Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usia tidak jadi penghalang atlet jujitsu uji diri demi S’pura

Kasbani Kasmon jaya raih pingat perak dalam Kejohanan Dunia Jujitsu 2025 di Bangkok
Jan 2, 2026 | 5:36 PM
Kasbani Kasmon, jujitsu
Walaupun sudah berusia 36 tahun dan lebih berusia berbanding dengan atlet lain, Kasbani Kasmon masih menyimpan hasrat untuk mewakili Singapura dalam Sukan SEA masa hadapan. - Foto ihsan KASBANI KASMON

Pada usia 36 tahun, ketika ramai atlet seusianya memilih untuk bertanding sekadar mengisi masa atau sudah berundur sepenuhnya daripada gelanggang, Kasbani Kasmon masih berani menguji diri di pentas dunia, berdepan atlet lebih besar, lebih berat dan lebih pengalaman.

Bersaing dalam kategori Masters (biasanya atlet berusia 30 tahun ke atas), Kasbani sedar setiap perlawanan menuntut lebih daripada sekadar kekuatan fizikal.

Lawannya bukan sahaja matang dari segi usia, tetapi memiliki banyak pengalaman di peringkat antarabangsa.

Namun, demi satu hasrat mengharumkan nama Singapura, guru Latihan Jasmani (PE) di sekolah privet Maktab Antarabangsa Dimensions itu tetap melangkah ke gelanggang jujitsu tanpa gentar.

Tekad tersebut membuahkan hasil apabila beliau berjaya meraih pingat perak kategori Masters 85 kilogram (Fighting System) dalam Kejohanan Dunia Jujitsu 2025 di Bangkok, Thailand, satu pencapaian yang dianggapnya sebagai rezeki hasil kerja keras bertahun-tahun.

“Saya tahu lawan saya lebih besar dan berpengalaman,” kata guru berusia 36 tahun itu.

“Tapi saya percaya, selagi saya sudah buat persiapan sebaik mungkin, saya wajib cuba untuk negara.”

Perjalanan Kasbani dalam dunia seni mempertahankan diri sebenarnya bermula jauh lebih awal, sejak usianya 14 tahun, menerusi silat.

Namun, hidupnya tidak terikat kepada sukan mempertahankan diri sahaja.

Pada 2015, beliau membuat keputusan besar untuk meninggalkan seni mempertahankan diri buat sementara waktu dan menceburi dunia bina badan sebagai atlet fizikal.

Beliau bertanding di pelbagai negara termasuk Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat, serta meraih pelbagai pingat tanpa mengira tahap kejohanan.

“Saya belajar banyak tentang disiplin, pemakanan dan ketahanan mental ketika jadi atlet bina badan,” kongsinya.

“Tapi jauh di sudut hati, saya tahu saya akan kembali ke sukan tempur.”

Kepulangannya ke dunia seni mempertahankan diri berlaku pada 2018 apabila beliau memilih jujitsu, satu sukan yang ketika itu sedang berkembang pesat di peringkat antarabangsa.

Satu pengalaman awal membuka matanya tentang keunikan sukan tersebut.

“Saya ingatkan saya kuat,” katanya ketawa.

“Tapi masa sesi ‘sparring’ percubaan, saya kalah dengan seorang remaja. Dari situ saya sedar, jujitsu bukan tentang siapa paling kuat, tapi siapa paling bijak guna teknik.”

Sparring merujuk kepada latihan bertinju dengan menggunakan kawan selatihan sebagai lawan.

Kesedaran itu membuatkan Kasbani jatuh cinta dengan sukan tersebut.

Pertandingan antarabangsa pertamanya dalam jujitsu di Kejohanan Terbuka Bali 2019 menyaksikan beliau meraih tempat pertama, sekali gus mengukuhkan keyakinannya untuk terus serius dalam sukan ini.

Dalam tempoh sama, beliau turut memperluaskan kemahiran dengan mendalami Muay Thai, sehingga memperoleh sijil jurulatih, selain terus mengasah kemahiran dalam taekwondo dan silat.

Pada 2022, beliau diberi peluang berlatih bersama pasukan silat kebangsaan, satu pengalaman yang disifatkannya sebagai amat menjentik semangat.

“Saya bersyukur dapat berlatih dengan atlet dan jurulatih hebat,” katanya.

“Setiap sukan beri saya sudut pandang berbeza tentang pergerakan, strategi dan kawalan diri.”

Gabungan pengalaman inilah yang dibawanya ke Bangkok apabila beliau menyarung jersi Singapura di Kejohanan Dunia Jujitsu 2025 dan berjaya mendapatkan pingat perak.

Memandang ke hadapan, Kasbani tidak melihat pencapaian ini sebagai puncak kebolehannya.

“Saya akan terus bertanding dalam Kejohanan Dunia Jujitsu,” katanya dengan semangat.

“Dan jika diberi peluang, saya sangat berharap dapat mewakili Singapura di Sukan SEA satu hari nanti.”

Lebih penting lagi, beliau mahu menyumbang kembali kepada pembangunan sukan tersebut.

“Saya mahu membantu membentuk generasi atlet muda, sama ada sebagai jurulatih atau wakil sukan bersama Persatuan Jujitsu Singapura,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg