Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singa manfaat kesilapan ‘goalie’ Kemboja, buka tirai Piala AFF dengan menang 2-1

Dec 11, 2024 | 10:20 PM
Penyerang Singapura, Shawal Anuar, meraikan jaringannya dalam kemenangan 2-1 ke atas Kemboja dalam perlawanan pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 Singapura pada 11 Disember di Stadium Negara. Walaupun Singapura menang, prestasi separuh masa kedua mereka perlu diperbaiki.
Penyerang Singapura, Shawal Anuar, meraikan jaringannya dalam kemenangan 2-1 ke atas Kemboja dalam perlawanan pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 Singapura pada 11 Disember di Stadium Negara. Walaupun Singapura menang, prestasi separuh masa kedua mereka perlu diperbaiki. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sorakan gemuruh penyokong setia Singapura menggegarkan Stadium Negara apabila Singapura menundukkan Kemboja 2-1 dalam aksi sengit Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.

Jaringan daripada Shawal Anwar dan Faris Ramli pada separuh masa pertama cukup untuk memastikan Singapura dapat memulakan pertandingan ini dengan jaminan kemenangan.

Kemenangan ini juga telah meletakkan Singapura di tempat ketiga dalam Kumpulan A, Piala AFF ini, di belakang kumpulan di tangga teratas buat masa sekarang, Thailand, hanya melalui perbezaan gol.

Pasukan Singa menunjukkan taringnya pada separuh masa pertama, dengan pemain tengah Singapura, Kyoga Nakamura, berjaya mendapatkan tendangan percuma di luar kotak penalti Kemboja hanya dalam masa seminit.

Benteng Pertahanan Singapura, yang diketuai oleh Safuwan Baharudin, juga kelihatan teguh dan tenang. 

Faris menjaringkan gol pada minit kesembilan, hasil kesilapan penjaga gawang Kemboja, Vireak Dara, yang tergelincir sehingga terlepas menghalang bola dari menerobosi gawang.

Gol itu memberi momentum kepada Singapura untuk terus menyerang.

Pada minit ke-15, penyerang Singapura yang berada dalam rentak menjaringkan golnya,Shawal,memanfaatkan peluang keemasan untuk menambah kelebihan Singapura.

Dara buat kesilapan lagi, kali ini hantaran lembut beliau dicuri oleh Shawal untuk menjaringkan golnya.

Penguasaan bola oleh Singapura menjejas ketenangan pasukan Kemboja dan ia jelas dilihat apabila pemain tengah Kemboja, Yodai Ogawa, dilayangkan kad kuning selepas mengasari Kyoga pada minit ke-33.

Sekumpulan 12,391 peminat yang bersemangat mencipta suasana yang meriah di Stadium Negara dalam perlawanan yang menarik itu.

Namun, serangan pasukan Singa gagal mencapai sasaran dalam separuh masa kedua.

Malah mereka memulakan separuh masa kedua dengan hambar. 

Kedudukan 2-0 pada separuh masa pertama memberikan kelebihan yang selesa kepada pasukan Singa, tetapi perlawanan masih jauh dari selesai.

Kelesuan pasukan Singa diambil kesempatan oleh Kemboja dengan jaringan gol pada minit ke-58 oleh penyerang Kemboja, Chanthea Sieng, yang bebas di dalam kotak penalti Singapura untuk menerima hantaran Ty Sa.

Gol tersebut memberikan suntikan tenaga kepada pasukan Kemboja, yang kini kelihatan lebih gigih untuk menyamakan kedudukan perlawanan.

Kemboja kekal memberi serangan tetapi tidak kesampaian hajat di hati mereka, dengan pasukan Singa pastinya lega dapat bertahan untuk menjulang kemenangan penting ini.

Tumpuan akan diberikan kepada perlawanan seterusnya pada 14 Disember, di mana Singapura menentang Timor- Leste di Stadium Hang Day.

Ketua jurulatih Singapura, Tsumo Ogura, pasti ingin melihat momentum pasukan Singa dapat diteruskan apabila menentang Timor-Leste yang kini menduduki tempat terbawah Kumpulan A.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg