Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Uefa dijadual undi gantung Israel daripada pertandingan Eropah

Sep 26, 2025 | 5:10 PM
Greece PAOK, maccabi, liga europa
Peminat kelab Greece PAOK membantah kelab Israel Maccabi Tel Aviv menjelang perlawanan Liga Europa pada 24 September. - Foto REUTERS

GENEVA: Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) kelihatan bersiap mengadakan undian tergempar untuk menggantung Israel daripada menyertai pertandingan Eropah pada minggu depan, ketika persekutuan nasional menimbangkan langkah berdepan tekanan politik yang kian meningkat.

Krisis itu memuncak minggu ini apabila pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa penggantungan Israel daripada bola sepak antarabangsa pada 23 September susulan pendedahan genosid di wilayah Palestin yang diduduki.

Satu sumber mengesahkan bahawa badan induk bola sepak Eropah itu mungkin membuat keputusan minggu depan untuk mengundi sama ada akan menggantung Israel daripada pertandingan Eropah.

Jika Uefa mengundi untuk menggantung Israel, ia bakal berdepan bantahan pentadbiran Amerika Syarikat – tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 – yang menentang keras sebarang usul serupa.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menghentikan sepenuhnya sebarang usaha melarang pasukan bola sepak nasional Israel daripada menyertai Piala Dunia (2026),” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika kepada Sky News.

Walaupun Uefa berkuasa menggantung Israel dan kelab-kelabnya daripada menyertai pertandingan di Eropah, ia mungkin tidak berupaya menghalang mereka daripada bertanding dalam kelayakan Piala Dunia, yang terletak di bawah naungan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Setiausaha agung daripada semua persatuan nasional Uefa akan mengadakan pertemuan di Marbella, Sepanyol, minggu ini.

Walaupun isu Israel tidak termasuk dalam agenda rasmi, para pegawai menjangkakan undian tergempar akan diadakan minggu depan.

Fifa tidak membalas pertanyaan agensi berita, Reuters, untuk memberi komen, manakala Uefa enggan berbuat demikian.

Presiden Persatuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub, berkata Israel tidak sepatutnya disahkan menyertai sebarang perlawanan, sama ada di bawah naungan Uefa atau Fifa.

“Israel telah melanggar prinsip, nilai dan statut Fifa. Justeru, saya percaya Israel sepatutnya dihukum,” kata Rajoub kepada TV2.

Menurut beliau, hukuman tersebut sepatutnya datang daripada Uefa dan Fifa.

Dalam pada itu, pasukan nasional Israel akan menentang Norway dan Italy, masing-masing di kedudukan pertama dan kedua dalam Kumpulan I kelayakan Piala Dunia 2026, pada Oktober 2025.

“Kami tidak menerima maklumat yang mengatakan kami menghadapi keputusan sedemikian (penggantungan Uefa).

“Kami fokus terhadap perlawanan antarabangsa menentang Norway dan Italy,” kata jurucakap Persatuan Bola Sepak Israel kepada Reuters.

Syarikat penyiaran Norway, NRK, melaporkan bahawa Persekutuan Bola Sepak Norway (NFF) salah satu ahli persatuan yang menyeru untuk mengadakan pertemuan mengenai Israel.

Namun, NFF enggan memberi komen.

Presiden NFF ada ahli jawatankuasa eksekutif Uefa, Lise Klaveness, turut mengetengahkan krisis di Gaza menjelang perlawanan menentang pihak kunjung, Israel, pada 11 Oktober.

“Kami dan pertubuhan lain tidak boleh bersikap tidak peduli tentang penderitaan kemanusiaan dan serangan berterusan yang telah lama dihadapi oleh penduduk Gaza,” kata Klaveness dalam satu kenyataan pada Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg