Ramai peminat bola sepak, kecuali penyokong England yang paling setia menganggap pemenang final Kejohanan Eropah pada dinihari nanti bak telah ditentukan.
Sepanyol, yang menewaskan pasukan tuan rumah Jerman di suku akhir adalah pasukan pilihan untuk menang dan cara ia beraksi sehingga ke peringkat ini adalah antara sebabnya andaian itu dibuat.
Anak didik jurulatih, Luis de la Fuente, telah menggabungkan disiplin dengan daya kreativiti yang tiada tolok bandingnya.
Melalui Lamine Yamal dan Nico Williams, Sepanyol mempunyai dua pemain muda terbaik di dunia dan tenaga ‘mentah’ yang dicurahkan oleh kededua pemain itu di padang diimbangi pengalaman yang diberikan pemain lebih mapan seperti, Rodri, Fabian Ruiz dan Dani Olmo.
Olmo, yang beraksi di ‘midfield’ dan cemerlang bagi RB Leipzig sepanjang musim lalu, kini sedang diburu Manchester United dan Liverpool.
Tidak menghairankan, kerana beliau kini menjadi pemain Sepanyol pertama sejak David Silva di Euro 2012, untuk melibatkan diri dalam lima gol – jaring tiga gol, rintis dua gol – dalam satu kejohanan.
Pada 2012, sumbangan Silva itu membantu Sepanyol menjadi juara Euro, dan peminat Sepanyol berharap sejarah itu akan berulang.
Gabungan pemain muda dan mapan ini bermakna Sepanyol, yang dianggap melalui laluan lebih sukar untuk ke final menunjukkan keupayaan sebenar.
Ini selepas ia berjaya memenangi semua tiga perlawanan kumpulan dan kemudian, mengatasi Jerman, Georgia dan Perancis.
Sepanyol, berdasarkan cara permainannya dan keputusan yang diraih, adalah pasukan yang dianggap terbaik sepanjang kejohanan ini.
Ia kini memiliki rekod membanggakan sebagai negara pertama di Eropah memenangi enam perlawanan dalam satu kejohanan.
Mereka juga meraih pencapaian itu dengan rekod kemenangan berturut-turut.
Trofi, bak dalam genggaman Sepanyol berdasarkan hakikat itu.
Sebaliknya, England, terkial-kial untuk mengutip mata di peringkat kumpulan selepas ia menewaskan Serbia 1-0 dalam perlawanan pembukaan.
England diikat seri oleh Slovenia dan Denmark serta memerlukan gol penyelamat oleh Jude Bellingham, dalam masa kecederaan perlawanan kalah mati pertama dengan Slovakia untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pada suku akhir, England berhempas-pulas semasa menentang Switzerland dan hanya berjaya menewaskan lawan menerusi tendangan penalti.
Dalam separuh akhir, England bangkit untuk menunjukkan persembahannya yang terbaik, tetapi memerlukan gol pada minit ke-90 oleh Ollie Watkins untuk menjamin kemenangan.
Berdasarkan persembahan England setakat ini, Sepanyol tidak akan berasa bimbang.
Ia bukan sahaja mampu menguasai perlawanan pada dinihari nanti, malah boleh memastikan England terkejar-kejar bola sepanjang perlawanan dan menjaringkan gol apabila England kepenatan.
Satu kelemahan yang mungkin dialami Sepanyol adalah bahaya menjadi terlalu yakin dan menganggap remeh tentangan pasukan lawan.
Malah, La Fuente sendiri, semasa diminta mengulas mengenai pasukannya dan prestasi Yamal, berkata satu cabaran bagi beliau dan pasukannya adalah untuk terus bersikap rendah hati dan terus memburu keputusan yang diidamkan menerusi kerja keras.
Mengenai Yamal, beliau berkata:
“Kami tidak harus lupa beliau baru berusia setahun jagung, beliau masih muda, perjalanannya masih jauh. Kami perlu menolong beliau mencapai potensi dengan sentiasa membantunya agar kekal bersikap rendah hati.”
Namun La Fuente akur, pasukan yang dipimpinnya itu mempunyai ciri-ciri yang boleh membantunya mencapai kemenangan yang diidamkan di final nanti.
Sepanyol, sebagaimana ia dipuji oleh beberapa juruanalisis bola sepak dan bekas pemain mempunyai kekuatan dan kelajuan untuk memporak-perandakan lawan.
Di bawah pimpinan La Fuente, Sepanyol mempunyai tenaga pengemudi yang mampu mengawal dan menggunakan kekuatan dan kelajuan untuk mencapai matlamatnya.
Sepanyol 3 England 1
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg