ATHENS: Federico Valverde menjaringkan gol pada waktu kecederaan untuk memberi Real Madrid kemenangan 3-2 dalam Liga Juara-Juara di gelanggang AEK Athens pada 4 November. 

Sementara itu, Liverpool dua kali mendahului perlawanan tetapi akhirnya tewas 3-2 kepada Fenerbahce. 

Real Madrid dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mengekalkan permulaan sempurna mereka. Mereka kini di tempat kedua dengan 12 mata selepas empat perlawanan, di belakang Paris St Germain (PSG) atas perbezaan gol.

AEK mengancam sejak awal dan tekanan mereka membuahkan hasil pada minit ke-12.

Aboubakary Koita masuk ke tengah lalu melepaskan rembatan ke bucu atas gawang dari sebelah dalam kotak penalti.

Thibaut Courtois menyekat percubaan Luka Jovic.

Jude Bellingham, yang jaringannya dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-27, menyamakan kedudukan lima minit kemudian dengan sepakan yang cermat hasil hantaran rendah Marc Cucurella.

Larian dan hantaran Koita membuka ruang bagi Stavros Pilios mengembalikan pendahuluan AEK pada minit ke-75 di mana rembatan rendahnya menembusi celah kaki Courtois.

Kylian Mbappe menyudahkan hantaran lintang Denzel Dumfries tiga minit kemudian, sebelum Valverde menjaringkan gol kemenangan.

AEK kekal di tangga ke-30 dengan tiga mata.

Permulaan cemerlang Liverpool berakhir

Liverpool tiba di Istanbul dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.

Namun, gol kemenangan Vedat Muriqi pada minit ke-79 menamatkan rekod itu dan memberi Fenerbahce kemenangan pertama mereka musim ini.

Trey Nyoni membuka jaringan pada minit ke-25. Beliau menyambar bola hasil tandukan pertahanan dengan rembatan rendah yang terkena Kojo Peprah Oppong sebelum menerjah masuk ke gawang, sekali gus memperdayakan Ederson. 

Mason Greenwood menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi sepakan percuma yang menuju ke luar gawang.

Bola itu terkena Jeremy Jacquet dalam tembok pertahanan lalu meluncur melepasi Alisson.

Pemain simpanan Cody Gakpo dan Alexander Isak bergabung untuk mengembalikan pendahuluan Liverpool pada minit ke-69.

Gakpo berbalas hantaran dengan Kostas Tsimikas sebelum sampai ke garisan gol dan menghantar bola lintang.

Isak menanduk kuat dari jarak dekat melepasi Ederson.

Pendahuluan itu hanya bertahan empat minit.

Selepas sepakan sudut pendek, N’Golo Kante menghantar bola lintang dan tandukan Gakpo mengubah arah bola menjauhi Alisson. Archie Brown menyudahkannya ke gawang tanpa pengawal di tiang jauh.

Brown kemudian menyumbang gol kemenangan. Bola hasil balingan jauh ditanduk kembali kepada Brown, lalu beliau melambungnya ke dalam kotak penalti. 

Walaupun dikawal ketat oleh tiga pemain pertahanan Liverpool, Muriqi tetap berjaya menanduk bola melepasi Alisson untuk melengkapkan malam mengecewakan buat benteng pertahanan Liverpool. 

Pasukan Andoni Iraola jatuh ke tempat kelima dengan sembilan mata, manakala Fenerbahce naik ke tangga ke-19 dengan lima mata. - Reuters.