LONDON: Bekas jurulatih West Ham United, Harry Redknapp menyatakan bahawa Thomas Tuchel perlu memenangi Piala Dunia 2026 untuk membuktikan bahawa beliau layak dipilih membimbing pasukan bola sepak England.
Jurulatih warga Jerman itu merupakan jurulatih warga asing ketiga England apabila dilantik sebagai pengganti Gareth Southgate pada January 2025.
Beliau akan membimbing skuadnya buat kali pertama dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Albania di Wembley pada 22 Mac.
Menurut Rednapp yang merupakan bekas pengurus Tottenham Hotspur, Tuchel bukan pilihan yang ideal untuk menjadi jurulatih England.
Tetapi Tuchel mewarisi skuad yang menjadi idaman ramai jurulatih.
“Ia pelik sebenarnya. Saya dengar Jens Lehmann (bekas penjaga gawang Arsenal) kata bahawa beliau tidak boleh bayangkan pasukan Jerman mempunyai jurulatih warga England,” kata bekas jurulatih berusia 78 tahun itu.
“Beliau bukan pilihan yang jelas bagi saya. Apabila kami ada warga Italy, Fabio Capello (sebagai jurulatih England), beliau merupakan seorang yang menang di mana juga beliau berada - di Liga Juara-Juara, Milan. Beliau ikonik.”
Selain Capello dan Tuchel, England juga pernah diurus Sven-Goran Eriksson, jurulatih warga Sweden.
Tuchel telah memenangi dua trofi liga bersama Paris Saint-Germain, Liga Juara-Juara bersama Chelsea dan juga Bundesliga bersama Bayern Munich.
Tetapi ini merupakan peranan antarabangsa pertama bagi jurulatih berusia 51 tahun itu.
Kempen kelayakan Piala Dunia England bermula menentang Albania sebelum mereka menentang Latvia pada 25 Mac.
England akan berdepan dengan Andorra (8 Jun) dan Serbia (10 September) dalam kumpulan K, dan Rednapp percaya bahawa ini semua merupakan pasukan yang England patut kalahkan dengan mudah.
“Beliau (Tuchel) perlu menang trofi untuk dianggap sebagai jurulatih England yang berjaya. Beliau mempunyai peluang untuk menang, beliau mempunyai skuad dan pemain yang hebat,” kata Redknapp.
Southgate berjaya membimbing England ke dua peringkat akhir kejohanan Eropah dan satu peringkat separuh akhir Piala Dunia, tetapi gagal mendapatkan trofi.
Redknapp, yang tidak dipilih sebagai jurulatih England, berkata bahawa beliau lebih suka jika warga England memikul tanggungjawab itu.
Namun, beliau akui bahawa hanya jurulatih Newcastle, Eddie Howe, yang menonjol sebagai calon.
Howe berjaya membimbing pasukan kendaliannya untuk mendapatkan Piala Carabao setelah mengalahkan Liverpool - trofi utama pertama mereka sejak memenangi Piala FA pada 1955.
“Saya ingin lihat warga England yang menjadi jurulatih pasukan England. Jikalau jurulatih itu tidak dapat dicari, ia menunjukkan bahawa ada masalah di sana,” kata Redknapp. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg