Selama lebih tiga dekad Encik Mohamad Nazir Salleh telah meluncur dan ‘menakluki’ beberapa ombak laut terbaik di dunia.

Namun, hatinya tetap terpaut pada satu lokasi unik di Kawasan H Taman East Coast yang dikenali sebagai Longkang Point, dianggap sebagai satu-satunya lokasi sesuai buat luncur ombak di Singapura.

Di situlah beliau, yang gemar dikenali sebagai Ajill, mencipta pelbagai kenangan manis, terutamanya menyuburkan minat mendalam terhadap sukan luncur ombak kepada dua anak lelakinya yang kini berusia 16 dan 21 tahun.

Namun, masa kian suntuk bagi penggiat luncur ombak.

Ini menyusuli perkembangan projek tambakan tanah berskala besar, Long Island – satu projek penting untuk melindungi salah satu kawasan paling rendah di Singapura, termasuk pantai East Coast, daripada kenaikan paras air laut dan banjir.

Menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), pelan semasa adalah untuk mewujudkan tiga kawasan tanah yang ditambak lebih tinggi daripada tanah yang sedia ada.

Ia termasuk pintu untuk mengawal pasang surut dan stesen pam di celah-celah setiap daratan baharu itu.

Ia akan merangkumi kawasan yang sering dikunjungi, termasuk tapak kegiatan luncur ombak di sekitar Longkang Point – kegiatan ini memerlukan deras ombak laut, yang bakal terjejas oleh kegiatan tambakan tanah, sekali gus menyekat ombak daripada membadai pantai.

Foto lama menunjukkan anak Encik Mohamad Nazir Salleh, Encik Aniq Kailani, kini berusia 21 tahun, menakluki ombak di Longkang Point pada 2010.
Foto lama menunjukkan anak Encik Mohamad Nazir Salleh, Encik Aniq Kailani, kini berusia 21 tahun, menakluki ombak di Longkang Point pada 2010. - Foto MOHAMAD NAZIR SALLEH
Foto lama menunjukkan anak Encik Mohamad Nazir Salleh, Aydin Kayani, kini berusia 16 tahun, menakluki ombak di Longkang Point pada 2020.
Foto lama menunjukkan anak Encik Mohamad Nazir Salleh, Aydin Kayani, kini berusia 16 tahun, menakluki ombak di Longkang Point pada 2020. - Foto MOHAMAD NAZIR SALLEH

Longkang Point terletak berhampiran dengan National Service Resort & Country Club (NSRCC) Changi, dan menerima nama julukannya kerana ombaknya yang terbentuk bersebelahan dengan sebatang longkang besar.

Berkongsi kepada Berita Harian (BH), Ajill, yang merupakan Presiden Persatuan Luncur Ombak Singapura (SAS) sejak 2023, berkongsi bahawa masyarakat luncur ombak sudah menjangkakan kegiatan mereka bakal tersekat oleh projek Long Island.

“Kami memang sedar perairan di Longkang Point akan ditutup, cuma kami tidak pasti tentang tarikh tentunya. Tetapi selagi tempat itu terbuka, kami akan terus mengunjungi tempat itu,” kata Ajill, 55 tahun.

Beliau menambah bahawa corak ombak di situ jarang ditemui di tempat lain dalam negara, namun ia merupakan persekitaran sesuai untuk penggiat baru mencuba luncur ombak, selain menjadi tempat baik untuk keluarga melakukan kegiatan riadah bersama-sama.

BH telah melaporkan bahawa pihak agensi telah bertemu dengan lebih 14,000 orang awam sejak 2024 mengenai projek itu.

Majlis Sukan Singapura (SportSG) menambah bahawa pihak agensi terus akan bekerjasama rapat dengan penggiat sukan laut yang terjejas untuk membantu mereka memindahkan kegiatan masing-masing ke kawasan perairan alternatif.

Menurut Ajill, SAS serta beberapa persatuan sukan laut lain telah didekati oleh SportSG dan URA untuk berkongsi saranan dan meneroka kelangsungan sukan masing-masing pada masa depan.

Menurut Ajill, tempoh sekitar Disember hingga Februari semasa musim tengkujuh adalah masa terbaik untuk meluncur di Longkang Point berikutan kewujudan keadaan semula jadi yang sesuai bagi kegiatan tersebut

Ajill menceritakan bahawa Longkang Point kali pertama ditemui pada sekitar 1996, apabila beliau bertugas sebagai penyelamat di NSRCC.

“Rakan saya memerhatikan terdapat ombak yang cukup besar di situ untuk aktiviti luncur.

“Kami ‘merahsiakan’ tempat itu buat masa lama, sehinggalah pandemik Covid-19 (pada sekitar 2021) melanda dan populariti Longkang Point mula melonjak menerusi media sosial.

“Semasa pandemik, ramai tidak dapat ke luar negara untuk meluncur. Jadi ramai peminat luncur ombak bertanya-tanya tentang tempat itu.

“Biasanya hanya sekitar 10 orang yang akan ke Longkang Point. Namun, ia melonjak kepada sekitar 70 hingga 100 orang selepas tempat ini menjadi semakin tular di media sosial,” kongsi Ajill.

Menurut Ajill, populariti Longkang Point mula melonjak menerusi media sosial semasa pandemik Covid-19, kerana penggiat luncur ombak tidak dapat beraksi di luar negara.
Menurut Ajill, populariti Longkang Point mula melonjak menerusi media sosial semasa pandemik Covid-19, kerana penggiat luncur ombak tidak dapat beraksi di luar negara. - Foto MOHAMAD NAZIR SALLEH

Pada 30 Jun, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB)dan URA mengumumkan bahawa kerja persediaan akan bermula pada akhir 2026, sekali gus menjejas kegiatan sukan laut tempatan seperti luncur lelayang.

Fasa pertama kerja persediaan akan bermula di kawasan perairan barat Jeti Bedok pada akhir 2026.

Sementara itu, penggiat sukan laut yang terjejas boleh beralih ke sebelah timur Jeti Bedok sehingga sekurang-kurangnya 2029. Fasa kedua hanya akan bermula selepas Sukan SEA 2029 melabuhkan tirai.

“Inilah hakikatnya, kawasan itu akan menampung lebih banyak aktiviti, jadi kami perlu berhati-hati ketika berkongsi kawasan perairan itu.

“Ramai penggiat sukan laut memahami situasi ini, dan saya yakin kami boleh berkongsi ruang di situ dengan lancar.

“Misalnya, luncur lelayang menjalankan aktiviti jauh dari pesisir pantai dan kami hanya aktif semasa musim tengkujuh.

Selain memacu kegiatan rekreasi, SAS, yang ditubuhkan pada 2011, turut berjaya melatih atlet untuk mewakili negara di kejohanan antarabangsa, termasuk penampilan sulung mereka di Sukan SEA 2019 di Filipina.

Atlet luncur ombak, Camille Spacarotella yang berusia 21 tahun, kini bersiap sedia untuk beraksi di Sukan Asia pada September.

Fasa pertama kerja persediaan bagi projek Long Island bakal dimulakan di kawasan perairan sebelah barat Jeti Bedok di Taman East Coast mulai akhir 2026.
Fasa pertama kerja persediaan bagi projek Long Island bakal dimulakan di kawasan perairan sebelah barat Jeti Bedok di Taman East Coast mulai akhir 2026. - Grafik BH oleh HISYAM ABDUL RAHMAN
Sekilas kegiatan yang boleh diteruskan semasa kerja persediaan bagi projek Long Island, yang akan bermula pada akhir 2026.
Sekilas kegiatan yang boleh diteruskan semasa kerja persediaan bagi projek Long Island, yang akan bermula pada akhir 2026. - Grafik BH oleh HISYAM ABDUL RAHMAN

Lazimnya, pesisir pantai Singapura jarang sekali menyaksikan ombak besar. Namun, beberapa faktor membenarkan kegiatan luncur ombak di Longkang Point, menurut Dr Xu Xingkun daripada Institut Sains Maritim Tropika Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Perairan Singapura secara amnya mempunyai ombak yang tenang kerana kedudukan geografi terlindung oleh Semenanjung Melayu, Sumatera, serta pulau-pulau sekitarnya.”

Semasa musim tengkujuh timur laut dari Disember hingga Februari, angin berterusan dari utara hingga timur laut yang bertiup merentasi Laut China Selatan, kadangkala menghasilkan ombak yang cukup besar untuk kegiatan luncur ombak rekreasi di sepanjang pantai timur Singapura, jelas Dr Xu.

Bentuk rupa bumi di Longkang Point membenarkan ombak pecah di pesisir pantai.

Menurut Dr Xu, tanah tambakan di perairan East Coast, seperti Long Island, mungkin boleh mengubah rupa bentuk tanah dan keadaan angin, sekali gus menjejas sukan laut dan pembentukan ombak di Longkang Point.

Berdasarkan anggaran visual, ombak yang terbentuk di Longkang Point secara amnya boleh mencatat ketinggian sekitar 0.2 hingga 0.5 meter sahaja. Ombak di situ merupakan ombak angin berfasa pendek dengan kitaran masa sekitar 3 hingga 5 saat sahaja, berbanding dengan alun ombak jangka panjang yang lazimnya ditemui di destinasi luncur ombak terkenal di dunia.
Berdasarkan anggaran visual, ombak yang terbentuk di Longkang Point secara amnya boleh mencatat ketinggian sekitar 0.2 hingga 0.5 meter sahaja. Ombak di situ merupakan ombak angin berfasa pendek dengan kitaran masa sekitar 3 hingga 5 saat sahaja, berbanding dengan alun ombak jangka panjang yang lazimnya ditemui di destinasi luncur ombak terkenal di dunia. - Foto MOHAMAD NAZIR SALLEH

Semasa musim tengkujuh timur laut, beberapa kawasan lain di pesisir timur dan timur laut Singapura mungkin turut menyaksikan ombak kecil yang sesuai untuk diluncur.

Namun, terdapat beberapa faktor lain yang perlu dipertimbangkan, terutamanya keselamatan dan sama ada penggiat dibenarkan mengunjungi lokasi itu.

“Beberapa kawasan mungkin terjejas oleh kegiatan perkapalan, sekatan laluan masuk, arus yang kuat, prasarana pesisir pantai, atau keadaan dasar laut dan rupa bentuk pesisir pantai yang tidak sesuai,” jelas Dr Xu.

Buat sementara ini, Longkang Point merupakan satu-satunya kawasan luncur air semula jadi yang paling kerap dikunjungi di Singapura.

Namun, sinar harapan buat masyarakat luncur ombak tempatan masih belum terpadam.

Dr Xu menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk menentukan kesan sebenar Long Island terhadap sukan laut di sepanjang East Coast, memandangkan reka bentuk tanah tambak belum ditentukan.

Ternyata, ombak di Longkang Point menyimpan seribu satu makna bagi penggiat luncur ombak.

Namun, Ajill menegaskan bahawa masyarakat itu memahami kepentingan Long Island untuk menjamin keselamatan jangka panjang kawasan East Coast.

“Tempat ini memang istimewa dan amat sukar ditemui di sini, mereka yang sudah lama datang di sini pasti akan merindui tempat ini,” kata Ajill.

Longkang Point, terletak berhampiran dengan National Service Resort & Country Club (NSRCC) di Changi, dianggap sebagai satu-satunya lokasi luncur ombak semula jadi tempatan oleh penggiat kegiatan itu.
Longkang Point, terletak berhampiran dengan National Service Resort & Country Club (NSRCC) di Changi, dianggap sebagai satu-satunya lokasi luncur ombak semula jadi tempatan oleh penggiat kegiatan itu. - Foto MOHAMAD NAZIR SALLEH