Topik diikuti
Pergi ke BHkuTottenham kecewa, Man U gembira
Tottenham kecewa, Man U gembira
Tottenham seri 2-2 dengan Brighton; United menang 1-0 ke atas Chelsea
Tottenham kecewa, Man U gembira
LONDON: Georginio Rutter dari Brighton and Hove Albion menghancurkan impian Tottenham Hotspur (Spurs) apabila menjaringkan gol penyamaan dalam masa tambahan.
Hasil jaringan gol itu memastikan perlawanan berakhir seri 2-2 dan meninggalkan pasukan tuan rumah terperangkap dalam zon penyingkiran Liga Perdana pada 18 April.
Pada mulanya, sepakan Xavi Simons pada minit ke-77 seakan-akan telah memastikan kemenangan liga pertama Tottenham pada 2026 – dan kemenangan pertama mereka di padang sendiri dalam tempoh 134 hari.
Namun, di minit kelima daripada lapan minit masa tambahan yang tegang, Tottenham kecundang apabila pemain gantian Rutter menyepak bola tinggi ke dalam gawang, melepasi penjaga gol Spurs, Antonin Kinsky, bagi gol penyamaan.
Tottenham, yang kini tanpa kemenangan dalam 15 perlawanan liga, menduduki tangga ke-18.
Mereka telah bermain satu perlawanan lebih berbanding dua pasukan di atas mereka dan berada dalam kedudukan bahaya untuk turun ke Liga Kejohanan – kali pertama sejak 1977.
Perlawanan Spurs di bawah bimbingan Roberto de Zerbi sebagai pengurus baru Tottenham sememangnya penuh tekanan, lebih-lebih lagi kerana lawannya adalah bekas kelabnya sendiri.
Namun begitu, para pemain di bawah jagaannya tampil dengan permainan yang jauh lebih memberangsangkan.
Dalam satu perlawanan berasingan, pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick, berkata beliau menantikan lebih banyak “perlawanan besar”, selepas pasukannya meraih kemenangan 1-0 ke atas Chelsea pada 18 April hasil jaringan Matheus Cunha.
Kemenangan itu sekali gus merupakan langkah besar untuk United kembali ke Liga Juara-Juara selepas dua tahun gagal berbuat demikian.
Kemenangan itu melebarkan jurang 10 mata antara pasukan bergelar The Red Devils itu – yang berada di tempat ketiga – dengan Chelsea yang berada di tangga keenam.
Lima pasukan teratas Liga Perdana akan layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
“Itulah sebabnya kita ada di sini, untuk perlawanan besar, perlawanan penting, untuk persembahan hebat dan agar penyokong dapat merasakannya,” kata Carrick.
Empat kekalahan liga berturut-turut memusnahkan peluang Chelsea untuk kembali selaku antara elit Eropah musim hadapan dan menambah tekanan ke atas pengurusnya, Liam Rosenior, sejak beliau mengambil alih jawatan lebih tiga bulan lalu.
“Saya tidak mahu pasukan saya merasakan segalanya menentang kita. Kita harus terus berjuang,” kata ketua pasukan Chelsea itu.
“Saya yang meletakkan tekanan paling besar ke atas diri saya sendiri. Kita hanya perlu terus bekerja bersama kakitangan dan para pemain untuk mengubah keadaan,” tambahnya.
Chelsea sekali lagi kecewa dengan ketiadaan penyerang hebat, terbukti apabila mereka gagal menembusi pertahanan United yang tidak lengkap menyusuli kecederaan dan penggantungan para pemainnya.
Carrick terpaksa menurunkan barisan pertahanan yang menampilkan tiga bek sayap dan Ayden Heaven yang berusia 19 tahun.
Namun, United berjaya bertahan dan keputusan itu semakin mengukuhkan kedudukan Carrick untuk mendapatkan jawatan pengurus tetap di Old Trafford selepas musim ini berakhir. – Agensi berita.
“
“Itulah sebabnya kita ada di sini, untuk perlawanan besar, perlawanan penting, untuk persembahan hebat dan agar penyokong dapat merasakannya.”“
Saya tidak mahu pasukan saya merasakan segalanya menentang kita. Kita harus terus berjuang. Saya yang meletakkan tekanan paling besar ke atas diri saya sendiri. Kita hanya perlu terus bekerja bersama kakitangan dan para pemain untuk mengubah keadaan.”