Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga gangsa terjamin, pesilat S’pura mara ke separuh akhir

Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, Abdul Raaziq Abdul Rashid dan Dhani Andika Razali mara ke separuh akhir
Dec 15, 2025 | 9:11 PM
silat, langkah, separuh akhir
Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin (kiri) mengatasi lawan dari Filipina, Stephen Suazon, dengan keputusan 12-9 dalam perlawanan suku akhir Kelas I Putra (85–90kg) Sukan SEA 2025 di Dewan Impact Forum pada 15 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Siap dengan gaya rambut cornrows, juara dunia silat Singapura, Sheik Ferdous Sheik Alau’ddin, melangkah masuk ke gelanggang dengan aura tenang namun penuh keyakinan.

Penampilan itu mencerminkan kesungguhannya memburu gelaran juara silat Sukan SEA yang masih belum pernah digenggam.

Ferdous memulakan misinya dengan cemerlang apabila menewaskan wakil Filipina, Stephen Suazon, 12-9 dalam perlawanan suku akhir Kelas I Putra (85–90kg).

Kemenangan itu, bersama dua lagi kejayaan rakan sepasukan, memastikan kontinjen Singapura sekurang-kurangnya meraih tiga pingat gangsa, walaupun tewas di peringkat separuh akhir.

Pertarungan tersebut berlangsung dalam suasana tegang dan amat taktikal, dengan kedua-dua pesilat saling berhati-hati sejak awal perlawanan.

Setiap mata cukup bermakna hingga ke saat akhir, dengan suasana memuncak dalam lima saat terakhir apabila jurulatih Filipina menggunakan kesemua hak bantahan dalam usaha merapatkan jurang mata.

Keadaan menjadi tegang buat seketika apabila seorang wasit dilihat berang sebelum bertikam lidah dengan Ferdous, namun situasi berjaya dikawal dan perlawanan diteruskan.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas perlawanan, Ferdous berkata beliau tidak tergugat dengan insiden tersebut dan berpuas hati dengan prestasi awalnya.

“Saya tidak akan membiarkan diri saya tersingkir di peringkat suku akhir. Walaupun perlawanan cukup sengit, saya yakin saya bertarung dengan lebih baik.

“Saya juga tidak fikir sangat tentang ‘gangguan’ lain, dan rasa saya dapat mengawal perlawanan dengan baik,” katanya.

Beliau turut menambah pertikaian itu sekadar salah faham dan kedua-dua pihak telah saling memohon maaf, sambil mengakui sorakan rakan sepasukan memberi suntikan semangat besar kepadanya untuk beraksi tanpa kesalan.

Turut memburu emas ialah Abdul Raaziq Abdul Rashid, yang mencatat kemenangan besar 54-14 ke atas Aung Shin Htet dari Myanmar dalam aksi Kelas G Putra (75–80kg).

“Saya puas dengan pertarungan hari ini dan berharap dapat mengulangi prestasi ini di separuh akhir,” kata Raaziq, yang kini bertekad meraih emas pertamanya selepas mengumpul deretan pingat perak dan gangsa sepanjang penglibatannya dalam Sukan SEA, Kejohanan Asia dan Dunia.

“Saya sudah sasarkan pingat emas lebih 10 tahun lalu… Saya berpuas hati dengan persembahan saya tadi dan rasa teruja untuk berdepan lawan nanti,” katanya.

Selain pengalaman itu, bimbingan jurulatih dan teknik yang sudah dipertajamkan dianggap sebagai kunci untuk Raaziq membawa tentangan sengit kepada lawannya di peringkat separuh akhir.

Abdul Raaziq Abdul Rashid (kanan), menundukkan Aung Shin Htet (kiri) dari Myanmar, 54-14, dalam aksi perlawanan Kelas G Putra (75-80kg).
Abdul Raaziq Abdul Rashid (kanan), menundukkan Aung Shin Htet (kiri) dari Myanmar, 54-14, dalam aksi perlawanan Kelas G Putra (75-80kg). - Foto BH oleh KHALID BABA

Dhani Andika Razali turut menjamin satu lagi pingat gangsa buat kontinjen Singapura selepas menewaskan pesilat Malaysia, Mohamad Akmal Azman, 58-44 dalam perlawanan Kelas bawah 45kg.

Kemenangan itu menyaksikan Dhani mengekalkan pingatnya di Sukan SEA, selepas turut meraih gangsa dalam kategori sama pada edisi 2023.

Perlawanan separuh akhir dijadual berlangsung pada 16 Disember di Dewan Impact Forum.

Dhani Andika Razali (kiri) mengatasi pesilat Malaysia, Mohamad Akmal Azman (kanan), 58-44, dalam perlawanan Kelas bawah 45kg Sukan SEA 2025 di Dewan Impact Forum pada 15 Disember.
Dhani Andika Razali (kiri) mengatasi pesilat Malaysia, Mohamad Akmal Azman (kanan), 58-44, dalam perlawanan Kelas bawah 45kg Sukan SEA 2025 di Dewan Impact Forum pada 15 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dalam pada itu, penampilan sulung beberapa pesilat muda negara di Sukan SEA 2025 tidak berakhir dengan pingat seperti diharapkan, namun mereka tetap berbangga dapat menimba pengalaman berharga di pentas terbesar rantau ini.

Walaupun tersingkir awal, mereka menunjukkan semangat juang tinggi dan memberi tentangan bermakna kepada lawan masing-masing.

Nur Aniqah Qistina Roslan, yang sekali lagi berdepan juara dunia Indonesia, Safira Dwi Meilani - lawan yang ditemuinya sejak Kejohanan Nusantara pada Mei lalu - mengakui cabaran getir tersebut.

“Beliau memang lawan yang sukar diatasi, tetapi saya bangga kerana kali ini saya lebih berani menentangnya,” katanya selepas tewas 22-70 dalam perlawanan Kelas B (50–55kg).

Zulhilmi Zul’irfan pula menyifatkan penampilan sulungnya sebagai pengalaman pembelajaran penting selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Natdanai Keangkaew, 21-56 dalam aksi Kelas E Putra (65–70kg).

Dalam perlawanan lain, Rifqah Mursyidah Mistam tewas 50-74 kepada Anuntaya Niyompan dari Thailand dalam Kelas C Putri (55–60kg), manakala Nurhisham Sapari akur tewas 24-64 kepada pesilat Indonesia, Iqbal Chandra Pratama, dalam Kelas F (70–75kg).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg