GRIMSBY: Manchester United menempuh detik paling memalukan apabila disingkirkan daripada Piala Liga oleh pasukan liga divisyen keempat, Grimsby Town, menerusi penentuan sepakan penalti 12-11, selepas seri 2-2 dalam perlawanan di Blundell Park pada 27 Ogos.
Perlawanan dalam cuaca hujan lebat berserta guruh itu menyaksikan pasukan tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan United dengan mendahului 2-0 hasil jaringan Charles Vernam dan bekas pemain muda United, Tyrell Warren, pada separuh masa pertama.
Namun, United akhirnya bangkit apabila Bryan Mbeumo menjaringkan gol pertamanya bagi kelab barunya itu.
Grimsby berjuang mempertahankan kelebihannya, namun tandukan Harry Maguire pada minit ke-89 menyamakan kedudukan dan membawa perlawanan ke sepakan penalti.
Dalam penentuan penalti yang mendebarkan selama 18 minit, pemain United, Matheus Cunha, gagal menjaringkan gol yang boleh menamatkan perlawanan, selepas tendangannya diselamatkan penjaga gol.
Kemudian, sepakan Bryan Mbeumo pula terkena palang, sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada kelab kecil Grimsby dan menyebabkan penyokong pasukan tuan rumah itu bersorak gembira, lapor The Straits Times (ST).
Pengurus United, Ruben Amorim, seolah-olah tidak sanggup melihat aksi sepakan penalti yang mencemaskan itu.
Jurulatih Portugal itu yang menggantikan Erik ten Hag pada musim lalu, kini menghadapi tekanan selepas persembahan mengecewakan pasukannya dalam perlawanan berhampiran Sungai Humber itu.
Pasukan Liga Perdana lain tidak menghadapi masalah sedemikian: Brighton and Hove Albion menang 6-0 ke atas Oxford United, Everton menewaskan Mansfield Town 2-0, dan Fulham mengalahkan pasukan divisyen kedua, Bristol City, 2-0.
“Saya rasa pasukan terbaik menang, satu-satunya pasukan yang benar-benar berada di atas padang,” kata Amorim dalam kritikan tajam terhadap skuadnya.
“Satu pasukan boleh menang menentang mana-mana kumpulan pemain. Kami memulakan perlawanan dengan kurang bertenaga. Kami seakan hilang arah sepenuhnya dalam perlawanan ini,” tambah beliau.
United, menamatkan musim lalu di tangga ke-15, kempen liga terburuk pasukan tersebut sejak ia disingkirkan pada 1974, menurut BBC Sport.
Kini, salah satu daripada dua peluang realistik pasukan itu untuk meraih piala pada musim ini lenyap begitu sahaja, berikutan kekalahan yang memalukan itu.
Amorim menukar lapan pemain daripada pasukan yang seri 1-1 dalam perlawanan menentang Fulham pada 24 Ogos, namun tetap menurunkan barisan pemain antarabangsa bernilai ratusan juta pound.
Benjamin Sesko membuat penampilan sulungnya bagi United selepas perpindahan bernilai 74 juta paun ($128 juta) daripada RB Leipzig.
Penjaga gol United, Andre Onana, pula kembali beraksi dalam perlawanan yang mengecewakan itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg