Pada Hari Kebangsaan, rakyat Singapura berkumpul untuk meraikan ulang tahun ke-59 negara ini dengan hadiah istimewa daripada atlet luncur lelayang atau kitefoil, Maximilian Maeder, yang merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.
Daripada ahli politik dan atlet negara kepada orang ramai dan netizen, republik ini meraikan kejayaan belia berusia 17 tahun itu, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Kali terakhir Singapura merangkul pingat pada Sukan Olimpik Musim Panas ialah di Rio 2016 apabila perenang, Joseph Schooling, mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas perlumbaan 100 meter kupu-kupu lelaki.
Sementara itu, sepanjang minggu di Marseille, Maeder telah mengharungi musim panas di bawah tekanan yang kuat, emosinya terselindung di sebalik pelindung mata dan topeng muka penuh berwarna hitam.
Dalam beberapa minit selepas merangkul gangsa dalam acara Luncur Lelayang Formula pada 9 Ogos itu pun, tidak ramai yang tahu apa yang dirasai atlet berusia 17 tahun itu ketika beliau tiba di pantai.
Hanya apabila remaja itu dilihat lama mendakap ibunya, Cik Teng Hwee Keng, barulah terbukti bahawa atlet Singapura itu sedang bersedih. Tiada kata-kata berbalas antara pasangan itu, hanya air mata.
Apabila ditanya mengenai pencapaian Maeder, Schooling, yang berusia 29 tahun dan telah bersara pada April, memberitahu ST: “Tahniah, Max. Saya tahu betapa sukarnya anda berusaha untuknya (memenangi pingat Olimpik) dan sejauh mana anda menginginkannya.
“Kami sangat bangga dan gembira untuk anda dan keluarga anda. Nikmatilah masa ini.”
Dalam catatan di Facebook, Presiden Tharman Shanmugaratnam berkata: “Max matang melebihi usianya – senyuman remajanya dan wajahnya yang masih kelihatan muda, tidak menunjukkan perkara sebenar. Ada tenaga baru dalam sukan Singapura.
“Bayangkan – kita tidak mempunyai pingat Olimpik selama hampir setengah abad selepas pingat perak Tan Howe Liang di Sukan Olimpik Rome 1960.
“Namun sejak 2008, (Singapura) kini telah membawa pulang tiga gangsa Olimpik (termasuk Max), satu perak, dan emas bersejarah Joseph Schooling.”
Menarik perhatian kepada pencapaian atlet Singapura yang lain seperti pemain badminton, Loh Kean Yew, dan pelari pecut, Shanti Pereira, Tuan Presiden menambah: “Generasi anak muda Singapura memandang serius sukan mereka, mendapat sokongan yang lebih kuat dan mencapai lebih tinggi...
“Pingat dan anugerah antarabangsa tidak akan datang dengan mudah. Tetapi tiada apa yang lebih penting daripada perjalanan untuk mencapainya, kawan yang anda temui sepanjang perjalanan, dan keperitan serta kegembiraan dalam usaha mencapai matlamat yang anda tetapkan untuk diri sendiri.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata di media sosial: “Baru sahaja sambutan kita tamat (di Perbarisan Hari Kebangsaan), Max Maeder berjaya mengatasi keadaan angin yang sukar dan menjadi warga Singapura termuda memenangi pingat Olimpik.
“Tahniah Max atas pingat gangsa dalam kitefoiling! Terima kasih atas hadiah hari jadi anda yang indah kepada Singapura! Semoga pasukan Singapura mendapat yang terbaik dalam acara sukan anda yang lain.”
Semasa ditemui media, Maeder berkata:
“Secara jujurnya, saya belum habis berasa sedih tapi saya tetap tersenyum pada masa ini, bukan kerana terpaksa tapi begitulah yang saya rasakan.”
Mengenai persembahannya, beliau berkata:
“Saya sedih bukan kerana saya tidak lakukan yang terbaik, atau tidak lakukan pada apa yang saya fikirkan... atau (pada tahap) yang saya mampu. Bukan itu.”
Sementara itu, pingat yang dimenangi Maeder di Marseille juga mencetuskan sambutan dalam kalangan penyokong di tanah air.
Beberapa warga Singapura memberitahu ST bahawa mereka pada mulanya tidak mengenali atlet remaja itu mahu pun sukan luncur lelayang, tetapi mula mengikutinya apabila lebih banyak laporan media diterbitkan menjelang siri peringkat akhir pada 8 dan 9 Ogos.
Mereka berada di rumah bersama keluarga mereka untuk menonton kedua-dua hari perlumbaan secara langsung di televisyen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg