Piala Merlion 1983:

Pada edisi kedua Piala Merlion (1983), Singapura diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan bawah 23 tahun, Brunei, dan Indonesia.

Perlawanan pembuka tirai menentang Indonesia menjadi titik permulaan gilang-gemilang buat skuad Singa menuju ke perlawanan akhir.

Tanpa belas kasihan, Singapura menumpaskan Indonesia 5-0 di Stadium Nasional pada 3 Disember 1983.

Gol dihasilkan oleh Razali Rashid (dua gol), Au-yeong Pak Kuan, V. Sundramoorthy, dan Tahir Bujang.

Biarpun dikepung pasukan gergasi seperti China dan Australia, Singapura membuktikan kewibawaan mereka dengan merangkul pingat perak kejohanan selepas tewas 2-4 di tangan Australia pada aksi final.

Keputusan: Singapura 5 - 0 Indonesia

Pemain tengah Singapura, Malek Awab dari Singapura (kiri), melihat rembatannya melepasi penjaga gol Indonesia, Sobur, tetapi malangnya ia tidak menghasilkan gol.  Ia merupakan pertembungan antara Singapura dengan Indonesia di perlawanan pertama Piala Merlion di Stadium Nasional pada 3 Disember 1983, di mana pasukan negara menang 5-0.
Pemain tengah Singapura, Malek Awab dari Singapura (kiri), melihat rembatannya melepasi penjaga gol Indonesia, Sobur, tetapi malangnya ia tidak menghasilkan gol. Ia merupakan pertembungan antara Singapura dengan Indonesia di perlawanan pertama Piala Merlion di Stadium Nasional pada 3 Disember 1983, di mana pasukan negara menang 5-0. - Foto fail
Penyerang Singapura, Razali Rashid (jersi nombor 20), melompat tinggi untuk menanduk bola menentang pertahanan Indonesia, A Sunardi. Ia merupakan pertembungan antara Singapura dengan Indonesia di perlawanan pertama Piala Merlion di Stadium Nasional pada 3 Disember 1983. Razali menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-0.
Penyerang Singapura, Razali Rashid (jersi nombor 20), melompat tinggi untuk menanduk bola menentang pertahanan Indonesia, A Sunardi. Ia merupakan pertembungan antara Singapura dengan Indonesia di perlawanan pertama Piala Merlion di Stadium Nasional pada 3 Disember 1983. Razali menjaringkan dua gol dalam kemenangan 5-0. - Foto fail

Separuh akhir Sukan SEA 1991:

Selepas terlepas peluang merangkul pingat emas pada Sukan SEA 1989 akibat kekalahan 1-3 kepada Malaysia, Singapura sekali lagi berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan tersebut.

Skuad Singa perlu melepasi tembok kukuh Indonesia pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Stadium Rizal Memorial, Manila pada 2 Disember 1991.

Dengan pertaruhan pemain tunjang seperti Fandi Ahmad, V. Sundramoorthy, dan Hasnim Haron yang dibawa dari skuad 1989, Singapura mempunyai peluang cerah untuk mengulangi pencapaian mara ke perlawanan akhir.

Namun, selepas pertarungan sengit tanpa sebarang gol selama 120 minit, Singapura akhirnya tewas 2-4 kepada Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti yang mendebarkan.

Indonesia seterusnya mara untuk merangkul pingat emas, manakala Singapura membawa pulang pingat gangsa.

Keputusan: Singapura 2 - 4 Indonesia (sepakan penalti)

Pemain pertahanan Singapura, Nazri Nasir (kanan) menolak pemain Indonesia, Bambang Pamungkas, semasa perlawanan antara kedua-dua negara di Separuh Akhir Sukan SEA 1991 di Stadium Rizal Memorial, Manila, Filipina pada 2 Disember 1991. Perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol walaupun selepas masa tambahan. Indonesia menang 4-2.
Pemain pertahanan Singapura, Nazri Nasir (kanan) menolak pemain Indonesia, Bambang Pamungkas, semasa perlawanan antara kedua-dua negara di Separuh Akhir Sukan SEA 1991 di Stadium Rizal Memorial, Manila, Filipina pada 2 Disember 1991. Perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol walaupun selepas masa tambahan. Indonesia menang 4-2. - Foto fail

Separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 1998:

Walau perlawanan yang berlangsung di Stadium Ho Chi Minh pada 3 September 1998 sangat sengit, kepentingannya sebahagian besarnya terletak pada peristiwa yang berlaku sejurus sebelum perlawanan itu.

Pada perlawanan akhir peringkat kumpulan A, Indonesia dan Thailand bertanding dalam perlawanan yang kontroversi apabila kedua-dua pasukan cuba untuk kalah bagi mengelakkan pertemuan dengan tuan rumah, Vietnam, di peringkat separuh akhir.

Indonesia sengaja menjaringkan gol sendiri untuk kalah, sekali gus “memenangi” laluan untuk menentang Singapura yang mereka anggap sebagai pasukan yang lebih lemah.

Tidak ingin dipandang rendah, Singapura menewaskan Indonesia 2-1 di separuh akhir dan seterusnya mara untuk menjulang kejuaraan antarabangsa pertama mereka.

Keputusan: Singapura 2 - 1 Indonesia

Bekas pemain pertahanan Singapura, Nazri Nasir (tengah) mengangkat kedua-dua tangannya selepas menjaringkan gol kedua Singapura ke atas Indonesia di separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 1998, di mana Singapura menang 2-1 di Stadium Ho Chi Minh pada 3 September 1998.  Beliau meraikannya bersama bekas pemain pertahanan negara, Rafi Ali (membelakangkan kamera) dan Zulkarnaen Zainal.
Bekas pemain pertahanan Singapura, Nazri Nasir (tengah) mengangkat kedua-dua tangannya selepas menjaringkan gol kedua Singapura ke atas Indonesia di separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 1998, di mana Singapura menang 2-1 di Stadium Ho Chi Minh pada 3 September 1998. Beliau meraikannya bersama bekas pemain pertahanan negara, Rafi Ali (membelakangkan kamera) dan Zulkarnaen Zainal. - Foto fail

Final kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2004:

Perlawanan akhir dua pusingan itu dianggap sebagai pertembungan paling penting dalam sejarah bola sepak kedua-dua negara, yang menandakan era kegemilangan bola sepak Singapura di bawah kendalian bekas ketua jurulatih Radojko Avramovic.

Di perlawanan akhir pertama pada 8 Januari 2005, Singapura menang 3-1 ke atas Indonesia, hasil jaringan Khairul Amri, Agu Casmir, dan Daniel Bennett, walau bermain di hadapan sorakan gempita dan penuh semangat penyokong di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Di perlawanan kedua yang berlangsung di hadapan 55,000 penyokong di Stadium Nasional, Kallang pada 16 Januari 2005, Singapura melengkapkan tugas mereka dengan kemenangan 2-1 (5-2 secara agregat), hasil jaringan Indra Shahdan dan Agu Casmir.

Ia sekali gus merangsang sambutan hebat di stadium apabila kapten Aide Iskandar menjulang trofi kejuaraan.

Keputusan: Singapura 2 - 1 Indonesia (Agregat: 5-2)

Bek tengah Indonesia, Hamka Hamza (kiri) bergelut bola dengan bekas penyerang Singapura, Indra Shahdan Daud (kanan) semasa final kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2004 pada 16 Januari 2005 di Stadium Nasional. Singapura menang 2-1 dengan agregat 5-2.
Bek tengah Indonesia, Hamka Hamza (kiri) bergelut bola dengan bekas penyerang Singapura, Indra Shahdan Daud (kanan) semasa final kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2004 pada 16 Januari 2005 di Stadium Nasional. Singapura menang 2-1 dengan agregat 5-2. - Foto fail
Bekas penyerang Singapura, Indra Sahdan Daud (tengah) meraikan jaringan pembukannya bersama rakan sepasukannya ketika final kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2004 pada 16 Januari 2005 di Stadium Nasional. Singapura menang 2-1 dengan agregat 5-2.
Bekas penyerang Singapura, Indra Sahdan Daud (tengah) meraikan jaringan pembukannya bersama rakan sepasukannya ketika final kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2004 pada 16 Januari 2005 di Stadium Nasional. Singapura menang 2-1 dengan agregat 5-2. - Foto fail

Peringkat kumpulan Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2007:

Peminat bola sepak setempat pasti mengingati kejohanan 2007 apabila Singapura melakar sejarah membaham Laos 11-0.

Namun, pada perlawanan terakhir Peringkat Kumpulan A, saingan untuk mara ke separuh akhir kekal terbuka luas apabila Singapura dan Indonesia berkongsi empat mata, manakala Vietnam mengekor rapat dengan dua mata.

Situasi itu menjadikan pertembungan klasik di Stadium Nasional pada 17 Januari 2007 mendebarkan dengan Singapura mendahului sebanyak dua kali, namun skuad Indonesia bangkit mengejar.

Anak didik Radojko Avramovic akhirnya berjaya bertahan untuk meraih satu mata berharga menerusi keputusan seri 2-2.

Mata penting itu membolehkan Singapura mara ke pusingan kalah mati berbekalkan kelebihan perbezaan gol, sebelum meneruskan kemaraan hingga menjulang kejuaraan pada edisi tersebut.

Keputusan: Singapura 2 - 2 Indonesia

Bekas penyerang Singapura, Noh Alam Shah (tengah), cuba melepasi dua pemain pertahanan Indonesia, Richardo Salampessy (kiri) dan Ponaryo Astaman, di perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2007 pada 17 Januari 2007 di Stadium Nasional. Kedua-dua pasukan seri 2-2.
Bekas penyerang Singapura, Noh Alam Shah (tengah), cuba melepasi dua pemain pertahanan Indonesia, Richardo Salampessy (kiri) dan Ponaryo Astaman, di perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2007 pada 17 Januari 2007 di Stadium Nasional. Kedua-dua pasukan seri 2-2. - Foto fail

Perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN AFF 2020:

Salah satu perlawanan paling huru-hara, penuh emosi dan memilukan dalam sejarah bola sepak Singapura.

Selepas terikat 1-1 pada separuh akhir pertama, perlawanan kedua di Stadium Nasional pada 25 Disember 2021 menjadi penuh emosi.

Singapura mengakhiri perlawanan dengan lapan pemain selepas menerima tiga kad merah (Safuwan Baharudin, Irfan Fandi, dan penjaga gol, Hassan Sunny).

Sebelum Hassan dilayangkan kad merah pada minit ke-119, pemain Singapura berjaya mendahului 2–1, hingga minit ke-87 apabila Indonesia berjaya menyamakan kedudukan.

Peluang keemasan anak didik Tatsuma Yoshida untuk mengesahkan kemenangan lebur apabila sepakan penalti Faris Ramli pada minit ke-90 berjaya diselamatkan.

Indonesia akhirnya memanfaatkan kelebihan jumlah pemain pada masa tambahan untuk menang 4–2 (5–3 secara agregat).

Keputusan: Indonesia 4 – 2 Singapura (Agregat: 5-3)

Penyerang Singapura, Faris Ramli (dua dari kanan) didekati bek kanan Indonesia, Asnawi Mangkualam (tengah) yang cuba ‘memujuk’nya selepas beliau gagal menyempurnakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk memberikan kemenangan kepada Singapura di Stadium Nasional pada 25 Disember 2021. Indonesia menang 4-2 selepas masa tambahan dengan agregat 5-3.
Penyerang Singapura, Faris Ramli (dua dari kanan) didekati bek kanan Indonesia, Asnawi Mangkualam (tengah) yang cuba ‘memujuk’nya selepas beliau gagal menyempurnakan penalti pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk memberikan kemenangan kepada Singapura di Stadium Nasional pada 25 Disember 2021. Indonesia menang 4-2 selepas masa tambahan dengan agregat 5-3. - Foto fail
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti