Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Geylang sandar pada pengalaman SPL kejar kelayakan ACL

Jurulatih setia Noor Ali mahu guna pendekatan berdisiplin bagi kempen musim 2025/26
Aug 22, 2025 | 5:30 AM
Noor Ali, Geylang International, SPL, Liga Perdana Singapura
Geylang International memulakan kempen 2025/26 Liga Perdana Singapura (SPL) di bawah bimbingan jurulatih setia mereka, Noor Ali. Trofi dan kedudukan teratas liga kekal sebagai sasaran, namun beliau mementingkan pembangunan belia dan rasa kekitaan kepada kelab. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kelab bola sepak Geylang International menduduki tempat ketiga pada musim Liga Perdana Singapura (SPL) 2024/25 lalu, mencatatkan jaringan terbanyak SPL dengan 97 gol, tetapi dibolosi sebanyak 64 kali. Mereka ingin mengekalkan identiti bermain bola sepak yang bebas, tetapi kini pertingkatkan lagi prestasi dengan mengukuhkan barisan pertahanan. Bagi musim SPL 2025/26, Berita Harian (BH) menemui ketua jurulatih mereka, Noor Ali, dan pemain utama, Vincent Bezecourt, yang merupakan sebahagian Pasukan Terbaik SPL musim lepas.

Walaupun berjaya menamatkan saingan Liga Perdana Singapura (SPL) di tempat ketiga musim lalu, Ketua Jurulatih Geylang International, Noor Ali, mengakui pencapaian itu tidak mudah untuk diulangi musim ini, dengan pasukan di sekeliling liga turut memperkukuhkan skuad mereka dengan pemain asing.

“Kita perlu sedar bahawa banyak pasukan telah mengukuhkan skuad mereka dengan tambahan pemain asing, jadi saya rasa saingan SPL akan menjadi lebih sengit musim ini,” kata beliau.

Bagi musim akan datang, jurulatih Geylang itu menyasarkan untuk menduduki tiga tempat teratas sekali lagi, sambil pertingkatkan prestasi mereka di Piala Singapura.

“Prestasi kami tidak begitu baik dalam Piala Singapura. Itu pasti sesuatu yang kami mahu lakukan dengan lebih baik, kerana kami juga ingin mendapatkan tempat di Liga Juara Asia (ACL),” kata jurulatih berusia 50 tahun itu.

Beliau juga mengakui walaupun pasukannya menghiburkan peminat dengan jenama bola sepak mereka yang bebas dan mencatat jaringan tinggi, mengumpul hampir 100 gol musim lalu, ia mendatangkan kesan sampingan yang membimbangkan – barisan pertahanan yang kerap dibolosi, dengan 64 gol.

Kini, Noor Ali berhasrat untuk menggunakan pendekatan yang lebih berdisiplin musim ini, dan telah memilih untuk bergantung kepada pemain yang terbukti di SPL untuk membantu pasukannya mencapai sasaran mereka.

Antara pemain berpengalaman di SPL yang telah ditandatangani adalah pemain tengah berpengalaman Singa, Shahdan Sulaiman ; penyerang Albirex Niigata, Shuhei Hoshino; pemain pertahanan Hougang United, Tajeli Salamat; bek kanan Hougang United, Nazrul Nazari dan pemain tengah Albirex, Shodai Yokoyama.

Namun, Noor Ali juga mendapatkan khidmat beberapa bakat asing seperti pemain pertahanan Serbia, Nikola Ignjatovic dan pemain pertahanan Korea Selatan, Ko Jaehyun untuk perkukuhkan barisan pertahanan pasukan beliau.

Selain itu, beliau juga mendapatkan beberapa pemain daripada pasukan belia Geylang seperti pemain tengah, Raiyan Noor; pemain sayap, Hud Ismail; bek kanan, Syafi Suhaimi dan lain-lain lagi.

Bagi Noor Ali, pemilihan pemain muda ini mempamerkan bahawa Geylang menekankan pembangunan pemain dari tahap belia dan sediakan peluang untuk mereka beraksi di SPL pada masa depan.

Antara perkara yang akan menjadi tumpuan musim ini adalah bagaimana Geylang akan kekalkan prestasi mereka tanpa penyerang prolifik mereka, Tomoyuki Doi, yang memainkan peranan penting dalam ancaman serangan Geylang musim lalu.

Namun, Noor Ali kekal yakin dengan pilihan serangan semasanya, menonjolkan gabungan pemain seperti pemain tengah mereka, Vincent Bezecourt, Shodai dan Hoshino.

“Doi merupakan penjaring gol semula jadi.

“Hoshino, sebaliknya, akan menggabungkan beberapa pemain untuk mendapatkan gol beliau. Jadi persediaan pasukan kekal sama, tetapi kami mungkin membawa lebih ramai pemain ke bahagian serangan,” kata Noor Ali.

Beliau juga melihat pengurusan kecergasan dan kecederaan sebagai antara cabaran utama musim ini.

Dengan format liga di mana setiap pasukan akan menentang satu sama lain sebanyak tiga kali, ditambah dengan jadual pertandingan lain seperti Piala Singapura, kedalaman skuad dan penggiliran pemain menjadi penting.

“Cabarannya ialah memastikan mereka bebas daripada kecederaan.

“Kami mempunyai 40-45 pemain, tetapi ia mengenai siapa yang boleh kekalkan mutu permainan apabila dimainkan,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg