Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

SUKAN SEA HANOI

Wakil e-sukan SG giat pertajam fokus, kemahiran

Syakir, Sufian antara pemain yang bakal 'turun padang' bagi merebut pingat dalam acara maya bola sepak Fifa; Kesemuanya 31 atlet e-sukan SG akan 'beraksi' di Hanoi
May 10, 2022 | 05:30 AM



SEDANG ramai atlet Singapura membuat persiapan di padang, gelanggang atau kolam renang bagi temasya Sukan SEA di Hanoi, atlet e-sukan negara pula membuat persiapan yang agak berbeza.



Ini kerana mereka perlu berlatih di alam maya dan memberikan fokus menajamkan permainan video mereka.



Bagi Muhammad Syakir Abdul Rauf, 26 tahun, ia bukanlah semudah yang disangkakan oleh orang ramai yang sering menganggap permainan video itu mudah lagi menyeronokkan.



"E-sukan bukanlah semudah yang disangka... meskipun ia nampak menyeronokkan, kami perlu menggunakan banyak daya mental dalam permainan.



"Selain itu, banyak masa perlu dihabiskan untuk fokus berlatih dan bersiap sedia secara kompetitif," katanya yang akan membuat penampilan pertama di temasya sukan itu pada 13 Mei nanti dalam permainan video bola sepak, Fifa.



Selain Syakir, Singapura akan diwakili oleh tiga lagi pemain dalam kategori e-sukan itu.



Yang lain termasuk Ahmad Sufian Rahamad, Amraan Gani Musa Bakar dan Yeo Jia Hui Joseph.



Ketika dihubungi, Sufian, 23 tahun, berkata persiapan bagi e-sukan itu juga sangat mencabar terutama sekali sepanjang bulan puasa yang lalu.



"Ramadan memberikan cabaran yang berbeza. Kita perlu pakai banyak tenaga mental. Jadi kadangkala, ia boleh menjejas fokus semasa latihan apabila rasa dahaga dan lapar.



"Oleh itu, saya cuba menyesuaikan diri untuk kerap berlatih selepas berbuka puasa," katanya yang meluangkan sekitar empat jam sehari tiap-tiap hari berlatih.



Selain itu, beliau dan Syakir juga perlu menyesuaikan diri dengan platform komputer berbanding platform Playstation, di mana mereka lebih mahir.



"Kami lebih biasa bermain Fifa di platform Playstation, tetapi dalam pertandingan itu nanti, kami perlu menyesuaikan diri untuk bermain di platform komputer (PC) pula.



"Perbezaannya adalah permainan di platform itu menggunakan edisi Fifa empat tahun lalu dan kami perlu ingat bagaimana cara terbaik untuk bermain. Sambil itu, kami juga masih perlu kekalkan cara permainan di platform Playstation kerana kami masih beraksi di liga e-sukan Fifa di mana kami lebih dikenali," kata Sufian yang dijadualkan tiba di Hanoi lusa.



Meskipun begitu, Sufian dan rakan-rakan sepasukannya telah membuat latihan intensif sepanjang bulan lalu demi memberikan prestasi yang baik pada Sukan SEA itu nanti.



Mereka telah berlatih bersungguh-sungguh - menentang antara satu sama lain dan pemain lain secara maya selama empat hingga lima jam bagi meningkatkan daya tahan mental mereka.



Bagi Syakir, beliau yakin akan kebolehan Singapura untuk memenangi pingat menerusi acara e-sukan di temasya sukan itu nanti.



Beliau berkata: "Kami kenal akan pihak lawan kami terutama sekali dari negara jiran Malaysia dan Indonesia. Kami juga tahu cara permainan mereka.



"Dari segi kemahiran, saya percaya Singapura berada di atas berbanding negara lain. Oleh itu, dengan persiapan yang telah kami adakan, kami percaya kami mampu membuktikan kebolehan kami".



Apabila ditanya apakah strategi kemenangan pasukan Singapura, Sufian berkata beliau berharap dapat memilih pemain terbaiknya, Cristiano Ronaldo, semasa sesi pemilihan pemain dijalankan sebelum acara itu bermula nanti.



"Ronaldo sangat luar biasa. Beliau mampu mengubahkan rentak permainan dan saya gemar menurunkannya dalam pasukan saya apabila beraksi nanti," katanya yang meminati kelab Arsenal dalam Liga Perdana England.



Seramai 31 atlet e-sukan negara bakal bertanding dalam tiga jenis sukan semasa temasya sukan itu nanti.



Ini termasuk permainan Mobile Legends dan League of Legends.



Mereka dijadualkan bertarung di Pusat Konvensyen Nasional Vietnam di Hanoi.



Dalam Sukan SEA di Manila, Filipina, pada 2019, Singapura berjaya merangkul pingat perak menerusi Thomas Kopankiewicz dalam permainan Starcraft II dan pingat gangsa menerusi Chew Khai Kiat dalam permainan Hearthstone.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >