ANFIELD: Manchester United bertekad mengakhiri empat kekalahan berturut-turut dan berjaya memperlahankan langkah Liverpool untuk merangkul trofi Liga Perdana England (EPL) dengan mendapatkan keputusan seri 2-2 di Anfield pada 6 Januari.
Liverpool berada di tempat teratas EPL dengan kelebihan enam mata, dan mereka juga mempunyai kelebihan satu perlawanan di atas pasukan tempat kedua, Arsenal.
United mengakhiri enam tahun tanpa jaringan di Anfield dan membuka tirai perlawanan melalui rembatan Lisandro Martinez.
Mereka berjaya mendapatkan keputusan seri apabila Amad Diallo menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80.
Satu mata meletakkan United di tangga ke-13, tujuh mata daripada tempat tiga terbawah EPL.
“Saya cukup kecewa. Jika kami berupaya hasilkan persembahan tahap ini di Liverpool, pasukan yang berada di tempat pertama EPL, kenapa kami tidak boleh lakukan kepada pasukan lain?” kata kapten United, Bruno Fernandes.
“Akhirnya kami menghasilkan persembahan yang baik. Kami memerlukan persembahan serupa bagi mendapatkan keputusan lebih baik musim ini.”
Komen beliau menyusuli kekalahan 2-0 United kepada Newcastle pada 31 Disember.
Namun, untuk perlawanan ini, pasukan United diperkukuhkan dengan kehadiran Fernandes dan Manuel Ugarte yang kembali selepas digantung, manakala Kobbie Mainoo juga kembali ke kesebelasan utama.
Sebelum perlawanan, Slot memberi amaran bahawa United “jauh lebih baik” daripada kedudukan liga.
Dan amaran Slot terbukti benar.
Ia mengambil masa bagi United mengancam barisan pertahanan Liverpool, tetapi mereka patut mendahului perlawanan pada separuh masa pertama.
Rasmus Hojlund memperoleh peluang terbaik menjaringkan gol apabila beliau berjaya melepasi pertahanan Liverpool, tetapi percubaannya tidak dapat melepasi Alisson Becker.
Namun, United kini bermain dengan penuh yakin berbanding dengan persembahan mereka kebelakangan ini.
Akhirnya gawang Liverpool dibolosi pada separuh masa kedua hasil jaringan Martinez, yang mempamerkan kebolehan menyerang dengan rembatan kencang yang melepasi Alisson.
Jaringan tersebut merupakan jaringan kedua Martinez untuk United.
Namun, Liverpool membuktikan mengapa mereka kini menduduki tempat teratas EPL– mereka mempunyai pelbagai penyerang berbisa.
Walaupun United berjaya mengawal Mohamed Salah, mereka masih mempunyai penyerang yang berjaya menghasilkan jaringan penting untuk mengawal perlawanan itu semula.
Cody Gakpo berjaya melepasi Matthijs de Ligt dengan mudah, dan menyepak bola melepasi Onana untuk mendapatkan gol ke-10 beliau dalam 15 perlawanan pada minit ke-60.
Tandukan Mac Allister terkena tangan De Light dalam kotak penalti dan selepas semakan VAR, Liverpool dianugerahkan penalti.
Salah memanfaatkan penalti tersebut untuk mendapatkan jaringan EPL ke-18 beliau dalam 19 perlawanan.
Namun, persembahan United yang memberangsangkan berjaya mengakhiri rekod kekalahan berturut-turut Amorim yang merisaukan, terutama kerana ia masih awal di bawah bimbingannya.
Sikap Alejandro Garnacho telah dipersoalkan oleh Amorim tetapi pemain Argentina itu menyertai perlawanan dari bangku simpanan untuk menghasilkan gol penyamaan apabila hantaran lintangnya disambut baik oleh Diallo.
Perlawanan sepatutnya berakhir memihak United apabila percubaan Harry Maguire, hasil hantaran Joshua Zirkzee, terlepas sasaran pada detik-detik akhir masa tambahan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg