Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha dapatkan jurulatih bagi bina masa depan mendayung S’pura

Presiden SRA sahkan perbincangan dijalankan dengan beberapa calon luar negara
Sep 30, 2024 | 2:55 PM
(Dari kiri) Naib presiden Persatuan Mendayung Singapura (SRA), Toh Han Chong; presiden SRA, Paul Supramaniam; dan naib presiden SRA, Steve Davies. Supramaniam berkongsi bahawa SRA sedang menjalankan usaha mencari jurulatih sepenuh masa untuk memajukan sukan mendayung di Singapura.
(Dari kiri) Naib presiden Persatuan Mendayung Singapura (SRA), Toh Han Chong; presiden SRA, Paul Supramaniam; dan naib presiden SRA, Steve Davies. Supramaniam berkongsi bahawa SRA sedang menjalankan usaha mencari jurulatih sepenuh masa untuk memajukan sukan mendayung di Singapura. - Foto ST

Presiden Persatuan Mendayung Singapura (SRA), Paul Supramaniam, tidak perlu diingatkan tentang prestasi pendayung negara yang belum berjaya mendapatkan pingat Sukan SEA sejak 2015.

Namun beliau berharap keadaan ini akan berubah dan telah menetapkan 2029 sebagai sasaran yang realistik untuk menamatkan prestasi yang hambar itu.

Untuk mencapai matlamat ini, SRA merancang mendapatkan jurulatih sepenuh masa, buat pertama kali sejak 2015, lapor The Straits Times.

Warga Ireland, John Holland, berkhidmat sebagai jurulatih kontrak jangka pendek semasa Sukan SEA di Singapura pada 2015 dan beliau meneruskan khidmat secara sambilan hingga Sukan Asia 2018.

Goken Sakamoto, warga Jepun, yang pernah berkhidmat secara sukarela dengan SRA dari 2012 hingga 2015, kini merupakan jurulatih konsultan nasional.

Supramaniam berkongsi bahawa mereka bergantung terutama pada masyarakat ekspatriat serta konsultan ataupun jurulatih yang sanggup menawarkan khidmat secara sukarela disebabkan kos.

Seorang jurulatih sepenuh masa memerlukan pembiayaan antara $100,000 dengan $150,000 setahun.

Dalam Sukan SEA 2015, pendayung Singapura berjaya meraih sebutir pingat perak dan tiga gangsa.

Namun mereka tidak menyertai Sukan SEA 2019 dan bagi edisi 2022, pendayung Singapura pulang dengan tangan kosong. Mereka turut tidak menyertai Sukan SEA 2017 dan 2023.

Walaupun Supramaniam tidak menetapkan tempoh untuk mendapatkan jurulatih sepenuh masa, beliau mengesahkan bahawa perbincangan dengan beberapa calon dari luar negara sedang dijalankan.

“Kami sedang berusaha mendapatkan calon yang tepat, tetapi kami tidak akan tergesa-gesa memilih individu itu,” kata Supramaniam.

“Jurulatih sepenuh masa merupakan langkah yang seterusnya dalam usaha kami membuat penambahbaikan. Dengan adanya ketua jurulatih, ia akan membantu menambah pangkalan bakat kerana kami memerlukan lebih ramai atlet terkemuka. Seorang jurulatih juga akan membina rangka kerja kejurulatihan untuk melatih jurulatih lain.”

Dengan sekitar 250 pendayung dalam komuniti setempat, beliau turut mendedahkan usaha membuat rombakan di kawasan latihan Takungan Pandan dan menyuntik bakat baru susulan kejayaan Joan Poh dan Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa’ee.

Aisyah, pendayung Olimpik pertama Singapura semasa bertanding di temasya Rio 2016, bersara pada 2017 tetapi kembali semula untuk Sukan Olimpik Paris 2024 pada usia 36 tahun.

Poh, 33 tahun, mewakili Singapura pada Sukan Olimpik Tokyo pada 2021.

SRA juga telah memberikan maklum balas untuk mengadakan tempat latihan sebagai sebahagian daripada projek Long Island oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), yang bakal mewujudkan 800 hektar tanah di sekitar Taman East Coast.

Ia juga telah mengadakan perbincangan awal dengan Persekutuan Kapal Layar Singapura (SSF) untuk beberapa akses bersama di situ.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg