Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Triatlet S’pura, Luke Chua, tekad menang Sukan SEA

Turut ingin layakkan diri ke Sukan Asia 2026 di Jepun, Olimpik Los Angeles 2028
Jan 7, 2025 | 12:25 PM
Triatlet Singapura, Luke Chua, menjadi ahli sukan profesional pada awal 2025 dalam usahanya untuk memenangi Sukan SEA 2025 dan layak ke Sukan Asia 2026 dan Olimpik 2028.
Triatlet Singapura, Luke Chua, menjadi ahli sukan profesional pada awal 2025 dalam usahanya untuk memenangi Sukan SEA 2025 dan layak ke Sukan Asia 2026 dan Olimpik 2028. - Foto MAJLIS OLIMPIK KEBANGSAAN SINGAPURA

Ramai yang mengatakan bahawa ia mustahil dan beliau ‘gila’ untuk cuba menjadikan sukan sebagai pekerjaan sepenuh masanya.

Namun, ini menjadi motivasi bagi triatlet negara, Luke Chua, untuk menjadi profesional pada awal 2025 demi mengejar matlamatnya memenangi Sukan SEA Thailand pada Disember 2025, serta melayakkan diri ke Sukan Asia 2026 di Jepun dan Olimpik Los Angeles 2028.

“Saya mempunyai keyakinan terhadap diri saya dan ramai orang juga percaya pada saya, jadi saya rasa bertuah.

“Jika saya tidak dikelilingi oleh orang seperti mereka sekarang, saya tidak akan berada di sini hari ini,” kata atlet berusia 23 tahun itu.

Chua kini berada di Brisbane, setelah berpindah ke sana pada pertengahan 2023 untuk berlatih bersama jurulatihnya, Matthew Bury, sambil menamatkan ijazah pemasaran di Universiti Teknologi Queensland, lapor The Straits Times (ST).

Menjadikan sukan sebagai kerjaya sepenuh masa adalah sesuatu yang sudah diingininya sejak beliau mula menyertai sukan renang kompetitif pada usia 10 tahun.

Jurulatihnya pada masa itu mencadangkan beliau mencuba aquatlon (acara renang diikuti dengan larian dalam satu pertandingan) setelah Chua mencatatkan masa sembilan minit dalam ujian larian 2.4 km ujian Anugerah Kecergasan Fizikal Nasional (Napfa).

Dalam perlumbaan renang-dan-lari pertamanya, beliau menduduki tempat kedua.

Dipengaruhi oleh bapanya, beliau mula berbasikal dan akhirnya mencuba triatlon.

“Saya ingin mencuba untuk memberi inspirasi kepada generasi muda bahawa anda tidak perlu mengikuti laluan biasa untuk belajar dengan baik dan keluar bekerja, anda mempunyai pilihan,” jelas Chua.

Chua akan memulakan musimnya dalam kira-kira enam minggu dengan perlumbaan di India, sebelum ke Sepanyol untuk kem latihan selama tiga bulan.

Acara ujian bagi Sukan Asia 2026 yang akan diadakan di Aichi dan Nagoya juga ada di dalam kalendarnya, dengan kem latihan di Thailand mungkin dijadualkan sebelum Sukan SEA pada 9 hingga 20 Disember.

Di Sukan SEA Kemboja 2023, Chua menduduki tempat keempat dalam kededua acara aquatlon dan triatlon – yang mempunyai sekitar 14 peserta – walaupun tidak dapat berlatih banyak kerana masih menjalani perkhidmatan negara (NS).

Kini, dengan 30 hingga 35 jam latihan setiap minggu, beliau yakin bahawa tempat pertama dapat dicapai.

Chua berkata: “Apa yang menjadikan saya lebih bermotivasi adalah kerana saya menduduki tempat keempat dalam kededua acara Sukan SEA dan saya jarang berlatih semasa NS, dan saya boleh dapat tempat keempat.

“Apa yang mungkin terjadi jika saya dapat berlatih sepenuh masa?”

Juara kebangsaan lima kali itu merancang untuk berlatih dan bertanding sepenuh masa sehingga 2029 dan akan membiayai usahanya melalui sokongan daripada program Potensi Kecemerlangan Sukan dan juga dengan wang simpanannya.

Namun, untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, atlet nombor 657 dunia itu perlu naik dalam kedudukan ranking.

Pada Olimpik 2024, terdapat hanya 55 tempat dalam kategori sukan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg