Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK TEMPATAN

Tuah Irfan Najeeb di posisi bek kanan

Mar 25, 2023 | 05:30 AM



IRFAN Najeeb menghabiskan masa bertahun-tahun membentuk dirinya sebagai pemain bek tengah, tetapi pertukaran posisi sejak beberapa tahun lalu ketika beliau dikerahkan sebagai bek kanan telah menarik tumpuan ramai.



Usaha gigih pemain pertahanan Tampines Rovers itu membuahkan hasil.



Irfan, 23 tahun, menjadi antara lima muka baru - selain rakan sepasukan Amirul Haikal dan Joel Chew; pemain Lion City Sailors Lionel Tan; dan Daniel Goh dari Balestier Khalsa - untuk mendapat panggilan pertamanya ke dalam skuad senior Singa bagi perlawanan persahabatan 'A' negara di Hong Kong dan Macau.



"Ia pastinya detik membanggakan untuk saya sebab sewaktu kecil, saya adalah peminat pasukan nasional," kata Irfan yang mula bermain bola sepak seawal umur 7 tahun.



"Anda sentiasa mahu mewakili Singapura. Dengan berkat usaha selama bertahun-tahun ini, saya rasa bangga mendapat panggilan ke skuad senior negara ini," tambah beliau yang merupakan anak saudara kepada bekas kapten Singapura, Shahril Ishak.



Pada Khamis, impian Irfan menjadi nyata apabila diberikan kepercayaan jurulatih pasukan Singa Takayuki Nishigaya untuk memulakan aksi menentang Hong Kong.



Perlawanan itu berkesudahan 1-1 di Stadium Mong Kok, dengan Irfan diturunkan sebagai bek kanan dalam formasi 4-5-1 dan bermain selama 90 minit penuh.



"Sudah tentu, saya rasa lega kerana saya pernah menjadi sebahagian pasukan Bawah 19 dan 22 Tahun Singapura. Langkah seterusnya adalah bermain untuk pasukan 'A' nasional lantas saya gembira bahawa saya sedang membuat kemajuan.



"Ini menunjukkan yang kerja keras saya selama ini bukan sia-sia sahaja," kata calon Anugerah Dollah Kassim TNP 2016 itu.



Sifat serba bolehnya untuk bermain dalam dua posisi berbeza turut dilihat sebagai satu aset, kata Irfan.



"Saya tiada masalah dalam memperbaiki diri saya (dan mempelajari posisi baru) sebab saya masih ada ruang untuk diperbaiki.



"Saya tahu saya tidak mempunyai susuk badan yang terbaik untuk menjadi seorang pemain bek tengah.



"Jadi, ia sentiasa bagus untuk memiliki pilihan posisi lain yang boleh saya main dan beraksi dengan cemerlang," ujar beliau.



Bagaimanapun, ini tidak bermakna Irfan sudah putus harapan untuk kembali diturunkan dalam posisi pertamanya.



Malah, beliau meraih inspirasi daripada pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin, yang dijadikan rujukan buat dirinya.



"Apabila saya menonton pasukan nasional bermain, Safuwan ialah idola saya," kata Irfan.



Safuwan, yang kini menyarung jersi kelab Liga Super Malaysia Negeri Sembilan FC, telah membuat 108 penampilan untuk Singapura.



"Safuwan bukanlah pemain bek tengah dengan tubuh badan yang paling besar. Tetapi, dia sangat bijak dan pantas. Dia 'membaca' perlawanan dengan sangat baik," tambah Irfan.



Dengan persembahan yang menggalakkan pada Khamis, Singapura menyasar membina rentaknya apabila seterusnya berdepan Macau pada Ahad di Stadium Olimpik Macau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >