MANCHESTER: Christian Eriksen, dianggap sebagai kedua-dua ‘wira’ dan ‘perosak’ buat Manchester United, apabila pasukan Erik ten Hag itu gagal meraih kemenangan pada permulaan kempen Liga Europa, diikat seri oleh kelab lama pengurus Belanda mereka, Twente.
Eriksen berjaya menjaringkan satu gol buat United pada separuh masa pertama melalui sepakan penalti.
Namun, Eriksen kemudian dicemuh apabila membiarkan dirinya ‘diatasi’ pemain lawan Sam Lammers di luar kotak penalti United.
Bekas pemain Rangers itu mengambil kesempatan apabila dia kemudian menjaringkan gol melepasi Andre Onana.
Namun terdapat peluang terbuka bagi United merampas kemenangan pada minit-minit terakhir, namun penjaga gol Twente, Lars Unnerstall, berjaya menghalang bola yang cuba dijaringkan Joshua Zirkzee daripada masuk gawang.
Selepas tergelincir di tangga terbawah kumpulan Liga Juara-Juara dengan hanya satu kemenangan pada musim lalu, keputusan terbaru itu bukanlah cara ideal buat United membuka kempen Eropah terbaru mereka.
Pengurus sementara England, Lee Carsley, dijangka menghantar nama pemain skuadnya bagi perlawanan Liga Negara menentang Greece dan Finland, minggu depan.
Dengan itu, walaupun agak ganjil bagi pemain United Marcus Rashford untuk memulakan dua perlawanan sebagai pemain simpanan termasuk bagi perlawanan Liga Perdana England (EPL) sebelum ini menentang Crystal Palace, ini adalah peluang bagi penyerang itu menarik perhatian Carsley, yang menonton daripada kotak pengarah.
Carsley pasti seronok melihat cara Rashford membuat bekas penyerang Norwich, Ricky van Wolfswinkel, keliru ketika menggelecek bola ke kanan dan ke kiri, sebelum menendangnya melepasi kaki penyerang itu.
Malangnya untuk Rashford dan United, hantaran lintangnya dapat dipintas, namun ia adalah salah satu detik menggembirakan yang membuat penyokong bersorak.
Rashford menunjukkan prestasi baik semasa waktu pembukaan.
Beliau memulakan satu gerakan yang membawanya ke tepi kotak penalti Twente, sebelum melakukan hantaran kepada Zirkzee, dengan membelakangi gawang. Ini memerlukan kawalan rapat yang terbukti berada di luar kemampuan Zirkzee.
Rashford juga mengancam kawasan kotak penalti Twente, dengan satu lagi larian kuat yang hanya dihentikan dengan tindakan terdesak Van Rooij.
Rashford dikeluarkan 11 minit sebelum perlawanan tamat dan disambut dengan tepukan penghargaan daripada penyokong tuan rumah.
Sementara itu, gol penyamaan Twente jelas menjejas penglibatan Eriksen dalam perlawanan itu.
Beliau kemudian digantikan dengan pemain simpanan lain, dalam usaha terdesak United untuk menang.
Namun, kehadiran Eriksen secara umumnya adalah menenangkan dan golnya sangat baik.
Beliau mampu membuat tendangan tepat dan kuat, ketika mendapat bola dari Diogo Dalot dan Fernandes, walaupun cuba dihalang pemain Twente.
Walaupun United tidak berada pada tahap terbaik ketika menentang pihak lawan, gol itu kelihatan memadai untuk membawa mereka kepada kemenangan.
Namun impian mereka musnah apabila Bart van Rooij berjaya menguasai bola tanpa disedari pemain United, termasuk Eriksen.
Apabila bola itu akhirnya dapat dirampas semula dari Van Rooij, United berada dalam keadaan kelam kabut dan Eriksen kekurangan masa untuk berbuat apa-apa.
Berhadapan gawang sendiri, pemain Denmark itu terdedah kepada rampasan bola oleh pemain lawan. Dan itulah yang berlaku, apabila Lammers berjaya merampas bola dan menjaringkan gol sebelum perlawanan tamat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg