Topik diikuti
Pergi ke BHkuWartawan BH menang anugerah Majlis Sukan Kurang Upaya S’pura
Wartawan BH menang anugerah Majlis Sukan Kurang Upaya S’pura
Wartawan Berita Harian (BH), Encik Muhammad Khairul Akmal Ali, 27 tahun, meraih Anugerah Kisah Paling Memberi Inspirasi 2026 yang diberikan oleh Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) buat julung-julung kali tahun ini (2026).
Artikel yang ditulis beliau, ‘Semangat tidak pernah luntur walau kemalangan ubah kehidupan’, mengenai dua pemain ragbi kerusi roda yang menceburi sukan tersebut selepas mengalami kemalangan yang mengubah kehidupan mereka buat selama-lamanya.
Artikel tulisan Encik Khairul itu menerima sokongan daripada paling banyak warganet berbanding sembilan lagi artikel yang turut dinamakan sebagai calon bagi anugerah tersebut.
Apabila dihubungi, Encik Khairul yang kini berada di luar negara, berkata:
“Anugerah ini saya anggap bukan sebagai menggambarkan kehebatan saya sebagai seorang penulis, tetapi lebih mencerminkan kecekalan atlet yang telah melalui perjalanan luar biasa dalam hidup mereka.
“Pada masa yang sama, anugerah ini menyuntik semangat tambahan untuk saya terus mendengar dan berkongsi kisah-kisah mereka bersama audiens BH.”
Encik Khairul, siswazah Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dalam jurusan Bahasa Melayu dan Sastera, telah bertugas di bilik berita BH sejak 2023.
Dianjurkan oleh SDSC dan Majlis Sukan Paralimpik Kebangsaan (SNPC), Anugerah Sukan Kurang Upaya Singapura ialah acara tahunan yang meraikan pencapaian atlet kurang upaya setempat.
Ia mewujudkan dua kategori baru – untuk meraikan penulis dan jurugambar sukan kurang upaya – pada 2026.