Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

United masih belum temui rentak jaringan

Aug 25, 2025 | 4:04 PM
EPL, Manchester United, Bruno Fernandes
Manchester United hanya mampu berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Fulham dalam Liga Perdana England (EPL) pada 24 Ogos. Walaupun berjaya mencipta beberapa peluang, mereka tidak memanfaatkannya, termasuk sepakan penalti oleh kapten pasukan, Bruno Fernandes (tengah). - Foto AFP

MANCHESTER: Kemenangan 4-1 Manchester United ke atas Bournemouth dalam perlawanan kedua siri pramusim pada Julai menarik perhatian apabila Rasmus Hojlund mengumumkan kepada media bahawa beliau berhasrat untuk kekal di Old Trafford.

Namun pada ketika itu, Hojlund tidak tahu bahawa perlawanan tersebut mungkin penampilan terakhirnya dalam kesebelasan utama United.

Pemindahan bernilai £74 juta ($128 juta) penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko, ke United akhirnya dimuktamadkan pada 9 Ogos, dan sejak itu Hojlund hanya bermain selama 18 minit dalam perlawanan terakhir siri pramusim menentang Everton.

Selepas itu, beliau langsung tidak diturunkan ketika menentang Fiorentina di Old Trafford dan tidak tersenarai dalam dua perlawanan musim baru Liga Perdana England (EPL).

Kini, juara Serie A, Napoli dijangka memperbaharui usaha mendapatkan Hojlund untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Romelu Lukaku, yang dijangka berehat selama empat bulan akibat kecederaan.

Dalam empat perlawanan terakhirnya, United hanya menjaringkan empat gol – satu penalti, dua jaringan sendiri, dan satu gol oleh Mason Mount apabila menentang Everton.

Kegagalan mereka membawa pulang tiga mata penuh semasa seri 1-1 dengan Fulham turut dikaitkan dengan kekecewaan melihat sepakan penalti Bruno Fernandes melambung tinggi.

Perkara tersebut tentunya tidak dijangkakan Amorim selepas membelanjakan £200 juta untuk membawa masuk Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Sesko.

Namun, ada faktor penyebab yang lain.

Sesko baru sahaja menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan barunya dua minggu lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu beraksi selama 37 minit menentang Fulham dan 25 minit ketika menentang Arsenal, namun seperti yang dikatakan Amorim, kemasukannya berlaku semasa pasukan sedang dalam fasa mencabar.

Cunha pula hampir menjaringkan gol hebat selepas mengawal hantaran jauh Altay Bayindir dengan cantik, namun percubaannya berjaya diselamatkan oleh Bernd Leno.

Persembahannya setakat ini cukup meyakinkan walaupun pasukannya tampak terkial-kial untuk mencatatkan kemenangan pertama musim baru ini.

Walaupun barisan serangan United memiliki bakat besar, buat masa sekarang mereka kelihatan seperti sekumpulan individu yang masih cuba memahami gaya permainan masing-masing, bukannya satu unit yang benar-benar serasi.

United hanya menjaringkan 44 gol liga musim lepas – rekod terburuk sejak musim 1973-74 – dan pelaburan besar kali ini memang difokuskan kepada barisan serangan.

“Kami terlalu fokus untuk mempertahankan kedudukan. Tapi kami akan mula menjaringkan gol kerana kami mencipta banyak peluang, itu yang penting,” kata Amorim selepas perlawanan.

Tetapi United masih perlu segera mencari jalan untuk menang, sementara Sesko menyesuaikan diri dengan EPL, dan Cunha serta Mbeumo meningkatkan persefahaman antara satu sama lain di padang.

Selepas menamatkan musim lepas di tangga ke-15, mereka kini berada di kedudukan ke-16 selepas dua perlawanan.

Mereka seterusnya akan menentang Burnley pada 30 Ogos dan terdesak mencatatkan kemenangan bagi mengembalikan keyakinan penyokong.

Perlawanan mungkin berbeza jika kapten Fernandes tidak mensia-siakan sepakan penalti beliau dalam separuh masa pertama.

Sepakan itu diberikan susuli Video Pembantu Pengadil (VAR) yang mengesahkan Mason Mount dikasari semasa sepakan sudut United.

Fernandes bersedia mengambil penalti dan sedang melakukan rutin biasa sebelum pengadil, Chris Kavanagh, secara tidak sengaja melanggar bahunya, yang menjejas tumpuan Fernandes.

“Tapi saya lebih kecewa sebab pengadil tak minta maaf. Itu yang buat saya marah ketika itu,” kata Fernandes selepas perlawanan. 

“Tapi itu bukan alasan bagi kegagalan saya... percubaan saya begitu buruk sekali... saya tersalah tendang dan itulah sebab bola melambung.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg