MANCHESTER: Aksi Manchester United pada musim ini, lebih-lebih lagi dalam perlawanan Liga Perdana England (EPL), bagai serba-serbi tidak kena apabila berdepan risiko gagal layak ke kejohanan Eropah buat kali kedua sejak musim 1989/90.
Mentelah skuad kendalian Erik ten Hag itu tewas 0-1 kepada Arsenal di padang sendiri pada 12 Mei.
Tonggak serangan, Leandro Trossard, menjaringkan gol pada minit ke-20 sekali gus meletakkan Arsenal dalam kedudukan baik buat sementara waktu setelah memintas Manchester City di puncak liga bagi memastikan perebutan kejuaraan EPL ditentukan pada hari terakhir.
Arsenal mengumpul 86 mata dengan baki satu perlawanan manakala City kekal mempunyai kelebihan dengan 85 mata, berbaki dua perlawanan.
Ten Hag menyifatkan kecederaan pemain sebagai alasan United bergelut dengan prestasi hambar.
Kapten Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Raphael Varane, Lisandro Martinez, Luke Shaw dan Harry Maguire antara yang tidak beraksi buat skuad United.
“Ia seperti cuba berenang dengan tangan anda diikat di belakang. Ini bukan cara yang kami mahukan. United mesti selalu menang, tetapi ketika ini sebagai satu kelab dan pasukan dengan senarai kecederaan yang panjang, kami tidak berada dalam posisi itu,” jelas ten Hag.
United kini berada di tangga kelapan EPL, 32 mata di belakang Arsenal.
Kekalahan pada 12 Mei bermakna ia merupakan kekalahan ke-19 dalam semua pertandingan musim ini – rekod United menunjukkan pasukan itu tidak pernah menamatkan saingan EPL di tempat ketujuh dan ke bawah.
Kegagalan untuk berakhir dalam kelompok lima teratas atau memenangi final Piala FA menentang Manchester City akan menyaksikan United terlepas aksi Eropah.
“Amat teruk (jika tidak layak ke Eropah) tetapi itulah situasi yang kami alami sekarang. Apabila anda menganalisis persembahan United, anda boleh lihat kami amat kompetitif,” tambah ten Hag.
Merumuskan prestasi anak buahnya selepas perlawanan, jurulatih Arsenal, Mikel Arteta, berkongsi bahawa kemenangan ke atas United “membuka kotak impian untuk dipersembahkan pada hari terakhir musim”.
“Itu sesuatu yang kami akan nikmati bersama dan saya sangat gembira kami akan melakukannya dengan pemain dan kakitangan sedia ada,” ujar Arteta.
Arsenal berada di kedudukan yang diidamkan dengan berbaki satu perlawanan dan bakal berhadapan dengan Everton di hadapan penyokong sendiri di Stadium Emirates, sekali gus berpeluang menjulang piala EPL kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
City, yang menyasarkan kejuaraan EPL buat kali keempat berturut-turut, boleh memintas semula persada liga jika ia menewaskan seteru Arsenal, Tottenham Hotspur, pada 15 Mei.
“... Pada akhirnya anda tahu apa akibatnya. Apabila anda berada di sana dan anda benar-benar mahukannya... (tetapi) saya merasakan pasukan mempunyai pemikiran yang sangat baik sebelum perlawanan,” kata Arteta.
United kini berada di tangga kelapan berbaki dua perlawanan dan tiga mata di belakang pasukan di tangga keenam, Newcastle United. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg