Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga kali gagal...Diyanah bangkit lebih kuat raih dua pingat Sukan SEA

May 22, 2023 | 12:56 PM
MANTAP: Diyanah ketika beraksi dalam dalam acara individu ‘recognised poomsae’ wanita di Sukan SEA Kemboja pada 12 Mei.
MANTAP: Diyanah ketika beraksi dalam dalam acara individu ‘recognised poomsae’ wanita di Sukan SEA Kemboja pada 12 Mei. - Foto BH oleh KHALID BABA

SETELAH tiga kali pulang daripada edisi Sukan SEA yang lalu dengan tangan kosong, atlet taekwondo Singapura Diyanah Aqidah Dian Khudhairi tekad untuk mengubah nasibnya di temasya sukan 2023.

Misinya itu tercapai pada 12 Mei.

Diyanah, 24 tahun, bukan sahaja merangkul sebutir pingat, tetapi berjaya menghasilkan dua buah tangan dari Kemboja. 

Beliau memenangi pingat perak dalam acara individu ‘recognised poomsae’ wanita sebelum meraih gangsa dalam acara pasangan ‘recognised poomsae’ campuran bersama rakan sepasukan Ranen Fong.

Namun, di sebalik kegembiraan menggengam pingat Sukan SEA pertamanya, tersirat perjuangan sukar yang beliau perlu tempuhi.

“Saya telah ke Sukan SEA sejak umur saya 18 tahun dan saya sering kalah, kalah dan kalah. Ia hingga ke satu tahap pada 2022 keadaan itu meletihkan mental saya. 

“Tetapi, setiap kali saya diberi peluang untuk mewakili negara, saya tekad untuk cuba sedaya upaya yang mungkin,” kongsi Diyanah ketika ditemui Berita Harian (BH) di Pusat Konvensyen Chroy Changvar di Phnom Penh, sehari selepas kemenangannya.

Bahkan, seminggu sebelum beliau bertanding dalam Sukan SEA, timbul keraguan diri yang menghantui dirinya.

“Saya sebenarnya ada berfikir bahawa saya tidak akan beraksi dengan baik…saya akan gagal,” ujar pelajar Institut Pengurusan Singapura (SIM) itu.

Pemikiran negatif tersebut muncul selepas beliau menonton rakaman video persembahannya dalam latihan, yang dianggap “kurang daripada jangkaan”.

Sukan SEA Kemboja merupakan kali kedua Diyanah ditampilkan dalam acara individu wanita di temasya sukan dwitahunan itu. 

Beliau pertama kali menyertai kategori tersebut dalam edisi Hanoi 2022.

Pada Sukan SEA 2017 dan 2019, beliau bersaing dalam acara berpasukan wanita.

“Tetapi, apabila saya melihat betapa bersungguh-sungguhnya saya berlatih, saya fikir bahawa ia tidak boleh terhenti di sini. Saya harus bawa balik pingat. 

“Dari situ, saya beritahu diri bahawa sayalah yang paling hebat…jika saya tidak mencapai kejayaan ini sekarang, jadi bila lagi?” tambah beliau, yang mula bergiat dalam taekwondo seawal usia 13 tahun.

Bak pepatah, berjalan sampai ke batas, berlayar sampai ke pulau. 

Diyanah juga tidak mahu mudah menyerah kalah dan memberikan yang terbaiknya dalam arena.

Ditanya siapa yang mendorongnya untuk terus kuat dan kekal berjuang, Diyanah berkata inspirasi beliau adalah arwah ibunya.

“Dia ingin melihat saya berdiri di atas podium,” kata Diyanah, sambil cuba menahan sebak.

“Dialah yang menjadi motivasi untuk saya terus berusaha gigih…Dia membesarkan saya dan adik lelaki saya seorang diri apabila ibu bapa saya bercerai. Dia seorang wanita yang kuat, secara mental dan fizikal,” kata anak sulung dua beradik itu.

Diyanah kehilangan ibunya ketika berusia 16 tahun. Ibunya meninggal dunia akibat serangan asma.

Berbekalkan kemenangannya di Sukan SEA dan semangat baru, Diyanah kini lebih yakin untuk menempuhi cabaran yang mendatang.

Beliau seterusnya bakal bertanding dalam Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China, yang berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

Pada 2023, beliau akan lebih menumpukan perhatiannya bagi acara gaya bebas, yang termasuk melakukan ‘back flip’, atau libas belakang.

“Acara gaya bebas tidaklah mudah…Tetapi, jurulatih saya sering berkata bahawa saya boleh melakukannya,” kata Diyanah.

Malah, semasa menjalani latihan di Korea pada lewat Mac, beliau berjaya melakukan aksi libas belakang sulungnya.

“Itu membuat saya fikir, ‘Oh, saya kini berada di prestasi terbaik saya dan saya tidak harus berhenti di sini,” katanya lagi.

Justeru, Diyanah sasar menggapai lebih banyak kejayaan dan menaruh harapan untuk membuat penampilan sulungnya dalam Sukan Asia di Hangzhou, China pada 23 September hingga 8 Oktober.

Penyertaan beliau akan menjadi yang pertama untuk pasukan taekwondo Singapura dalam temasya sukan itu.

“Saya gembira mendapat tahu bahawa saya berpeluang ke Sukan Asia. Mudah-mudahan, saya berjaya melakukannya,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg