HANOI: Ketua jurulatih Vietnam, Philippe Troussier, dipecat selepas pasukannya tewas 0-3 kepada Indonesia dalam pusingan ketiga peringkat Asia kelayakan Piala Dunia 2026.
Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) mengumumkan pemecatan warga Perancis itu pada 27 Mac, sehari selepas kekalahan itu.
Troussier menjadi ketua jurulatih Vietnam sejak 2023, mengambil alih daripada Park Hang-seo.
Beliau diberitahu tentang keputusan VFF itu menyusuli kekalahan di Hanoi itu, yang juga kekalahan kedua dalam enam hari yang menjerumuskan Vietnam ke tangga ketiga dalam Kumpulan F.
Hanya dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan selanjutnya bagi kelayakan peringkat Asia.
Vietnam tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia, tetapi peruntukan tempat kelayakan yang diperluas bagi negara Asia dalam Piala Dunia 2026 telah menaikkan jangkaan di Vietnam, yang merupakan antara pasukan terbaik di Asia Tenggara.
Negara Asia kini berebut lapan tempat kelayakan Piala Dunia 2026.
Dua kekalahan berturut-turut bermakna Vietnam kini ketinggalan empat mata di belakang Indonesia dan Iran dalam Kumpulan F dan perlu menewaskan Filipina serta Iraq pada Jun untuk melayakkan diri ke pusingan kelayakan selanjutnya.
Ia juga perlu berharap Indonesia tidak dapat mengumpulkan tiga mata daripada baki dua perlawanan peringkat kumpulannya.
Iran telah menjamin tempat dalam pusingan kelayakan seterusnya pada 26 Mac, selepas ia menewaskan Filipina 5-0, yang bermakna ia mendapat 12 mata daripada empat perlawanan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg