Tujuh tahun selepas kali terakhir bertarung secara profesional, bekas juara tinju nasional, Muhamad Ridhwan Ahmad, kembali ke gelanggang dengan hanya sebelah kaki yang benar-benar dapat diharapkannya.

Hanya dua minggu sebelum pertarungan, Ridhwan mengalami kecederaan ketika melakukan latihan pecut yang menyebabkan otot betis kirinya terkoyak sehingga beliau sukar berjalan.

Meskipun hampir semua orang di sekelilingnya menasihatinya supaya menarik diri, beliau tetap menyarung sarung tinju di Singapura, di Foochow Building, Tyrwhitt Road, pada 26 September dan hanya memerlukan satu minit enam saat untuk menewaskan lawannya, Chaiyapruk Chainikom dari Thailand, menerusi ‘knock out’ (KO) pada pusingan pertama.

“Apabila perlawanan bermula, saya nampak satu peluang dan mengambil risiko untuk mara ke hadapan dan melepaskan tumbukan walaupun setiap langkah menyebabkan kaki saya sakit.

“Apabila beliau (lawannya) jatuh dan tidak bangun, saya sendiri terkejut dan hampir sebak kerana semua orang menjangkakan pertarungan yang lebih panjang.

“Ketika menunggu pengadil menghentikan perlawanan, saya rasa sangat lega kerana kaki saya memang sakit,” ujar Ridhwan, 39 tahun, sambil tertawa ketika ditemui Berita Minggu (BM).

Detik kemenangan KO itu turut dirakam dan dikongsi Ridhwan menerusi akaun Instagramnya, memaparkan saat lawannya tumbang selepas terkena tumbukannya.

Namun, baginya, kepulangan itu bukan sekadar untuk kembali merasakan debaran bertarung, malah peluang untuk menyelesaikan “urusan yang belum selesai” selepas rancangan pertarungan terakhirnya tujuh tahun lalu tidak kesampaian.

Menurut Ridhwan, selepas tewas kepada petinju Namibia, Paulus Ambunda, dalam perebutan gelaran dunia kelas ‘super bantam’ Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO) pada 29 September 2018, beliau dijadualkan bertemu semula Ambunda dalam satu perlawanan ulangan pada Mac 2019.

Namun, peluang untuk bertemu semula Ambunda tidak menjadi kenyataan disebabkan penangguhan penganjur dan faktor peribadi, menyebabkan kerjayanya terhenti tanpa beliau dapat mengakhirinya dengan cara beliau sendiri.

Sepanjang empat hingga lima tahun berikutnya, Ridhwan yang turut dikenali dengan gelaran ‘The Chosen Wan’, berkata matlamat dan cita-cita peribadinya diketepikan sedang beliau memberi tumpuan kepada tanggungjawab lain, termasuk melatih pasukan nasional Singapura, perniagaan, dan keluarganya.

Kini, dengan dua anak lelakinya masing-masing berusia sembilan dan lima tahun, serta urusan kerjanya sebagai pengasas gim tinju Legends Fight Sport semakin stabil, Ridhwan berkata beliau mula merindui perasaan mengejar matlamat untuk dirinya sendiri.

“Saya rindukan perasaan mempunyai satu matlamat peribadi yang boleh saya usahakan dan saya rasa sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu sekali lagi untuk diri saya sendiri.

“Saya selalu cakap kalau saya bersara, saya mahu bersara dengan cara saya sendiri, jadi saya memutuskan untuk bertarung sekali lagi,” jelas beliau, yang berlatih untuk pertarungan itu selama dua bulan.

Namun, hanya dua minggu sebelum perlawanan, kepulangannya hampir tergendala apabila beliau tiba-tiba terasa sesuatu “meletup” pada betis kirinya ketika menjalani latihan pecut dan kemudian jatuh ke lantai.

Menurut Ridhwan, seorang anak didiknya yang juga ahli fisioterapi memeriksanya sebelum seorang doktor mengesahkan otot beliau terkoyak.

Ridhwan terpaksa menyesuaikan latihan dan pergerakannya selepas otot betis kiringnya terkoyak hanya dua minggu sebelum pertarungan.
Ridhwan terpaksa menyesuaikan latihan dan pergerakannya selepas otot betis kiringnya terkoyak hanya dua minggu sebelum pertarungan. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

“Kecederaan itu menyebabkan saya tidak dapat bergerak dengan sempurna dan terpaksa menggunakan topang ketiak.

“Saya juga terpaksa mengubah gaya pertarungan dengan lebih banyak bergerak ke hadapan dan bergantung pada tangan dan pergerakan kepala.

“Jadi, apabila kaki saya bertembung dengan kaki lawan semasa perlawanan, saya terpaksa mengimbangi badan menggunakan sebelah kaki sahaja,” terangnya.

Apabila pengadil menghentikan pertarungan selepas 66 saat, Ridhwan berkata beliau terpinga-pinga dan sukar mempercayai apa yang baru berlaku.

“Saya rasa sedikit hilang arah dan terkejut. Semuanya terasa seperti tidak nyata, hampir seperti saya bertarung buat kali pertama,” kongsinya.

Ridhwan menjalani latihan selama dua bulan sebagai persiapan untuk kembali ke gelanggang selepas tujuh tahun tidak bertarung secara profesional.
Ridhwan menjalani latihan selama dua bulan sebagai persiapan untuk kembali ke gelanggang selepas tujuh tahun tidak bertarung secara profesional. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Menurutnya, kepulangan itu juga menjadi detik pertemuan semula dengan anggota pasukan yang pernah berada di sudutnya tujuh tahun lalu, termasuk jurulatihnya dari Russia yang terbang dari Kuala Lumpur untuk menyaksikan pertarungan tersebut.

Namun, Ridhwan, yang juga penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian pada 2018, berkata dirinya jauh berbeza berbanding tujuh tahun lalu – lebih tenang dan tidak lagi bertarung untuk membuktikan kemampuannya kepada orang lain.

“Dahulu saya mahu membuktikan sesuatu kepada orang lain. Sekarang, saya mahu membuktikannya kepada diri sendiri,” katanya.

Menurut Ridhwan, perlawanan tersebut diadakan sempena pembukaan Legends Fight Sport Katong, cawangan terbaharu gim miliknya yang terletak di pusat beli-belah Roxy Square, bersebelahan stesen MRT Marine Parade.

Beliau berkata gim itu, yang dijangka dibuka pada 1 Oktober, menandakan satu lembaran baharu buatnya, yang kini menumpukan sebahagian besar masanya kepada keluarga, perniagaan, dan bidang kejurulatihan.

Di luar gelanggang, Ridhwan kini memberi tumpuan kepada keluarga, bidang kejurulatihan, dan perniagaan, termasuk cawangan terbaharu gim miliknya, Legends Fight Sport Katong, di Roxy Square.
Di luar gelanggang, Ridhwan kini memberi tumpuan kepada keluarga, bidang kejurulatihan, dan perniagaan, termasuk cawangan terbaharu gim miliknya, Legends Fight Sport Katong, di Roxy Square. - Foto BM oleh FANDY RAZAK

Pada saat ini, Ridhwan mengakui bahawa bertarung bukan lagi keutamaan utamanya, dengan keluarga dan perniagaan perlu didahulukan sebelum beliau mempertimbangkan sebarang pertarungan pada masa depan.

“Keutamaan saya adalah untuk menjadi seorang bapa yang sentiasa ada untuk anak-anak saya, kemudian barulah operasi perniagaan.

“Saya hanya akan mempertimbangkan pertarungan sekiranya ia tidak menjejas keupayaan saya untuk menguruskan tanggungjawab keluarga dan perniagaan dengan baik,” ujar beliau.

Meskipun beberapa penganjur perlawanan telah menghubunginya dengan tawaran untuk bertarung di luar negara, termasuk Australia dan Thailand, Ridhwan berkata beliau mahu memberi masa kepada kecederaan betisnya untuk pulih sebelum menilai setiap tawaran bersama pasukannya.

Buat masa ini, beliau sendiri belum pasti sama ada kemenangan tersebut akan menjadi pertarungan terakhirnya atau permulaan kepada lebih banyak perlawanan.

Namun, Ridhwan berkata kepulangan selepas tujuh tahun itu membawa makna tersendiri apabila beliau mengimbas kembali bagaimana perjalanan tinjunya bermula.

“Saya ingat lagi... saya ditumbangkan dalam masa kurang seminit dalam perlawanan pertama saya.

“Kali ini, selepas tujuh tahun ‘hilang’ dari gelanggang, saya menang dalam tempoh hampir yang sama.

“Kemenangan ini membawa perjalanan saya dalam tinju seakan-akan kembali ke titik permulaan,” katanya sambil tersenyum.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti