Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK EROPAH

United dikritik dahului 2-0 tapi biarkan Sevilla bangkit untuk seri

Apr 15, 2023 | 05:30 AM



MANCHESTER: Dua bekas pemain Manchester United, Paul Scholes dan Peter Schemeichel, mengkritik pasukan itu selepas ia mensia-siakan kelebihan dua gol untuk diikat seri oleh Sevilla dalam perlawanan Liga Europa pada awal Jumaat.



Scholes, yang dianggap sebagai antara pemain midfield terhebat dalam sejarah United, berkata keputusan itu boleh diibaratkan satu bencana, sementara Schemeichel berkata United kurang kepimpinan di padang.



Menambah kepada kemuraman di Old Trafford ialah kecederaan serius yang dialami Lisandro Martinez pada hujung perlawanan.



United melepaskan dua gol sendiri dalam 10 minit terakhir perlawanan walau menjaringkan dua gol dalam 20 minit pertama.



"Sevilla tidak memberi banyak tekanan ke atas United, tetapi pemain United mungkin menjadi terlalu yakin selepas menjaringkan dua gol awal," kata Scholes.



Schemeichel pula berkata beliau kurang puas hati kerana tiada pemain United menyekat dua pemain Sevilla daripada mengangkat Martinez keluar padang selepas beliau cedera pada minit ke-86.



Martinez rebah tanpa disentuh sebarang pemain dan dua rakan sepasukannya dalam pasukan nasional Argentina, Gonzalo Montiel dan Marcos Acuna, mengangkatnya ke luar padang.



"Mungkin mereka ingin memberi sokongan kepada warga sendiri, tetapi bagi saya pemain Sevilla berbuat demikian kerana tidak mahu kehilangan momentum dan kita membiarkan sahaja mereka berbuat demikian.



"Jika ada pemimpin yang kuat di padang, beliau pastinya akan menghentikan perbuatan itu dan meminta pasukan perubatan mengangkat Martinez keluar," kata Schemeichel.



Pengurus United Erik ten Hag berkata kecederaan yang dialami Martinez kelihatan serius, tetapi beliau tidak boleh memberi kata putus hingga pasukan perubatan membuat penilaian lengkap.



Kehilangan Martinez membimbangkan, terutama kerana Raphael Varane juga terpaksa digantikan pada waktu rehat kerana kecederaan.



Perlawanan itu bermula dengan baik bagi United, dengan kemenangan bak dalam tangan selepas Marcel Sabitzer menjaringkan dua gol pada minit ke-14 dan ke-21.



Namun, keputusan ten Hag mengeluarkan Bruno Fernandes, Jadon Sancho dan Anthony Martial pada minit ke-60 membawa padah kerana ia membolehkan Sevilla menguasai sebahagian besar perlawanan dan membina momentum untuk memburu gol penyamaan.



Menyusuli itu, Tyrell Malacia memperdaya David de Gea di gawang sendiri apabila beliau menyepak masuk hantaran lintang Jesus Navas, sebelum Youssef en-Nesyri menanduk bola yang mengena Harry Maguire sebelum melantun ke dalam gawang pada masa kecederaan.



Keputusan ini bermakna United bertandang ke Sevilla bagi perlawanan kedua suku akhir ini tanpa berbekal sebarang kelebihan dan dengan tekanan yang bertambah untuk melangkah ke separuh akhir.



Dalam perlawanan lain, Juventus mengatasi Sporting Lisbon 1-0 pada suku akhir pertama, sementara Feyenoord mengalahkan Roma dengan jaringan yang sama.



Bayern Leverkusen pula diikat seri oleh Union Saint-Gilloise di padang sendiri. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >