LONDON: Manchester United telah memecat pengurusnya, Erik ten Hag, kurang 24 jam selepas kelab itu tewas 1-2 kepada West Ham United pada 28 Oktober.
Kekalahan itu, yang keempat dalam sembilan perlawanan Liga Perdana England (EPL) musim ini, menjerumus United ke tangga ke-14 liga.
Bekas bintang United, Ruud van Nistelrooy, yang kini antara kakitangan kejurulatihan kelab di Old Trafford itu, akan mengambil tempat Ten Hag sebagai ketua jurulatih sementara.
Dalam kenyataannya, United berkata:
“Erik Ten Hag telah meninggalkan peranannya di Manchester United sebagai pengurus pasukan utama. Ruud van Nistelrooy akan memimpin pasukan sebagai ketua jurulatih sementara, dan disokong pasukan jurulatih yang seadanya, sedang ketua jurulatih tetap giat dicari.”
Ten Hag adalah pengurus ketujuh yang memimpin United sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan peranan itu pada 2013.
United hanya mengumpul 11 mata selepas sembilan perlawanan, menjadikannya jumlah kedua terendah dalam sejarah kelab. Pasukan itu juga terkial-kial dalam kempen Liga Europa musim ini, dengan hanya memungut tiga mata daripada tiga perlawanan pertama.
Ten Hag telah melahirkan rasa “tidak adil” semasa pasukannya tewas 1-2 di West Ham melalui penalti kontroversi pada lewat permainan.
Pasukannya terlepas banyak peluang dan sepatutnya mendahului pada separuh masa pertama, namun penalti Jarrod Bowen menghukum United yang mengalami kekalahan keempat EPL musim ini.
Selepas menolak rayuan penalti pada awalnya, pengadil David Coote disaran ke monitor penolong pengadil video (VAR) untuk menyemak terkaman Matthijs de Ligt terhadap Danny Ings.
Coote kemudian memberikan sepakan penalti selepas tempoh yang lama dan tidak mengendahkan bantahan pemain United yang berkata bahawa bola sudah terkena tangan Ings.
Bowen kemudian menjaringkan penalti itu pada minit kedua masa kecederaan.
“Sebelum musim (bermula) terdapat arahan bahawa VAR hanya masuk campur ketika terdapat kesilapan yang jelas dan nyata,” Ten Hag memberitahu BBC.
“Itu pastinya bukan kesilapan yang terang dan jelas daripada pengadil di padang.”
Keputusan itu meletakkan West Ham di tangga ke-13 dalam Liga Perdana, satu tangga di atas United yang hanya memenangi tiga daripada sembilan perlawanan pembukaan mereka.
Pengurus Belanda, Ten Hag, berkata beliau telah bercakap dengan pegawai selepas perlawanan di Stadium London.
“Saya bercakap dengan mereka,” tambah Ten Hag. “Tetapi keputusan sudah dibuat. Tiada jalan untuk kembali dan itulah bola sepak.
“Itu kali ketiga saya merasakan ketidakadilan dalam musim ini dan ia memberi impak besar kepada pasukan kami dan kedudukan kami... Ia mengecewakan.”
Liga Perdana menjelaskan di akaun Pusat Perlawanan di laman X bahawa terdapat sentuhan yang menyebabkan sepakan penalti itu diberikan.
“Pengadil tidak memberikan penalti kepada West Ham ketika De Ligt mengasari Ings,” kata EPL.
“VAR menganggap terdapat sentuhan yang mencukupi di bahagian bawah kaki Ings dan mengesyorkan semakan di atas padang. Pengadil membatalkan keputusan asalnya dan memberikan penalti (kepada West Ham).”
Ditanya mengenai keputusan penalti, pengurus West Ham, Julen Lopetegui, berkata: “Saya tidak melihatnya. Pemain berkata ia adalah penalti dan pengadil berkata ia adalah penalti, jadi saya pasti mereka betul.
“Saya lebih gemar menggariskan bahawa selepas mereka menjaringkan gol, kami mengekalkan tenaga dan momentum positif untuk memenangi perlawanan. Saya lebih suka mengekalkan tenaga itu.”
United menguasai permainan babak pertama dengan rembatan Alejandro Garnacho terkena palang gol dan Diogo Dalot terlepas peluang terbuka.
Rasmus Hojlund dan Marcus Rashford kedua-duanya mempunyai usaha yang diselamatkan oleh penjaga gawang West Ham, Lukasz Fabianski, manakala tandukan Bruno Fernandes tersasar tinggi.
Hanya Crystal Palace dan Southampton (masing-masing enam gol) telah menjaringkan gol lebih sedikit di Liga Perdana berbanding United, yang hanya menjaringkan lapan gol musim ini.
“Kami perlu melihat diri sendiri... kami tidak menjaringkan gol dalam perlawanan yang baik daripada pasukan kami,” kata Ten Hag. “Kami telah mencipta banyak peluang tetapi apabila anda kalah dengan cara ini, ia adalah perasaan yang pahit sekali.
“Enam atau tujuh peluang kami 100 peratus sepatutnya kami menjaringkan gol. Tetapi apabila kami tidak menjaringkan gol, kami perlu bertenang. Secara keseluruhan saya tidak mempunyai begitu banyak kritikan mengenai pasukan saya, selain tidak menjaringkan gol,” katanya.
Dalam pada itu, gol penyamaan lewat Mohamed Salah membantu Liverpool seri 2-2 dengan pencabar Arsenal dalam pertemuan menghiburkan di Stadium Emirates pada 27 Oktober.
Perlawanan itu berakhir dengan pemain pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhaes dan Jurrien Timber, tercedera dan menambah senarai pemain kecederaan Arsenal.
Bukayo Saka meletakkan Arsenal di hadapan pada minit kesembilan selepas menerima hantaran tinggi daripada Ben White.
Beliau menggelecek melepasi Andy Robertson sebelum merembat bola dari jarak dekat, menewaskan penjaga gawang Liverpool, Caoimhin Kelleher, untuk gol EPL-nya yang ke-50 dalam kariernya, selepas kembali daripada kecederaan.
Virgil van Dijk menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian, menanduk masuk gol selepas lantunan Luis Diaz dari sepakan sudut.
“Saya rasa untuk bangkit dua kali adalah satu perkara yang baik, dan kami membawa pulang satu mata dan terus berada di hadapan,” kata Van Dijk kepada Sky Sports.
Arsenal bertindak balas dengan positif dan gagal menyempurnakan beberapa peluang, dengan Saka melakukan rembatan tinggi dan Havertz gagal mengawal hantaran berbahaya Gabriel Martinelli.
Ibrahima Konate mengasari Martinelli di dalam kotak penalti pada minit ke-30, tetapi pengadil Anthony Taylor meneruskan permainan sebelum rembatan voli Havertz tersasar.
Merino kemudian menjaringkan gol pertamanya sejak menyarungi jersi Arsenal sejurus sebelum rehat, menanduk masuk sepakan percuma Declan Rice, yang akhirnya dikekalkan selepas pemeriksaan VAR yang panjang kerana kemungkinan ofsaid.
Liverpool bermain dengan lebih baik selepas rehat dengan Diaz hampir menjaringkan gol lima minit pada separuh masa kedua selepas larian yang cemerlang di garisan tepi sebelum Salah menyempurnakan hantaran dari Nunez untuk gol penyamaan pada minit ke-81. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg