Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Villa mengadu ‘kesilapan besar’ pengadil sebab terlepas ke Liga Juara-Juara

Keputusan pengadil Thomas Bramall dianggap punca kekalahan 2-0 di tangan Manchester United
May 26, 2025 | 1:55 PM
EPL, Aston Villa, bola sepak
Penyerang Aston Villa, Morgan Rogers (kanan), menjaringkan gol yang kemudian dibatalkan oleh pengadil Thomas Bramall. Keputusan itu menjejas rentak perlawanan dan Villa akhirnya kalah 2-0 kepada Manchester United, sekali gus terlepas peluang ke Liga Juara-Juara musim depan. - Foto REUTERS

MANCHESTER: Aston Villla membuat aduan kepada badan induk pengadil, Pegawai Perlawanan Permainan Profesional Berhad (PGMOL), selepas satu “kesilapan besar” oleh pengadil Thomas Bramall dianggap sebagai punca kekalahan 2-0 pasukan itu kepada Manchester United.

Kesalahan tersebut sekali gus menyebabkan Villa terlepas tempat ke Liga Juara-Juara.

Perlawanan masih 0-0 ketika Villa bermain dengan 10 orang selepas penjaga gol Villa, Emiliano Martinez, dilayangkan kad merah kerana mengasari Rasmus Hojlund dan didapati menghalang peluang menjaringkan gol yang jelas.

Namun, Morgan Rogers menjangka beliau dapat meletakkan pasukannya di hadapan selepas merampas bola daripada penjaga gol United, Altay Bayindir, dan menyumbatkan bola ke dalam gawang.

Namun, Bramall meniup wisel kerana menyangka Bayindir sudah memegang bola dengan kededua tangan, walaupun rakaman televisyen menunjukkan sebaliknya.

Disebabkan permainan dihentikan sebelum bola masuk ke gawang, sistem bantuan video pengadil (VAR) tidak dapat campur tangan.

Beberapa saat kemudian, Amad Diallo menjaringkan gol pendahuluan untuk United sebelum Christian Eriksen menambah gol kedua menerusi sepakan penalti lewat permainan.

Kekalahan itu menyebabkan Villa menamatkan musim di tangga keenam Liga Perdana England (EPL) dan gagal layak ke Liga Juara-Juara hanya akibat perbezaan jaringan.

Dalam sidang media selepas perlawanan, pengarah operasi bola sepak Villa, Damian Vidagany, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan Bramall - pengadil berusia 35 tahun yang dianggap kurang berpengalaman - untuk mengendalikan perlawanan sepenting itu.

“Kami akan hantar aduan,” kata Vidagany.

“Aduan ini bukan semata-mata terhadap keputusan yang dibuat, tetapi lebih kepada pemilihan pengadil - salah seorang yang paling kurang berpengalaman dalam EPL,” tambahnya.

Pada awalnya, dilaporkan bahawa Villa akan membuat aduan kepada pihak EPL, namun kemudiannya memaklumkan telah menghubungi PGMOL secara rasmi.

Menurut Villa, perlawanan sepenting itu sepatutnya dikendalikan pengadil yang lebih berpengalaman.

“Daripada 10 pengadil yang bertugas dalam EPL hari ini, Bramall adalah yang kedua paling kurang pengalaman,” menurut kenyataan kelab itu.

“Keputusan membatalkan gol Morgan Rogers, yang sepatutnya memberikan kami kelebihan 1-0 dengan baki 17 minit, sangat memberi kesan besar terhadap kegagalan kami layak ke Liga Juara-Juara.”

Mereka juga menambah bahawa walaupun keputusan perlawanan tidak dapat diubah, adalah penting untuk menilai semula cara pemilihan pengadil bagi memastikan perlawanan berprofil tinggi diberikan perhatian sewajarnya dan teknologi VAR dimanfaatkan secara berkesan.

Pengurus Villa, Unai Emery, jelas menunjukkan kemarahannya terhadap keputusan membatalkan gol Rogers dan penalti lewat permainan yang diberikan kepada United.

“Rakaman TV jelas menunjukkan apa yang berlaku, tetapi kami terpaksa terima. Ia satu kesilapan. Kesilapan besar,” kata beliau selepas perlawanan.

PGMOL tidak memberikan sebarang komen berkenaan insiden tersebut.

Kekalahan itu bermakna Villa tidak akan menyertai Liverpool, Manchester City, Arsenal, Newcastle, Chelsea dan Tottenham Hotspur di Liga Juara-Juara musim depan.

Chelsea mengesahkan kelayakan mereka setelah menewaskan Nottingham Forest 1-0 pada 25 Mei.

Newcastle berjaya melayakkan diri mereka walaupun tewas kepada Everton 1-0 akibat perbezaan gol mereka yang lebih baik daripada Villa.

Spurs pula layak ke Liga Juara-Juara setelah memenangi Liga Europa pada 21 Mei. – Agensi berita .

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg