Selepas musim Liga Perdana Singapura (SPL) lalu yang cemerlang, yang menyaksikan Vincent Bezecourt dinamakan dalam Pasukan Terbaik SPL, beliau berharap dapat meneruskan prestasi mengagumkan bagi musim ini.
Pemain tengah Perancis itu, yang terkenal dengan visi, kreativiti dan kecekapannya, menekankan bahawa beliau tidak menyasarkan pencapaian peribadi.
Sebaliknya, beliau menumpukan perhatian untuk membantu Geylang International mendapatkan tiga tempat teratas yang diinginkan dalam SPL.
“Saya hanya fokus untuk menyumbang kepada pasukan dan membantu kami untuk memenangi perlawanan,” kata pemain tengah berusia 32 tahun itu.
“Untuk usaha dan sumbangan saya diiktiraf mendatangkan perasaan yang hebat, dan saya bersyukur atas penghargaan itu, tetapi itu bukan matlamat saya.”
Beliau berkongsi bahawa persiapan untuk musim akan datang berjalan dengan lancar.
Pasukannya telah menjalani latihan pramusim yang intensif di Ho Chi Minh, Vietnam dari 5 hingga 11 Ogos.
Vincent bersetuju dengan pandangan jurulatihnya, Noor Ali, bahawa pasukannya telah dibolosi terlalu banyak kali pada musim lepas, dan mereka telah berusaha untuk perbaiki keadaan itu semasa pramusim.
“Kami telah mengubah barisan pertahanan kami, termasuk membawa masuk Niko (Nikola Ignjatovic) untuk perkukuhkan keteguhan kami,” kata Vincent.
“Yang paling penting adalah kami semua akan bertahan bersama sebagai satu pasukan.”
Beliau berkata beliau sudah menyaksikan peningkatan ini semasa pramusim, dan jikalau mereka mampu mengekalkan perpaduan dan prestasi tersebut sepanjang musim, beliau yakin pasukan lain akan mendapatinya sukar untuk membolosi gawang Geylang kali ini.
Pendekatan ini merupakan perubahan ketara kepada permainan gaya bebas yang menjadi identiti Geylang musim lepas, tetapi Vincent menerima perubahan tersebut sebagai peningkatan taktikal yang akan tingkatkan prestasi pasukan.
Dengan pemergian penyerang prolifik mereka, Tomoyuki Doi – yang telah menjaringkan 44 gol di SPL untuk Geylang musim lalu, Vincent akui bahawa mereka kini perlu mencari sumber gol yang lain.
Namun beliau percaya bahawa pasukan semasa, dengan pemain baru, mampu untuk memikul tanggungjawab besar tersebut.
“Sudah tentu ada perbezaan musim ini. Doi merupakan penjaring gol yang hebat. Dengan pemergiannya, pemain lain perlu tampil menjaringkan gol – termasuk saya juga,” kata beliau.
“Kami telah perkukuhkan skuad dengan beberapa pemain yang mampu menjaringkan gol dan beri sumbangan. Jika kami tidak menjaringkan gol sebanyak musim lalu, kami masih boleh memenangi perlawanan jika kami lebih mantap dan cekap sebagai satu pasukan.”
Beliau juga tekankan bahawa beliau ingin mengelak daripada kecederaan bagi musim ini agar dapat kekal menyumbang dan menghibur penyokong setia pasukannya.
“Penyokong boleh jangkakan kami untuk memberikan segala-galanya dalam setiap perlawanan, untuk bersaing dan mempamerkan bola sepak serta kemenangan yang baik,” ujar beliau.
“DNA pasukan kami tidak ubah, kami masih akan pamerkan gaya serangan bebas yang digemari dan matlamatnya adalah untuk menamatkan SPL dalam kedudukan yang terbaik.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg