Tendangan penalti gaya panenka Diaz tidak menjadi
RABAT (Maghribi): Minit-minit terakhir final Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) akan menghantui Brahim Diaz buat bertahun-tahun akan datang.
Pemain sayap itu berpeluang mengukir namanya dalam sejarah bola sepak Maghribi selepas memenangi sepakan penalti pada minit kelapan masa tambahan separuh masa kedua perlawanan akhir menentang Senegal yang terikat tanpa jaringan.
Ia adalah peluang keemasan untuk menamatkan penantian 50 tahun negaranya untuk menjulang piala Afcon.
Namun Diaz, yang lima golnya telah membantu pasukan tuan rumah ke perlawanan akhir, mencuba sepakan penalti gaya panenka – iaitu menyepak bola secara lemah ke gawang dengan harapan penjaga gawang akan terpedaya.
Namun tindakan itu akhirnya ‘memakan’ diri sendiri. Penjaga gol Senegal, Edouard Mendy, kekal di tempatnya dan menangkap bola dengan cara yang sangat mudah.
Bekas pemain Manchester City dan penjaring terbanyak kejohanan itu kelihatan kecewa apabila menyedari apa yang telah dilakukannya.
Kemudian, kamera televisyen merakamnya di bangku simpanan Maghribi, selepas dia digantikan pada masa tambahan, menahan air mata.
Diaz, yang kini menyarung jersi Real Madrid dalam La Liga Sepanyol terpaksa menunggu kira-kira 17 minit untuk mengambil sepakan penalti selepas majoriti pemain Senegal, termasuk Mendy, keluar padang sebagai protes apabila pengadil memberikan penalti kepada Mahgribi.
“Dia mempunyai banyak masa sebelum mengambil penalti yang pasti mengganggunya,” kata pengurus Maghribi, Walid Regragui.
“Tetapi kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku. Itulah cara dia memilih untuk mengambil penalti. Kita perlu melihat ke hadapan sekarang.” – Agensi berita.

