Menjelang perlawanan peringkat separuh akhir perlawanan penting dalam Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 antara Vietnam dan Singapura pada 26 Disember, ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik berkongsi bahawa mereka sudah cukup bersedia untuk berdepan dengan Singapura di Stadium Jalan besar.
“Matlamat terbesar saya sekarang adalah untuk meraihkan kemenangan menentang Singapura di peringkat separuh akhir,” jelas Kim.
Kedua-dua pasukan bertekad untuk meraih tempat ke final, namun pasukan Vietnam datang dengan rekod yang mengagumkan.
Mereka tidak pernah dikalahkan dalam 14 pertemuan terakhir dengan Singapura.
Dari segi perlawanan kompetitif pula, mereka telah menang tujuh daripada sembilan perlawanan mereka.
Rekod ini memberikan keyakinan kepada pasukan Vietnam, tetapi Kim tetap berhati-hati dan tidak mahu memandang rendah kemampuan Singapura.
“Singapura pasukan yang sangat kuat. Mereka mempunyai keupayaan untuk memberi tekanan dengan baik, ia tidak mudah untuk berdepan dengan pasukan yang mempunyai keupayaan ini,” jelas Kim.
“Namun, kami cukup bersedia, kami sudah mengkaji gaya bola sepak mereka dan pemain juga sedar bahawa Singapura pasukan yang kuat,” tambah beliau.
Pemain tengah Vietnam, Nguyen Hoang Duc, turut berkongsi pandangannya.
“Kami sedar bahawa mereka bagus dalam hantaran bola jauh dan di bahagian tengah mereka, dan kami perlu mencari solusi untuk menangani perkara tersebut,” kata Hoang Duc.
Beliau juga berbicara tentang keinginan beliau untuk memanfaatkan kecenderungan pasukan Singa untuk lakukan kesilapan di separuh akhir mereka sendiri.
Kim Sang Sik juga menyentuh tentang jumlah rendah penyokong Vietnam yang dapat menghadiri perlawanan ini di Stadium Jalan Besar pada 26 December.
Perkara ini akibat kapasiti Stadium Jalan Besar yang rendah, yang hanya mampu menampung sekitar 6,000 penyokong.
“Walaupun mereka tiada di sini, saya tahu di negara asal kami di Vietnam, peminat melakukan segala yang mereka mampu untuk menyokong kami,” kongsi Kim.
Beliau berkongsi bahawa beliau dan pasukannya dapat merasakan sokongan pasukan mereka walaupun jauh.
Kim juga berkata beliau dan pasukannya akan memberikan segala-galanya di atas padang demi penyokong mereka, dan berharap akan mendapat keputusan yang bagus.
Dengan rekod Vietnam yang cemerlang tanpa kalah dan ketahanan Singapura di tempat sendiri, perlawanan ini dijangka menjadi pertemuan yang mendebarkan.
Penyokong pasti menantikan perlawanan yang menarik di Stadium Jalan Besar, dengan kededua pasukan bersemangat untuk membuktikan diri mereka dan meraih kemenangan penting dalam kejohanan ini.
“Kali terakhir Vietnam memenangi kejohanan ini adalah pada 2018. Saya ingin mencipta sejarah sekali lagi dengan mendapatkan trofi ini sekali lagi pada 2024,” kongsi Kim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg