Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga calon berpotensi sandang jawatan jurulatih tetap Singa

Aidil Sharin alu-alukan agar FAS dekatinya
Jun 24, 2025 | 4:09 PM
Aidil Sharin, FAS
Jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin, mencipta nama di pentas serantau bersama Kuching City FC. Beliau kini menjadi antara calon utama untuk mengisi jawatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan. - Foto MFL

Selepas pengunduran Tsutomu Ogura daripada jawatan Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Singapura atas sebab peribadi, perhatian kini tertumpu kepada siapakah yang bakal mengambil alih tugas penting itu secara tetap.

Tiga nama jurulatih tempatan kini disebut-sebut sebagai calon berpotensi: Aidil Sharin Sahak, Fandi Ahmad dan jurulatih sementara pasukan Singa, Gavin Lee.

Aidil Sharin, ketua jurulatih kelab Liga Super Malaysia (MSL), Kuching City FC, sudah menyatakan keterbukaannya untuk kembali menyumbang kepada bola sepak tempatan.

“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi negara, tetapi buat masa ini saya terikat dengan Kuching City FC,” kata jurulatih berusia 48 tahun itu.

“Jika benar FAS berminat, mereka perlu mendekati saya terlebih dahulu,” tambahnya.

Sejak mengambil alih pada Ogos 2023, beliau berjaya membawa Kuching City keluar daripada zon penyingkiran dan kini menjadi pencabar utama dalam kelompok pasukan empat teratas musim 2024-25.

Kejayaannya diiktiraf apabila dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan Malaysia, hasil keyakinan yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan dan penyokong kelab.

Sementara itu, Gavin Lee, bekas ketua jurulatih Tampines Rovers, kini menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih interim pasukan kebangsaan.

Jurulatih berusia 34 tahun itu dianggap antara jurulatih muda paling menyerlah dalam bola sepak tempatan.

Di bawah bimbingannya, Tampines menikmati kejayaan konsisten di peringkat domestik dan mewakili negara di saingan Liga Juara-Juara AFC Dua.

Gavin, yang sudah menjadi sebahagian daripada sistem kejurulatihan kebangsaan sejak awal 2024 sebagai penolong jurulatih, dilihat sebagai pilihan semula jadi FAS.

Satu lagi nama besar yang tidak boleh diketepikan ialah legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad.

Kini bertugas sebagai ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi membawa kesan positif sejak menyertai kelab itu pada Julai 2022, sebelum mengambil alih sepenuhnya pada awal 2023.

Fandi berjaya memimpin Sri Pahang ke perlawanan akhir Piala Malaysia, buat kali pertama sejak 2018.

Pasukannya mencatat kemenangan dramatik menewaskan Sabah, Perak dan Selangor sebelum tewas tipis 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim di peringkat final.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg