Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada ‘French fries’, banyak sajian vegetarian bagi atlet Olimpik Paris

Jun 26, 2024 | 3:16 PM
Sukan Olimpik Paris
Atlet yang menghadiri Sukan Olimpik Paris akan berpeluang merasai makanan terkenal Perancis, dengan beberapa cef bertaraf Michelin kini berkhidmat sebagai penasihat. - Foto REUTERS

PARIS: Tiada sajian French fries, sebaliknya banyak menu masakan vegetarian seperti dal akan disajikan bagi atlet yang menyertai Sukan Olimpik Paris 2024.

Mulai 25 Jun, penganjur acara sukan itu akan menawarkan pelbagai sajian yang menggabungkan resipi mesra alam dengan masakan enak Perancis.

Sajian lebih menyihatkan itu juga bertujuan mengurangkan jejak karbon.

Sebuah restoran besar di Perkampungan Olimpik Paris yang boleh memuatkan seramai 3,300 pelanggan dan bakal meraikan kedatangan atlet pada Julai, menjadi tempat mencuba makanan tersebut pada 25 Jun buat sekumpulan pakar, pegawai dan wartawan sukan.

Dewan makanan tersebut merangkumi enam ruang makan berbeza yang menawarkan masakan dari serata dunia, dengan separuh daripada 50 sajian yang dihidangkan setiap hari adalah menu vegetarian sepenuhnya.

“Orang ramai akan berkumpul di Perancis yang menawarkan budayanya, warisannya, malah masakannya juga.

“Oleh itu terdapat satu jangkaan (daripada orang ramai),” kata ketua penganjur Sukan Olimpik Paris 2024, Tony Estanguet, kepada wartawan.

Walaupun ramai atlet akan mematuhi diet berkhasiat biasa mereka sebelum bertanding, mereka turut berpeluang merasai makanan terkenal Perancis dengan beberapa cef bertaraf Michelin kini berkhidmat sebagai penasihat.

“Kami mementingkan (tawaran) pelbagai masakan Perancis agar atlet dari seluruh dunia yang berminat boleh merasakan masakan Perancis yang amat lazat,” tambah Estanguet.

Bagaimanapun, sajian bufet tersebut tidak akan menyertakan kentang goreng.

Restoran makanan segera McDonald’s, sekian lama menjadi penaja Sukan Olimpik, sebelum ini mempunyai restoran tersendiri di Perkampungan Olimpik hingga Sukan Olimpik Rio pada 2016.

Oleh itu, atlet yang suka menikmati makanan siap segera itu perlu berkunjung ke cawangan lain restoran itu di Paris.

“Atas sebab teknikal, kami tidak dapat menawarkan French fries,” kata timbalan pengarah katering perkampungan di syarikat makanan Sodexo, Estelle Lamotte, kepada wartawan.

Beliau menjelaskan bahawa alat penggoreng bagi makanan goreng berendam seperti kentang goreng, tidak dibenarkan di dapur sementara di tapak tersebut.

Ketua makanan mampan dalam jawatankuasa penganjur acara sukan Paris, Gregoire Bechu, pula menekankan mutu resipi masakan dal yang cukup lazat yang diilhamkan buat atlet.

“Salah satu komitmen besar oleh (penganjur acara) Paris 2024 adalah menawarkan makanan vegetarian untuk mengurangkan separuh jejak karbon, bagi setiap hidangan secara purata,” katanya.

Di beberapa lokasi sukan itu sebanyak 60 peratus menu makanan yang ditawarkan kepada peminat adalah vegetarian.

Dalam usaha lanjut untuk mengurangkan pelepasan karbon, hanya dua daripada enam kawasan restoran di perkampungan itu akan berhawa dingin.

Empat lagi restoran mempunyai ruang terbuka, menggunakan kipas untuk meningkatkan pengaliran udara.

Paris mengalami siri cuaca panas sepanjang beberapa tahun lalu, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius pada Julai dan Ogos.

Bagaimanapun, bagi 2024, bandar itu mengalami cuaca hujan dan dingin setakat ini. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg