Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ogura: Singa pamer sikap positif, prestasi meningkat

Dec 25, 2024 | 7:07 PM
Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura (kiri), gembira anak didiknya sedang menunjukkan peningkatan di atas padang. Turut bersama beliau ialah penyerang Singa, Abdul Rasaq Akeem di sidang media di Stadium Jalan Besar pada 25 Disember.
Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura (kiri), gembira anak didiknya sedang menunjukkan peningkatan di atas padang. Turut bersama beliau ialah penyerang Singa, Abdul Rasaq Akeem di sidang media di Stadium Jalan Besar pada 25 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, berkata beliau akan mengambil pendekatan menghadapi satu per satu perlawanan untuk baki saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024.

Singa akan berdepan Vietnam di saingan separuh akhir Piala AFF di Stadium Jalan Besar pada 26 Disember.

Berucap di sidang media yang diadakan di stadium tersebut pada 25 Disember, jurulatih asal Jepun itu berkata walaupun keputusan tidak begitu cemerlang, beliau gembira anak didiknya sedang menunjukkan peningkatan.

“Sudah tentu kita ingin memenangi tujuh, lapan perlawanan tetapi bola sepak tidak begitu mudah. Jurulatih setiap kali perlu berfikir (merancang) tetapi apabila di padang, segalanya akan berubah.

“Namun satu perkara (adalah pasti), pemain sedang bermain dengan kegembiraan. Mereka sedang meningkat dan saya gembira dengan hal itu,” ujar beliau.

Pemain Singapura menunjukkan mood positif ketika sesi latihan di Stadium Jalan Besar pada 25 Disember.
Pemain Singapura menunjukkan mood positif ketika sesi latihan di Stadium Jalan Besar pada 25 Disember. - Foto BH oleh KHALID BABA

Keyakinan Singa berada tahap yang tinggi selepas meluangkan masa bersama selama 25 hari bagi kejohanan tersebut.

Menurut jurulatih 58 tahun itu, sejak pasukan Singa berkumpul bagi kejohanan tersebut pada 1 Disember, pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan mempamerkan sikap positif dan fokus ketika latihan.

Berkongsi mengenai perlawanan separuh akhir itu, Ogura akan mengambil pendekatan membahagikan perlawanan separuh akhir itu kepada dua – separuh masa pertama dan kedua – mengambil perlawanan satu persatu.

“Pada peringkat ini, ia melibatkan 180 minit permainan.

“Saya berpendapat, esok (26 Disember) adalah separuh masa pertama selama 90 minit, dan kami berbaki 90 minit di separuh masa kedua (di Vietnam),” katanya.

Ogura akur kekuatan Vietnam sambil memuji kebolehan pemain lawan.

“Vietnam mempunyai pasukan yang hebat, dan ia sangat bagus untuk negara itu.

“Perkembangan pemain muda juga semakin berkembang dengan ada pemain yang bermain di luar negara seperti Jepun dan sebagainya, ia baik untuk masa depan bola sepak mereka,” kongsi Ogura.

Di perlawanan terakhir kumpulan B, penyerang naturalisasi Vietnam terbaru, Rafaelson Bezzera Fernandes atau lebih dikenali sebagai Nguyen Xuan Son, mempamerkan aksi cemerlang ketika kemenangan 5-0 ke atas Myanmar dengan menjaringkan dua gol dan merintis dua yang lain.

Lebih menarik lagi, ia merupakan perlawanan pertama penyerang berusia 27 tahun itu bersama pasukan nasional selepas mendapat kewarganegaraan Vietnam pada September 2024.

Namun, Ogura percaya Singa mampu mengatasinya sambil menekankan bahawa mereka akan menentang 11 pemain dan bukan seorang pemain sahaja.

Penyerang Singa, Abdul Rasaq Akeem, turut bersetuju dengan jurulatihnya sambil menambah beliau serta pemain lain memberi perhatian hanya pada perlawanan menentang pendekar bintang emas dan melangkah ke peringkat akhir.

Berbekalkan kepercayaan terhadap jurulatihnya, Rasaq berkata:

“Pemain sudah mendapatkan rehat yang secukupnya dan berkobar-kobar untuk perlawanan separuh akhir.

“Kami mempunyai kepercayaan antara kami dan juga jurulatih… dengan sokongan orang ramai, apa-apa boleh berlaku.”

Menyingkap perjalanannya di kejohanan tersebut, pemain muda berusia 23 tahun itu berkongsi bahawa setelah kejohanan tersebut berakhir, ia mampu memberikan senyuman kepadanya selepas kejayaan yang dikecapi selama ini.

Penyerang Singa, Abdul Rasaq Akeem, berkongsi bahawa semangat pemain berkobar-kobar untuk beraksi di saingan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 menentang Vietnam.
Penyerang Singa, Abdul Rasaq Akeem, berkongsi bahawa semangat pemain berkobar-kobar untuk beraksi di saingan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 menentang Vietnam. - Foto BH oleh KHALID BABA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg