LONDON: Kapten England, Harry Kane yakin bahawa beliau sedang beraksi pada tahap tertingginya dan menafikan bahawa Piala Dunia 2026 akan menjadi kali terakhir beliau bermain bola sepak.
Memandang ke hadapan, bekas jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel akan mengambil alih sebagai pengurus skuad kebangsaan England pada Januari.
Kelayakan Piala Dunia pada Mac akan menjadi pertandingan pertama bagi Tuchel sebagai pengurus England.
Pengurus sementara, Lee Carsley membimbing England naik dari peringkat kedua Liga Negara-Negara dengan lima kemenangan daripada enam perlawanannya.
Itu termasuk kemenangan 3-0 di tempat lawan di Greece pada 15 November lalu, di mana Carsley menempatkan Kane di bangku simpanan.
Kane yang berusia 31 tahun mengakui bahawa beliau terkejut dengan keputusan itu, namun Kane menjaringkan gol semasa England membelasah Republik Ireland 5-0 pada 17 November ketika kembali ke kesebelasan utama.
Pada Euro 2024 musim panas lalu, Kane sering kelihatan penat dan digantikan dalam semua empat perlawanan kalah mati ketika England mara ke final, di mana mereka tewas kepada Sepanyol.
Tetapi penyerang Bayern itu telah menjaringkan 20 gol untuk kelab dan negara dalam 21 penampilan musim ini.
“Saya rasa ada persepsi apabila anda mencapai usia tiga puluhan bahawa prestasi anda akan merosot, tetapi saya beraksi pada tahap tertinggi yang pernah saya lakukan dan berasa sebaik yang pernah saya rasakan,” kata Kane kepada wartawan.
“Saya tidak suka memandang terlalu jauh ke hadapan dalam kerjaya, tetapi Piala Dunia pastinya menarik.
“Piala Dunia di (benua) Amerika akan menjadi satu peristiwa yang luar biasa dan yang pasti kami ingin cuba untuk memenanginya.
“Kami ingin melihat di mana kami berada, dan di mana untuk perbaiki permainan.”
Beliau berkata demikian di pelancaran patungnya di rumah bekas kelab remajanya Ridgeway Rovers di timur London.
Kane sudah pun menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang masa England dengan 69 gol dalam 102 perlawanan, dan dengan mudah juga boleh mengatasi rekod Peter Shilton yang bermain sebanyak 125 kali.
Tetapi Kane percaya bahawa beliau mesti membantu menamatkan penantian negaranya untuk kemenangan kejohanan Piala Dunia.
Kali pertama dan terakhir England menjulang Piala Dunia ialah pada 1966.
Menurutnya beliau ingin mencontohi kapten pemenang Piala Dunia Bobby Moore dan diberi penghormatan di Stadium Wembley. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg