez juga ikut sekaki, apabila beliau menendang James Maddison untuk menyekat lariannya.

Cabaran susulan yang dihadapi Ten Hag, jika beliau berjaya pertahankan jawatannya minggi ini, ialah pertemuan dengan Porto dalam Liga Europa dan Aston Villa pada 8 Oktober.

Ten Hag meninggalkan padang dengan diiringi laungan “Anda akan dipecat pada pagi esok” oleh pasukan Spurs.

Hakikat itu mungkin menjadi realiti jika United gagal bangkit dalam masa terdekat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg