Menjelang 100 hari sejak dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Chew Chun-Liang mengungkap pengalaman dan pandangan beliau terhadap pencapaian bola sepak Singapura pada 2024.
Chew berkata 2024 berakhir dengan positif, dengan kededua pasukan lelaki dan wanita menunjukkan kemajuan di dalam padang.
Namun, sejak dilantik, beliau telah mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki untuk mengasah kemahiran bola sepak Singapura, dan menjadikan FAS organisasi yang lebih cekap dan berkesan.
Beliau menyuarakan keinginan untuk memperkukuh hubungan dengan peminat, dan mengakui “bola sepak kosong tanpa peminat.”
Chew juga menekankan pentingnya memperdalam hubungan peminat Singapura dan mengukuhkan rangkaian sokongan di luar lingkaran bola sepak tradisional.
Beliau berkata kerjasama FAS dengan syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines dan Scoot, memudahkan urusan untuk bertanding di kejohanan antarabangsa.
FAS juga cuba untuk menghubungkan semula peminat kepada sejarah bola sepak setempat yang kaya.
Membawa balik jersi retro dan menganjurkan acara istimewa yang mempunyai kepentingan sejarah, seperti memberi penghormatan kepada pasukan yang memenangi kejuaraan berganda Liga dan Piala Malaysia pada 1994, menjadi cara untuk menghidupkan semula semangat dalam kalangan penyokong.
Bola sepak belia kekal menjadi tumpuan utama FAS, dengan 2024 menyaksikan beberapa inisiatif yang bertujuan meningkatkan penglibatan dan prestasinya.
Chew menekankan kepentingan membangunkan generasi pemain bola sepak akan datang, dan Liga Belia Singapura (SYL) terbukti sebagai platform yang berkesan untuk mencapai matlamat itu.
Namun beliau akui bahawa cabaran dalam menguruskan liga pasukan belia termasuk mengurus jangkaan ibu bapa.
Membina persekitaran yang kukuh dan menyokong pemain dan keluarga mereka akan menjadi kunci untuk mengekalkan kejayaan.
Menyentuh tentang pemain naturalisasi, beliau menekankan bahawa mencari pemain demikian bukan pendekatan utama mereka. Banyak telah dilabur dalam pembangunan belia.
Perry Ng, yang mewakili Cardiff City di Britain, adalah antara pemain yang akan cuba dinaturalisasikan FAS mengikut laluan Skim Bakat Sukan Asing (FTS).
Perry masih dalam proses menjadi penduduk tetap Singapura. Buat masa ini beliau hanya akan menyertai pasukan Singapura bagi latihan semasa waktu rehat Fifa.
Menurut Ketua Pemasaran & Komunikasi, Shamir Osman, proses menaturalisasikan Perry Ng perlu dilakukan teliti.
“Kita harus teliti dalam proses menaturalisasikan Perry Ng kerana ia akan membentuk proses menaturalisasikan pemain masa depan, jika perlu,” jelas beliau.
Chew pula menekankan bahawa pemain yang dipilih untuk dinaturalisasikan, selain perlu mempunyai bakat untuk menyumbang kepada pasukan Singa, juga perlu mempunyai keinginan bermain untuk Singapura.
Chew menekankan FAS akan mempertingkat komunikasi mereka bersama penyokong.
FAS akan perbaiki cara mereka berhubung dan membina kepercayaan dalam pertumbuhan bola sepak Singapura.
“Saya yakin kami sedang lakukan perkara yang betul, dan dapat meyakinkan mereka yang ada keraguan tentang bola sepak kita,” kata Chew.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg