Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tragedi bintang bola sepak dunia: Nama mereka dikenang selamanya

Penyerang Liverpool, Diogo Jota, terkini terlibat dalam nahas
Jul 14, 2025 | 5:30 AM
Diogo Jota, liverpool, nahas
Penyerang Portugal dan Liverpool, Diogo Jota (gambar) dan adik lelakinya, Andre, terlibat dalam kemalangan ngeri di Sepanyol yang mengorbankan kededua pemain bola sepak itu.  - Foto REUTERS

LONDON: Tanggal Khamis, 3 Julai, kini dikenang sebagai “hari penuh duka” dalam dunia bola sepak, berikutan kematian tragik pemain penyerang Portugal dan Liverpool, Diogo Jota, yang meninggal dunia hanya dua minggu selepas berkahwin dengan kekasihnya sejak zaman kanak-kanak, Rute.

Penyerang handalan berusia 28 tahun itu sedang dalam perjalanan ke Liverpool bagi satu latihan pramusim, apabila kereta yang dinaikinya bersama adik lelakinya, Andre, terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Sepanyol, yang mengorbankan kededua pemain bola sepak itu.

Menurut agensi penguat kuasa undang-undang Sepanyol, Guardia Civil, satu tayar kereta tersebut, sebuah Lamborghini, dipercayai meletup semasa sedang memotong, menyebabkan kereta itu terbabas dan terbakar di wilayah Zamora, Sepanyol.

Sedang dunia masih meratapi pemergian kededua beradik itu, berikut kisah beberapa pemain bola sepak lain yang turut terkorban dalam kemalangan tragik, termasuk Emiliano Sala dan Antonio Reyes.

Emiliano Sala

Penyerang dari Argentina ini yang dilahirkan pada 1990, meninggal dunia pada 21 Januari 2019 dalam satu penerbangan malang dari Perancis ke Wales.

Sala baru sahaja meninggalkan kelab lamanya di Nantes, dan sedang dalam perjalanan untuk menyertai pasukan barunya, Cardiff City, dengan bayaran pemindahan kelab £15 juta ($26.3 juta ketika itu), apabila pesawat yang dinaikinya terhempas.

Cardiff, yang ketika itu sudah melunaskan bayaran pemindahan bagi penyerang Argentina itu, berharap kehadiran Sala dapat menyelamatkan kelab itu daripada tersingkir daripada Liga Perdana England.

Namun, Sala tidak kunjung tiba, dan Cardiff akhirnya tersingkir daripada kejohanan tersebut dengan kekurangan dua mata pada musim 2018-19.

Mayat Sala ditemui dua minggu selepas nahas tersebut.

Malangnya, mayat juruterbangnya, David Ibbotson, masih belum ditemui sehingga ke hari ini, lapor The Guardian UK.

Kematian Sala, 28 tahun, dipenuhi kontroversi dan mencetuskan beberapa siri tindakan undang-undang yang berpanjangan antara kededua kelab tersebut, dan pihak yang terlibat dalam nahas itu.

Beberapa laporan menunjukkan ejen yang berkhidmat sebagai perantara dalam pemindahan Sala, Willie McKay, terlibat dalam mengatur penerbangan beliau ke Cardiff yang berakhir dengan tragedi.

Pesawat privet yang digunakan bagi perjalanan tersebut tidak berlesen, dan juruterbangnya, David Ibbotson, 59 tahun, tidak mempunyai sijil kelayakan yang sah.

Jose Antonio Reyes

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol ini digemari ramai sepanjang kerjayanya bersama kelab terkemuka seperti Arsenal, Real Madrid, Atlético Madrid, Benfica dan Sevilla.

Dilahirkan di Utrera, Sepanyol, Reyes memulakan kerjaya profesionalnya bersama Sevilla, sebelum menarik tumpuan ramai dengan pemindahan ke Arsenal pada 2004.

Beliau memainkan peranan penting dalam musim “tanpa kalah” Arsenal.

Reyes turut memenangi beberapa kejuaraan liga dan dikagumi kerana kemahirannya bermain di bahagian sayap.

Malangnya, Reyes, 35 tahun, meninggal dunia dalam satu nahas kereta pada Jun 2019.

Pemergiannya mengejutkan dunia bola sepak, dan beliau terus dikenang sebagai seorang pemain berbakat besar yang disayangi ramai.

Kehidupan Christian Atsu berakhir dengan tragik apabila satu gempa bumi yang melanda Antakya, Hatay, Turkey pada Februari 2023 meruntuhkan apartmennya dan meragut nyawanya.
Kehidupan Christian Atsu berakhir dengan tragik apabila satu gempa bumi yang melanda Antakya, Hatay, Turkey pada Februari 2023 meruntuhkan apartmennya dan meragut nyawanya. - Foto INSTAGRAM CHRISTIAN ATSU

Christian Atsu

Pemain ini menjadi popular dalam dunia bola sepak semasa beliau menyertai Chelsea pada 2013 dari FC Porto.

Walaupun pemain Ghana yang berbakat ini terkenal dengan kepantasan dan kepakarannya menggelecek bola, beliau mendapati sukar menempatkan diri dalam pasukan utama Chelsea.

Atsu, 31 tahun, kemudian dipinjamkan ke beberapa kelab, dan menunjukkan persembahan menyerlah semasa bermain dengan kelab Vitesse, Málaga, Everton, dan Newcastle United, dan beliau mempunyai ramai peminat.

Namun, kehidupannya berakhir dengan tragik apabila satu gempa bumi yang melanda Antakya, Hatay, Turkey pada Februari 2023 meruntuhkan apartmennya dan meragut nyawanya.

Cheick Tioté meninggal dunia pada 5 Jun 2017, selepas rebah tidak sedarkan diri semasa menjalani latihan bersama pasukan Beijing Enterprises di China.
Cheick Tioté meninggal dunia pada 5 Jun 2017, selepas rebah tidak sedarkan diri semasa menjalani latihan bersama pasukan Beijing Enterprises di China. - Foto fail

Cheick Tioté

Pemain tengah Ivory Coast ini yang mempunyai gaya terjahan keras, terkenal semasa bermain dengan Newcastle United.

Beliau menjaringkan gol penyamaan yang sukar dilupakan dalam keputusan seri 4-4 menentang Arsenal pada 2011.

Tioté, 30 tahun, memulakan kerjaya profesionalnya di Belgium sebelum berpindah ke FC Twente, dan pasukannya memenangi Liga Belanda pada 2010.

Namun, beliau meninggal dunia pada 5 Jun 2017, selepas rebah tidak sedarkan diri semasa menjalani latihan bersama pasukan Beijing Enterprises di China. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg