BANGKOK: Walaupun kehilangan bintang penyerang, Rafaelson, akibat kecederaan, Vietnam berjaya merebut kejuaraan Piala AFF Mitsubishi Electric ketiga mereka dengan kemenangan 3-2 ke atas juara bertahan, Thailand, pada aksi kedua final di Stadium Rajamangala pada 5 Januari.
Gol sendiri yang dijaringkan oleh pemain Thailand, Pansa Hemviboon, pada minit ke-82 dan percubaan masa kecederaan daripada Nguyen Hai Long bagi pasukan Vietnam membantu pasukan itu meraih kemenangan agregat 5-3, menambah kejayaan mereka pada 2008 dan 2018.
Dalam masa yang sama, Vietnam turut menebus kekalahan mereka kepada Thailand pada perlawanan akhir edisi 2022 kejohanan ini.
Jurulatih Vietnam yang berasal dari Korea Selatan, Kim Sang-sik, memuji semangat penyokong mereka.
Bekas jurulatih kelab K-League, Jeonbuk Hyundai Motors, itu berkata:
“Kami ibarat bermain di dalam kawah, melalui perlawanan yang amat sukar.
“Tetapi dengan sokongan setiap peminat Vietnam, kami mampu meraih kemenangan. Terima kasih kepada semua pemain yang tidak berputus asa, berjuang habis-habisan.
“Saya telah memenangi Liga-K, tetapi itu di peringkat kelab. Bagi pasukan kebangsaan, ini adalah kejuaraan pertama saya. Ia sangat bermakna.”
Sementara itu, pemain tengah Thailand, Ben Davis, berkata: “Hari ini (kami) tidak bernasib baik. Kami telah mencuba sedaya upaya, tetapi dalam kesempatan lain, kami akan mendapatkan semua trofi untuk negara.”
Vietnam, yang mendahului 2-1 susulan aksi pertama di Stadium Viet Tri di wilayah Phu To di negara itu, menambah kelebihan pada minit kelapan.
Ini dapat dilakukan menerusi Pham Tuan Hai yang menyambar bola ke gol selepas sepakan percuma Pham Xuan Manh melantun di kawasan itu oleh pertahanan Thailand, untuk menjadikan kedudukan 1-0 pada malam itu.
Namun Davis menyamakan kedudukan untuk tuan rumah dengan rembatan kali pertama dari luar kotak penalti 20 minit kemudian selepas merampas bola daripada Doan Ngoc Tan.
Harapan Vietnam kelihatan terjejas apabila bintang penyerangnya kelahiran Brazil, Rafaelson, terpaksa digantikan oleh Nguyen Tien Linh pada minit ke-34 akibat kecederaan.
Thailand kemudian mendahului selepas waktu rehat menerusi Supachok Sarachat, yang menjadikan kedudukan 2-1 untuk perlawanan kedua dan menyamakan kedudukan keseluruhan dengan jaringan golnya itu pada minit ke-64.
Ia menyaksikan bola melayang ke sudut atas gawang dari jarak lebih 25 meter.
Ketegangan memuncak selepas jaringan Supachok dan, pada minit ke-74, permainan bertukar lagi apabila Weerathep Pomphan dilayangkan kad merah akibat kesalahan kad kuning kedua apabila beliau melakukan kesalahan profesional ke atas Vu Van Thanh di garisan tengah.
Vietnam menggunakan kelebihannya di padang dengan pemain gantian Nguyen Quang Hai mengumpan bola kepada Tuan Hai dan rembatannya ke arah sudut bawah diarahkan di bawah penjaga gol Patiwat Khammai oleh Pansa.
Tendangan Suphanan Bureerat terkena palang gawang pada minit akhir perlawanan ketika juara tujuh kali itu seakan seperti bakal membawa perlawanan ke masa tambahan.
Namun Vietnam memusnahkan harapan Thailand pada minit ke-20 masa tambahan apabila Hai Long menjaringkan gol ke dalam gawang yang terbuka dengan penjaga gol Thailand, Patiwat, terkandas di hujung bertentangan padang.
Rafaelson kemudian dinamakan sebagai Pemain Paling Berharga (MVP) dan pemenang But Emas kejohanan dengan tujuh gol daripada lima perlawanan.
Dengan pemain berusia 27 tahun itu dibawa ke hospital, Quang Hai dan kapten Do Duy Manh menerima anugerah tersebut bagi pihaknya.
Duy Manh kembali ke pentas beberapa detik kemudian untuk menjulang trofi bersama pasukannya, dengan sorakan penyokong Vietnam bergema di stadium itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg